- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Integriti Diutamakan dan Memperkukuh Kepercayaan Rakyat Dalam Perkhidmatan Awam

Must read

Nilai integriti yang tinggi merupakan prasyarat kepada kejayaan kepemimpinan dalam perkhidmatan awam.

Dalam dunia yang mencabar hari ini, rakyat meletakkan kepercayaan tinggi dan menjangkakan akauntabiliti dan ketelusan daripada penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Oleh itu, etika, nilai dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perlu diperkukuhkan.

Sehubungan dengan itu, Leadership Institute Sarawak telah menganjurkan webinar bertajuk ‘Mainstreaming Integrity, Reinforcing Trust’ pada 24 Ogos 2021.

Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion dijemput sebagai tetamu kehormat yang turut membuat pembentangan di samping dua lagi panel jemputan, iaitu Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff dan Profesor Emeritus Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong.

Poster Seminar Perbincangan Eksekutif, Mainstreaming Integrity, Reinforcing Trust yang diadakan secara maya anjuran Leadership Institute Sarawak

Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dato’ Dr. Madeline Berma dijemput selaku moderator.

Dalam pembentangan beliau, YB Datuk Amar Jaul menyentuh tentang bagaimana memberikan penekanan mengutamakan integriti dan mengukuhkan kepercayaan rakyat dalam perkhidmatan awam.

Menurut beliau, penekanan terhadap integriti dalam perkhidmatan awam Sarawak sebenarnya telah bermula sejak awal kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia pada 16 September 1963.

Beliau berkongsi sambil memetik kata-kata Ketua Menteri pertama Sarawak mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang bangga dengan tahap integriti barisan menteri kabinet negeri pada ketika itu, lantas menekankan betapa ia perlu diteruskan dan dikekalkan.

Kepimpinan terdahulu dan semasa juga jelas YB Datuk Amar Jaul komited dalam memperkukuhkan integriti perkhidmatan awam negeri ini sehingga tertubuhnya Unit Integriti dan Ombudsman (UNION), Jabatan Ketua Menteri pada 2018.

Selain itu, 90 orang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di bawah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah ditempatkan di beberapa buah agensi kerajaan di Sarawak.

Antara inisiatif lain dalam meningkatkan integriti perkhidmatan awam negeri termasuklah dengan menganjurkan Majlis Amanat Perdana Integriti, memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Corruption Risk Management dan SCS Culture Rating Survey.

Ketika ditanya oleh moderator, Datuk Dr. Madeline mengenai maksud integriti pada pandangan beliau, YB Datuk Amar Jaul menjawab, integriti bermaksud ‘melakukan perkara yang betul walaupun tidak ada sesiapa yang memerhatikan’.

Integriti juga bermaksud melaksanakan sesuatu untuk rakyat tanpa mengharapkan balasan manakala kejujuran dan ketelusan pula menurut beliau ialah melakukan apa yang telah diperkatakan atau istilah dalam bahasa Inggeris berbunyi ‘walk the talk’.

Mengakhiri pembentangan, beliau menasihatkan penjawat awam agar sentiasa bersikap jujur, bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berkualiti.

Dalam masa yang sama, penjawat awam juga dinasihatkan supaya meletakkan diri mereka pada tempat individu atau masyarakat yang berhadapan masalah apabila melaksanakan tugas dan amanah kepada rakyat, terutamanya masyarakat yang tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman.Webinar disertai oleh seramai lebih 600 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta badan-badan berkanun.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article