- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

‘Adet Bangsa’ Melanau Tradisional

Must read

Selain adat perkahwinan, Pegawai Tadbir (Seksyen Penyelidikan Etnik Melanau) Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Encik Robinson bin Benedict Mugok turut menjelaskan bahawa amalan Adet Bangsa juga amat signifikan dalam pengamalan adat kematian masyarakat Melanau tradisional.

Encik Robinson bin Benedict Mugok

Menurut beliau, kedudukan atau pangkat si mati mempengaruhi cara pengendalian mayat, cara pengebumian dan juga adat serta pantang larang berkaitan.

Adat kematian tradisional Melanau juga berkait rapat dengan sistem kepercayaan tradisional Melanau Likou yang bercorak animisme dan kepercayaan kepada wujudnya roh atau semangat yang dipercayai mempengaruhi perjalanan kehidupan seharian masyarakat.

Namun begitu, kedatangan agama Islam dan Kristian telah sedikit sebanyak mengubah landskap agama dan kepercayaan masyarakat Melanau.

Sebilangan besar ahli masyarakat telah beralih kepada ajaran agama Islam dan Kristian secara tidak langsung, kepercayaan tradisional dan amalan-amalan berkaitan telah mula terhakis.

Pada dasarnya, masyarakat Melanau tradisional melihat kematian sebagai satu proses peralihan daripada dunia kehidupan kepada dunia selepas kematian.

Justeru, apabila berlaku kematian, roh si mati akan bercerai daripada elemen ‘fundamental’ lainnya iaitu emosi, badan dan nyawa, untuk meneruskan perjalanan ke dunia kematian.

Roh pada tempoh selepas kematian berada dalam keadaan keliru dan berlegar di antara dunia manusia dan kematian.

Oleh yang demikian, upacara pengebumian dengan berpandukan adat kepercayaan perlu dijalankan oleh keluarga si mati bagi memastikan roh si mati dapat memulakan perjalanan ke alam kematian dengan sempurna.

Perjalanan ke alam kematian dipercayai melalui sungai kematian dan ini dimanifestasikan melalui kaedah pengebumian tradisional Melanau yang menggunakan keranda berbentuk perahu untuk menyimpan mayat si mati.

Malah, masyarakat Melanau tradisional akan mengayam penunjuk arah ke alam kematian yang dikenali sebagai ‘jengaya’ untuk memandu perjalanan roh si mati.

Adat kematian etnik Melanau adalah berbeza mengikut pangkat (Adet Sembilan Pikul dan Tujuh Pikul)

Sempadan di antara dunia manusia dan alam kematian dikawal oleh semangat yang dikenali sebagai ‘Balou Aded’ dan setelah roh si mati tiba di alam kematian, ia akan menetap bersama ahli keluarga yang terlebih dahulu meninggal, namun rohnya tidak akan dibenarkan kembali ke alam manusia.

Semasa berlakunya kematian, amalan ‘menyabung ayam’ akan dilakukan kerana ia dipercayai dapat memberi kesejahteraan kepada roh si mati di samping bagi mengembalikan semangat golongan keluarga yang berhadapan kematian.

Upacara ‘Pelatou’ pula akan dijalankan bagi berhubung dengan si mati selepas suatu tempoh kematian berlaku.

A pelatou adalah individu yang mengetuai upacara pelatou dimana rohnya akan mengembara ke alam kematian untuk bertemu dengan si mati untuk bertanya akan keadaan si mati.

Jerunai digunakan oleh golongan bangsawan etnik Melanau pada zaman dahulu (tidak lagi diamalkan oleh etnik Melanau pada zaman sekarang)

Upacara ini juga dilakukan sebagai kaedah untuk mengetahui punca kematian bagi kematian mengejut dan tidak diketahui punca kematian).

Justeru, Encik Robinson menekankan bahawa konsep keseimbangan (equilibrium) sangat dititik beratkan dalam kehidupan masyarakat Melanau.

Manusia dipercayai menghuni alam bersama makhluk-makhluk, semangat dan tumbuhan dalam keadaan yang seimbang dan harmonis, maka gangguan terhadap keseimbangan ini akibat perbalahan dan sebagainya akan mewujudkan keadaan yang tidak diingini seperti malapetaka dan musibah.

Kubur gantung lama masyarakat Melanau yang berbentuk bot

Oleh kerana itu, sistem pencegahan telah diwujudkan bagi mengelakkan berlakunya keadaan sedemikian.

Bagi menjaga perhubungan sesama manusia, adat diwujudkan bagi mengelakkan konflik dalam kalangan masyarakat untuk memastikan keharmonian di antara mereka manakala pantang larang diwujudkan untuk menjaga tindak tanduk manusia dalam perhubungan mereka dengan elemen-elemen lain di dalam dunia ini.

Pada pandangan beliau, pemeliharaan adat resam etnik Melanau sangat penting bagi memastikan kelestarian amalan adat itu sendiri.

Meskipun berdepan cabaran kemodenan dan globalisasi, pemeliharaan adat resam perlu dilihat sebagai usaha memastikan adat berkenaan dapat disambung daripada generasi kepada generasi yang lain kerana adat merupakan identiti yang mencerminkan keunikan sesuatu kumpulan etnik.

Di Sarawak, Persatuan Melanau yang sentiasa komited untuk memastikan adat resam mereka kekal terpelihara dan usaha membudayakan adat resam diteruskan di dalam kehidupan meskipun berhadapan kemodenan dan globalisasi.

Manakala, pihak lain seperti muzium khususnya secara berterusan menggandakan usaha untuk mengumpul dan memelihara khazanah budaya masyarakat Melanau bagi memastikan khazanah dan adat resam terus utuh untuk generasi akan datang.

Sementara itu, usaha yang dilakukan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) MAIS dalam memastikan adat resam terus dipelihara dan dikenali ialah berperanan sebagai autoriti kepada adat-adat bumiputera di Sarawak.

MAIS memainkan peranan sebagai sebuah institusi yang menjalankan penyelidikan terhadap subjek-subjek berkaitan adat resam masyarakat peribumi Sarawak.

Melalui penyelidikan yang dijalankan, rekod-rekod berkaitan adat resam dapat dipelihara manakala hasil penyelidikan diterbitkan dalam bentuk penulisan untuk menjadi tatapan generasi baru.

Dengan demikian, usaha ini dapat memelihara dan menjamin kelestarian adat resam sesuatu masyarakat itu.

Rujukan:

Appleton, A. (2011). Melanau Secondary Treatment of the Dead: Re-Membering Connections. The Sarawak Museum Journal, LXIX (90). 139-160.

Charles Tenggoi Aseng, (1998). History and relationship of Melanau to other ethnic groups. In A. Wing (Ed.) Sejarah, Budaya dand Realiti baru Kaum Melanau. Pp.1-9. Kuching: Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak.

Babcock, T. (1974). Indigenous ethnicity in Sarawak. Sarawak Museum Journal, 12(43), 191- 202.

Morris, S. (1991). The Oya Melanau. Sarawak: Malaysian Historical Society.

Rousseau, J. (1990). Central Borneo: Ethnic life and social life in a stratified society. Oxford: Clarendon Press.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article