- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Asal Usul dan Keunikan Adat Perkahwinan Etnik Melanau

Must read

Sarawak bukan saja dikenali sebagai negeri terbesar di Malaysia yang kaya dengan pelbagai hasil bumi dan kehijauan, malah juga terkenal dengan penduduk yang terdiri daripada pelbagai suku etnik dan agama.

Setiap kaum mempunyai asal usul serta warisan budaya seperti sukan dan muzik, seni halus dan kraf, adat resam, pakaian dan sebagainya yang unik dan diamalkan dengan aman dan damai.

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup yang merangkumi segala tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya.

Ianya juga dianggap sebagai peraturan yang diamalkan secara turun temurun dalam masyarakat sehingga menjadi suatu hukum dan peraturan yang harus dipatuhi.

Bahkan ada yang mendefinisikan adat sebagai gagasan kebudayaan, kebiasaan, resam, lembaga, peraturan, hokum dan norma yang dijunjung oleh kelompok masyarakat.

Encik Robinson bin Benedict Mugok

Baru-baru ini, RAKAN Sarawak berpeluang menemu ramah Pegawai Tadbir (Seksyen Penyelidikan Etnik Melanau) Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Encik Robinson bin Benedict Mugok secara dalam talian (melalui e-mel) untuk mengetahui tentang asal usul dan keunikan adat resam etnik Melanau.

Berkenaan asal usul Etnik Melanau, beliau menceritakan bahawa suku kaum Melanau sering dikaitkan dengan kerajaan purba Malano.

Mengikut catatan Kakawin Negarakretagama dari Jawa, dikatakan bahawa kerajaan Melanau atau ‘Malano’, bersama-sama dengan Kerajaan Brunei merupakan antara kerajaan yang bernaung di bawah kekuasaan empayar Jawa pada sekitar abad ke-13.

Nama Malano turut tercatat di dalam sebuah peta yang dikeluarkan pada 1595 di Florence, Itali dan kedudukan tersebut merupakan kawasan penempatan utama masyarakat Melanau pada masa kini. 

Menurut beliau, terdapat juga teori yang menyatakan bahawa etnik Melanau merupakan kumpulan etnik yang berhijrah dari kawasan hulu Sungai Rajang yang menetap di kawasan hilir sungai dan kawasan pantai seperti Igan, Oya, Mukah dan Balingian.

Jelas beliau, teori ini disokong dengan penghujahan bahawa etnik Melanau mempunyai perkaitan dengan kumpulan-kumpulan etnik di kawasan hulu Sungai Rajang seperti etnik Kayan dan etnik Kajang.

Menurut Charles Tenggoi Asseng (1998), etnik Melanau pra-Islamik dan etnik Kajang mempunyai banyak persamaan dari segi organisasi sosial, amalan, budaya benda dan linguistik.

Rousseau (1990) pula menyatakan etnik Melanau mempunyai kaitan dengan etnik Kayan dan istilah ‘Kayan Lalau’ merujuk kepada etnik Melanau, iaitu kumpulan Kayan yang berhijrah keluar dari kawasan hulu Sungai Rajang.

Hujahan Babcock (1974) pula menyatakan dua kumpulan etnik ini (etnik Melanau dan Kayan) mempunyai persamaan dari aspek bahasa dan amalan budaya, misalnya etnik Melanau pada masa lampau mengamalkan pengebumian sekunder melalui pengebumian menggunakan ‘jerunei’ dan ‘kelidieng’.

Ciri ini menurut Appleton (2012) mempunyai persamaan dengan kumpulan etnik Kajang, Berawan, Lun Bawang, Kelabit, Kajang, Punan Bah and Lundayeh.

Kumpulan-kumpulan etnik dirangkumkan sebagai kumpulan ‘nulang arc’iaitu kumpulan yang mengamalkan pengebumian sekunder di Borneo malah kumpulan etnik ini turut berkongsi genealogi dan kisah ‘mythical ancestors’ yang sama.

Taburan petempatan etnik Melanau yang jauh daripada etnik lain dalam kumpulan ini disifatkan berpunca daripada faktor penghijrahan keluar etnik Melanau dari kawasan hulu Sungai Rajang.

