- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Fungsi dan Peranan Struktur Sosial Dalam Adat Perkahwinan Kaum Kenyah

Must read

Masyarakat Kenyah yang dikategorikan dalam kumpulan etnik Orang Ulu turut menyumbang kepada kepelbagaian serta keunikan budaya di Sarawak.

Sama seperti masyarakat Kayan, masyarakat Kenyah turut mengamalkan sistem struktur sosial iaitu status atau kelas sosial seseorang individu tersebut yang ditentukan menerusi keturunannya.

Sehingga pada hari ini, aktiviti sosial seperti adat kelahiran, aktiviti pertanian, kepimpinan, perkahwinan atau sistem hukum masih dipengaruhi oleh sistem struktur sosial ini.

Sebagai contoh, sistem hukuman jikalau menurut Hukum Adat, semakin tinggi kelas sosial seseorang itu, maka semakin tinggilah nilai hukumannya. (Jurisdiction of the Ketua Masyarakat No. 119).

Encik Nicholas Jok (Seksyen Penyelidikan Etnik Orang Ulu-MAIS)

Perkara ini dijelaskan oleh Encik Nicholas Jok dari Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) Seksyen Penyelidikan Etnik Orang Ulu semasa Festival Sarawakiana pada 5 September 2021.

Umumnya, struktur sosial komuniti Kenyah dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat teratas ialah  kelas ‘Paren’; peringkat pertengahan ialah kelas ‘Keta’u’; dan peringkat bahawan ialah kelas ‘Panyin’.

Kelas ‘Paren’ boleh disamakan dengan golongan bangsawan di mana secara tradisinya, golongan ini akan menjadi pemimpin masyarakat Kenyah di sesebuah penempatan.

Struktur Sosial Suku Kaum Kenyah

Sehingga kini, kebanyakan penempatan Kenyah masih mengamalkan sistem ini khususnya dalam pemilihan pemimpin seperti ‘Paren Uma’ (Ketua Kaum), Penghulu, Pemanca dan Temenggong.

Kelas ‘Keta’u’ atau golongan bangsawan rendah ini berlaku apabila wujudnya perkahwinan antara individu dari kelas ‘Paren’ dan ‘Panyin’.

Kelas ‘Panyin’ dianggotai oleh golongan ‘commoner’ (biasa) dan majoriti penduduk dari sesebuah penempatan Orang Ulu Kenyah adalah dari kelas ini.

Menurut sejarah, sebenarnya terdapat satu lagi kelas dalam struktur sosial masyarakat Kenyah yang tidak lagi wujud pada hari ini.

Ia dikenali sebagai kelas ‘Dippen’ yang jika diterjemahkan, ia membawa maksud hamba abdi, iaitu golongan yang berada di peringkat paling bawah dalam struktur sosial masyarakat Kenyah.

‘Dippen’ kebiasaannya bekerja di rumah keluarga ‘Paren’ dan mempunyai hubungan yang rapat dengan mereka.

Kewujudan kelas ‘Dippen’ ini juga membuktikan bahawa masyarakat Kenyah pernah mengamalkan sistem perhambaan suatu ketika dahulu.

Walau bagaimanapun, sistem perhambaan yang pernah diamalkan oleh masyarakat ini dan masyarakat barat adalah berbeza.

Merujuk kepada penerbitan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) pada tahun 2014, ‘Dippen’ dalam konteks barat boleh dijual dan diguna sama mengikut kehendak tuannya, tambahan lagi, status mereka amat rendah sehinggakan mereka boleh diperdagangkan.

Bagi masyarakat Kenyah pula, ‘Dippen’ wujud disebabkan individu tersebut memerlukan bantuan dan perlindungan atau seseorang individu yang pernah diselamatkan daripada sesebuah bencana ataupun pertuangan.

Sekitar tahun 90-an, ‘Dippen’ ini telah dihapuskan dari struktur sosial dan secara tidak langsung, individu-individu dari kelas ini telah diserap ke dalam kelas ‘Panen’.

Struktur sosial masyarakat Kenyah sangat mempengaruhi aktiviti sosial dan ekonomi mereka sehinggalah kepada adat perkahwinan.

Dalam majlis atau upacara perkahwinan, adalah penting dan wajib untuk ‘Paren Uma’ hadir menyaksikan perkahwinan tersebut bagi mengesahkan perkahwinan tersebut benar-benar dijalankan.

Kebiasaan yang diamalkan sejak dahulu kala masih lagi digunakan sehingga hari ini iaitu dalam urusan pendaftaran perkahwinan melalui adat dan pada hari ini juga, ketua kaum diwajibkan untuk menjadi saksi pertama.

Sehubungan itu, perkahwinan antara kelas-kelas sosial adalah tidak dilarang, namun ianya tidak digalakkan sejak zaman dulu lagi kerana ia berkemungkinan untuk menjaga keturunan khususnya bagi golongan ‘Paren’ kerana golongan inilah yang akan meneruskan legasi kepimpinan.

Namun, jika perkahwinan antara kelas terjadi, satu kumpulan akan ditubuhkan dan kumpulan ini akan dianggotai oleh beberapa individu yang boleh dipercayai dari kelas ‘Paren’ dan ‘Panyin’.

Anggota kumpulan ini akan berbincang secara sulit dari semasa ke semasa mengenai perkara berkaitan hal ehwal komuniti seperti waris kepimpinan.

Perkahwinan dalam masyarakat Kenyah ini juga berkait rapat dengan hal berkaitan dengan perkara yang boleh menguatkan masyarakat dan sistem kepimpinan. Justeru itu, perkahwinan antara kampung dibenarkan khususnya bagi golongan ‘Paren’ bagi memastikan keturunan mereka boleh terpelihara

Pemain sape Suku Kaum Kenyah
‘Jatung-utang’ iringan moden untuk sape

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article