Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) telah melancarkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang 2021 Peringkat Kolej Komuniti Mas Gading pada 23 Ogos 2021.
Simbolik pelancaran majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah KKMG, Nor Dalila Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Akademik KKMG, Yvone Xavera Dady, Timbalan Pengarah Pengurusan KKMG, Mohd Saiful Fadli Maidin dan para pensyarah dan kakitangan sokongan KKMG dengan pematuhan Standard Operating Procedures (SOP) yang telah ditetapkan.
Menurut Pengarah KKMG, Nor Dalila Abd Rahman, KKMG mengadakan simbolik pelancaran ini adalah menyeru warga kolej dan pelajar untuk bersama-sama mengibarkan bendera Jalur Gemilang yang merupakan satu cara untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara serta penterjemahan solidariti kita kepada negara yang sedang dilanda pandemik COVID-19.
“Mengibar Jalur Gemilang juga merupakan satu tanda sokongan kita terhadap segala usaha kerajaan dalam membangkitkan semangat patriotisme bagi seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bersatu padu dalam menghadapi segala cabaran yang dihadapi negara pada ketika ini,” ujar Nor Dalila.
“KKMG akan mengadakan beberapa aktiviti untuk pengisian sepanjang Bulan Kemerdekaan ini bagi menyemarakkan semangat Sambutan Bulan Kebangsaan dalam kalangan warga KKMG dan pelajar melalui program-program berbentuk memupuk rasa cinta kepada negara serta menyemai perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia iaitu Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan, Pertandingan Lagu Patriotik dan Pertandingan Wefie & Selfie Merdeka,” tambah Nor Dalila lagi semasa ditemu ramah.
Manakala dalam kalangan pelajar KKMG walaupun tidak bersama semasa majlis tersebut, para pelajar digalakkan untuk menyertai beberapa pengisian aktiviti dan pertandingan kemerdekaan yang dianjurkan oleh pihak kolej di samping diingatkan untuk terus mempergiat kempen Kibar Jalur Gemilang di tempat tinggal mereka bagi memastikan kemeriahan dan semarak Sambutan Bulan Kebangsaan ini dirasai oleh masyarakat setempat.
Disediakan oleh : Petrus Ngalih Tingi, Pegawai Penerangan, Unit Komunikasi & Perhubungan Awam KKMG