Demikianlah kisah tentang asal usul etnik Melanau dan seterusnya, menurut Encik Robinson etnik Melanau mempunyai amalan adat dan pantang larang yang sangat unik dan tersendiri.

Amalan adat kumpulan etnik Melanau berkait rapat dengan amalan ‘Adet Bangsa’ yang mengelaskan masyarakat Melanau kepada tiga kelas masyarakat utama iaitu ‘Adet Bangsa Sembilan Pikul, Adet Bangsa Tujuh Pikul dan Adet Bangsa Lima Pikul’.

Kumpulan‘Adet Bangsa Sembilan Pikul’merupakan gelaran tertinggi yang asli dipunyai oleh masyarakat Melanau manakala, ‘Adet Bangsa Tujuh Pikul’ adalah dianggap sebagai golongan pertengahan dalam masyarakat Melanau.

Sementara itu, ‘Adet Bangsa Lima Pikul atau ‘Tujuh Petirih’ pula termasuk dalam kategori kelas bawahan dalam masyarakat.

Amalan ‘Adet Bangsa’ ini mempunyai pengaruh yang sangat penting dalam amalan adat perkahwinan dan kematian masyarakat Melanau.

Menurut beliau, adat perkahwinan etnik Melanau boleh dibahagikan kepada lima kawasan utama iaitu Tellian, Batang Mukah, Petanak, Dalat dan Seduan.

Setiap kawasan mempunyai keunikan dalam rukun-rukun adat perkahwinan masing-masing di mana adat perkahwinan etnik Melanau diatur mengikut adet bangsa pihak pengantin perempuan.

Secara umumnya, adat perkahwinan etnik Melanau merangkumi beberapa proses di mana proses yang pertama ialah ‘menelabau a bak tuneang’ iaitu pihak lelaki menghantar wakil merisik pihak perempuan.

Setelah kedua pihak bersetuju untuk berkahwin, pihak lelaki akan menghantar ‘tada tekul’iaitu tanda kesediaan awal untuk melangsungkan perkahwinan sementara menunggu restu kedua pihak pasangan dengan tempoh kebiasaannya tidak melebihi tiga bulan.

Rukun kahwin etnik Melanau kawasan Tellian

Setelah itu, majlis pertunangan akan berlangsung di dalam upacara yang dikenali sebagi ‘suruong tuneang’ di hadapan ketua kampung dan beberapa orang tua sebagai saksi.

Semasa upacara, pihak lelaki perlu menghadiahkan ‘tada tuneang’ kepada pihak perempuan sebagai tanda bahawa mereka sudah bertunang dan tempoh pertunangan kebiasaannya adalah kurang daripada setahun.

Setelah melalui tempoh pertunangan tersebut, majlis perkahwinan akan dijalankan dalam upacara yang dikenali ‘suruong berian’.

Baju yang digunakan oleh pengantin lelaki dan pengantin perempuan semasa berkahwin

Sepertimana upacara suruong tuneang, upacara suruong berian juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran ketua kampung dan disaksikan golongan tua dan orang-orang dewasa.

Dalam upacara suruong berian, pihak lelaki akan menghadiahkan pihak perempuan dan keluarga dengan penyekab, berian dan pakan berdasarkan kepada adet bangsa atau pangkat pengantin perempuan.

Penyekab merujuk kepada hantaran perkahwinan utama disertai barangan simbolik seperti pedang, keris atau mata lembing bagi merujuk kepada adet bangsa pengantin perempuan.

Berian pula merupakan hadiah daripada pihak pengantin lelaki kepada pengantin perempuan seperti mana tertakluk dalam rukun adet bangsa.

Manakala, pakan adalah sejumlah wang tunai yang perlu dibayar oleh pengantin lelaki kepada keluarga pengantin perempuan seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Menurut Encik Robin, masyarakat Melanau Mukah juga mengamalkan ‘Adat Petudui’ atau upacara tidur pengantin untuk tempoh tiga hari selepas upacara perkahwinan.

Upacara ini merupakan kesinambungan amalan adat semasa masuk tidur sewaktu perkahwinan, penyatuan keluarga baharu dan penyempurnaan adat perkahwinan. (Amalan ini hanya diamalkan masyarakat Melanau Batang Mukah, Tellian dan Petanak sahaja).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article