- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Dasar Kerajaan dan Penguatkuasaan Undang-undang Perangi Maklumat Palsu

Must read

Penyebaran maklumat palsu boleh mendatangkan kesan buruk terhadap keselamatan sosial dan ekonomi negara.

Perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang sengaja mereka maklumat palsu dengan niat menjatuhkan reputasi atau imej individu, organisasi dan kerajaan adalah terdorong kepada unsur fitnah.

Sama ada dalam bentuk digital mahupun cetak, kerajaan memandang serius isu berkaitan maklumat palsu dan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan mengikut lunas-lunas perundangan dan polisi sedia ada.

Secara asasnya, penyebaran maklumat palsu berunsur fitnah merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang negara.

Di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar maklumat dan berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sekiranya didapati bersalah, individu yang disabitkan boleh didenda RM50,000 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah badan yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang berkaitan penyebaran maklumat palsu

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ialah badan yang diberi kuasa menjalankan tanggungjawab di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, SKMM berperanan melaksanakan dan memupuk objektif dasar kebangsaan kerajaan untuk sektor telekomunikasi dan multimedia di negara ini.

SKMM juga ditugaskan untuk menyelia rangka penyeliaan baharu untuk kegiatan industri telekomunikasi, penyiaran dan maklumat dalam talian yang semakin berkait rapat.

Selain mengambil tindakan penguatkuasaan, pihak SKMM juga mengadakan kerjasama dengan pihak pemberi perkhidmatan seperti platform media sosial Facebook, Twitter dan sebagainya dengan cara memohon penyedia perkhidmatan tersebut memadam akaun-akaun yang didapati palsu.

Dalam satu kenyataan rasmi bertarikh 24 Februari 2020, SKMM dengan tegas menyatakan untuk terus memantau penyebaran maklumat palsu di laman media sosial berikutan perkembangan semasa dalam negara yang berlaku ketika itu.

Kenyataan tersebut menerangkan, SKMM mengingatkan orang awam supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang menyentuh sensitiviti kaum (Race), agama (Religion) dan Institusi Diraja (Royalty), iaitu 3R.

Sebarang perkongsian maklumat dan kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan denda yang dikenakan jika pelaku didapati bersalah.

SKMM menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi hak dan kepentingan masyarakat.

Inisiatif lain yang dilaksanakan SKMM dalam menangani penyebaran maklumat palsu termasuklah dengan mewujudkan portal sebenarnya.my.

Portal berkenaan menyediakan perkhidmatan yang mengesahkan dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai kesahihan maklumat dan berita yang tular di media sosial.

Menerusi sebenarnya.my, maklumat yang berkaitan akan dikumpulkan, dianalisis, disahkan sebelum dimuat naik ke portal tersebut untuk dijadikan rujukan kepada orang awam.

Dalam menjalankan siasatan terhadap individu dan pihak yang menyebarkan maklumat palsu, SKMM juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Melihat senario global, pembuat dasar (kerajaan) di seluruh dunia telah menyuarakan keperluan untuk memerangi maklumat dan berita palsu.

Pada tahun 2013, laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia memberi amaran bahawa kepesatan teknologi digital dapat menyebarkan maklumat palsu dengan pantas.

Seperti di Finland, pendidikan mengenai penyebaran maklumat palsu dan kesannya diajar di peringkat sekolah.

Menurut Pengarah Program untuk Dasar Eropah di Open Society Institute, Sofia, Marini Lessenki, kerajaan Finland menganggap sistem pendidikan awam yang kuat sebagai alat utama untuk memerangi maklumat dan berita palsu di negara berkenaan.

Kemahiran berfikir secara kritis yang meluas, literasi digital di kalangan komuniti serta respon kerajaan yang koheren ialah kunci dalam memerangi maklumat palsu.

Organisasi pemeriksa fakta Finland, iaitu Faktabaari menyesuaikan kaedah pemeriksaan fakta profesional untuk digunakan di sekolah dan menegaskan kemahiran penyelidikan dan pemikiran kritis yang baik sangat penting dalam isu berkaitan maklumat palsu.

Finland merupakan negara terbaik di dunia dalam menangani penyebaran maklumat palsu diikuti Sweden dan Belanda.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article