- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Maklumat Salah Mengancam Kestabilan Sosial dan Ekonomi

Must read

Tabiat menyebarkan maklumat salah dan separa benar bukanlah perkara baharu, malah telah berlaku sejak beribu-ribu tahun lalu.

Kemajuan teknologi digital dan dunia tanpa sempadan pada masa kini menambahkan lagi medium untuk maklumat salah dan palsu mudah disebarkan.

Platform media sosial seperti WhatsApp dan Facebook merupakan antara medium yang paling banyak digunakan oleh rakyat Malaysia.

Maka tidak hairanlah kedua-dua medium tersebut menjadi saluran utama penyebaran maklumat salah dan palsu.

Penyebaran maklumat salah pada hari ini memberi impak terhadap kestabilan sosial dan ekonomi.

Maklumat salah juga boleh menjejaskan kewangan dan sumber kerajaan.

Forum Ekonomi Dunia mengenal pasti penyebaran maklumat salah dan berita palsu sebagai antara risiko global utama dunia.

Dalam isu pandemik COVID-19, kerajaan di kebanyakan negara di dunia terpaksa berkerah tenaga dan menggunakan sumber kewangan untuk mengekang penularan maklumat salah.

Krisis COVID-19 telah menyebabkan rantaian maklumat salah mengenai wabak tersebut disebarkan tanpa mengetahui fakta sebenar

Penyelidikan yang dijalankan oleh pakar ekonomi dari University of Baltimore, Prof Roberto Cavazos dan syarikat kecerdasan buatan dan keselamatan siber CHEQ menunjukkan berita palsu telah menyebabkan kerugian kepada ekonomi global berjumlah kira-kira USD78 bilion atau bersamaan RM322 bilion setahun.

Laporan kajian tersebut yang bertajuk ‘The Economic Cost of Bad Actors on the Internet’ melaporkan kos tinggi yang ditanggung kerajaan ketika krisis kesihatan telah disebabkan oleh berita palsu.

Analisis terhadap 14 juta ciapan Twitter yang dijalankan oleh jurnal sains Nature dalam laporan berkenaan juga mendapati akaun palsu bertanggungjawab memainkan peranan tidak seimbang menyebarkan artikel daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

Seperti yang berlaku di Malaysia, krisis kesihatan ini turut menyebabkan limpahan maklumat salah dan palsu yang semakin sukar dikawal.

Situasi ini menyebabkan masyarakat sukar untuk membezakan di antara fakta dan auta.

Pada awal tahun ini, maklumat salah mengenai kesan pengambilan vaksin COVID-19 telah mempengaruhi keputusan sebilangan rakyat yang percaya bahawa vaksin lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Kesannya, puluhan ribu rakyat dari beberapa buah negeri dilaporkan tidak hadir pada temu janji suntikan vaksin pertama.

Selain itu, penyebaran maklumat salah dan palsu juga boleh menyebabkan keadaan sesuatu negara tidak stabil serta menjejaskan keharmonian.

Mengambil satu lagi situasi dalam krisis COVID-19, rasa panik dalam kalangan masyarakat timbul apabila segelintir pihak menyebarkan maklumat salah mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Natijahnya, ramai orang awam membuat pembelian panik dengan berpusu-pusu ke pasar raya sehingga keadaan menjadi sesak kerana percaya bahawa PKP akan dilaksanakan seperti perintah berkurung serta kononnya menyukarkan rakyat mendapatkan keperluan harian.

Sebaliknya, kerajaan tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian, malah telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai dengan keperluan rakyat ketika PKP dilaksanakan.

Keadaan sama (pembelian panik) bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah juga berlaku di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Tindakan menyebarkan maklumat salah jelas mendatangkan akibat yang serius sehingga mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan ekonomi dan kestabilan politik sesebuah negara.

Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) boleh menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 terhadap penyebar maklumat salah dan berita palsu.

Jika didapati bersalah, hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Pelbagai langkah telah diambil kerajaan bagi mendidik masyarakat menghentikan penyebaran maklumat salah dan berita palsu.

Usaha sedemikian dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan dan kekacauan dalam masyarakat.

Namun, semua pihak termasuk masyarakat sendiri perlu bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian dan kestabilan negara daripada ancaman maklumat salah.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article