Proses perkahwinan kaum Kenyah dimulai dengan ‘Mutu Leto’, yang jika diterjemahkan dalam konteks sekarang, ia adalah sama maksudnya dengan merisik.
Di peringkat ini, ibu bapa, saudara mara dan sahabat pihak lelaki akan datang ke rumah keluarga perempuan bagi menyampaikan utusan atau hajat mereka untuk menjadikan anak perempuan mereka sebagai menantu.
Sekiranya jawapan yang diterima adalah positif, ibu bapa kedua-dua pihak akan berjumpa ‘Paren Uma’ (Ketua Kaum) secara bersendiri atau bersama bagi memaklumkan tentang perkahwinan anak mereka.
Perkara ini dijelaskan oleh Encik Nicholas Jok dari Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) Seksyen Penyelidikan Etnik Orang Ulu semasa Festival Sarawakiana pada 5 September 2021.
Apabila upacara ‘Mutu Leto’ sudah selesai, proses ‘Atep Hawa atau Tebuku Te’ iaitu upacara pemberian pertunangan daripada lelaki kepada perempuan di hadapan ‘Paren Uma’ dan pemimpin kampung dijalankan bagi menandakan pasangan tersebut sudah mempunyai ikatan pertunangan.
Dalam proses ‘Tebuku Te’ juga, perkara seperti tarikh perkahwinan dan ‘Kivan’ (pasangan bersama-sama keluarga mereka menentukan kediaman tetap selepas perkahwinan) akan dibincangkan.
Bagi tempoh pertunangan, ianya tidak boleh melebihi enam (6) bulan dari tarikh ‘Tebuku Te’ dan ‘Pelah Hawa’ namun, sekiranya pasangan bercadang untuk melanjutkan tempoh pertunangan, maka mereka perlu memaklumkannya kepada ‘Paren Uma’.
Jika berlaku pembatalan pertunangan berdasarkan keputusan bersama, pemberian semasa proses ‘Tebuku Te’ tadi perlu dikembalikan kepada pihak lelaki.
Walau bagaimanapun, jika pembatalan pertunangan terjadi disebabkan tidak tanduk negatif oleh salah seorang dari pasangan atau pihak ketiga, maka hukum adat akan dilaksanakan.
Pada masa yang sama, pemberian semasa proses ‘Tebuku Te’ akan dikembalikan jika si wanita yang didapati bersalah sebaliknya ia akan kekal menjadi milik wanita jika lelaki yang didapati bersalah.
Selepas tamatnya tempoh pertunangan, maka ‘Pelah Hawa’ (majlis atau solemnisasi perkahwinan) pun dilaksanakan.
‘Pelah Hawa’ diadakan dengan penuh kemeriahan di hadapan orang ramai dan wajib disaksikan oleh ‘Paren Uma’ kampung tersebut.
Mengikut amalan masyarakat Kenyah, lazimnya “Pelah Hawa’ dijalankan di kampung wanita namun, jika pasangan adalah dari kampung yang sama, maka ‘Pelah Hawa’ akan dijalankan di lamin pihak wanita.
Jelas beliau, setiap majlis perkahwinan dimulakan dengan aktiviti persiapan, begitu juga dengan perkahwinan masyarakat Kenyah.
Merujuk kepada buku terbitan MAIS 2014 berjudul ‘Orang Ulu Traditional Courtship Marriage and Divorce’, salah satu persiapan yang paling berat sebelum majlis perkahwinan ialah memastikan bekalan makanan mencukupi.
Lazimnya, keluarga yang menjalankan upacara perkahwinan akan mencari dan memilih tanah yang bagus untuk menanam padi dan memelihara binatang domestik untuk dijadikan juadah semasa upacara perkahwinan kelak.
Dari situasi ini, dapat kita lihat mengapa tempoh antara ‘Atep Hawa’ dan ‘Pelah Hawa’ masyarakat Kenyah boleh mencecah sehingga enam (6) bulan ke atas, kerana ia adalah untuk memberi kesempatan kepada keluarga untuk menjalankan persiapan.
Beberapa hari sebelum ‘Pelah Hawa’, penduduk kampung akan membantu keluarga yang membuat majlis perkahwinan.
Segelintir masyarakat kampung akan ke hutan mencari kayu api, ada juga mencari daun untuk membungkus nasi, ada yang berburu, menjala dan memukat, kemudian komuniti ini akan bekerjasama menyediakan juadah perkahwinan.
Pada hari perkahwinan, paluan gong dan muzik berkumandang di rumah panjang dan tetamu-tetamu yang datang akan disambut dengan meriah dengan air ‘tuak’.
Menurut beliau, terdapat hiasan yang menyerupai rumah dan burung Kenyalang, parang ataupun sarung yang diperbuat daripada rokok gulung menghiasi siling hawa atau galeri rumah panjang.
Hiasan siling yang diperbuat daripada rokok gulung ini mempunyai maksudnya yang tertentu misalnya, hiasan siling yang menyerupai Kenyalang, menandakan lelaki yang berkahwin adalah dari keluarga ‘Paren’.
Jika hiasan menyerupai parang, maka keluarga lelaki yang berkahwin adalah berasal daripada golongan ‘Panyin’.
Bagi hiasan siling berbentuk rumah pula, ia menandakan golongan yang berkahwin adalah daripada golongan ‘Paren’ dan jika hiasan berbentuk sarung, perempuan yang berkahwin itu adalah daripada golongan ‘Panyin’.
Kemudian, tetamu-tetamu yang hadir, akan dibawa ke lamin pengantin perempuan di mana upacara akan dijalankan.
Dua amalan atau adat yang penting dilakukan semasa ‘Pelah Hawa’ ialah yang pertama, pengantin perempuan akan duduk di atas gong.
Kemudian, lapan orang pengapit perempuan akan meletakkan ‘saong’ (topi suku kaum Kenyah) satu persatu di atas kepala pengantin perempuan tersebut.
Antara signifikan amalan ini adalah agar pasangan sentiasa dilindungi dan diberikan berkat yang berkelimpahan.
Selepas kesemua lapan ‘saong’ diletakkan di atas kepala pengantin perempuan, ia akan dibuka satu persatu bermula dari atas.
Lapan (8) orang pengapit perempuan yang terlibat tadi akan menerima pemberian berbentuk sarung manakala lapan (8) pengapit lelaki akan menerima pemberian berbentuk parang dan selepas itu, simbolik mengikat ikatan perkahwinan akan dibuat.
Amalan yang kedua ialah, pasangan bersama pengapit mereka akan berjalan lapan (8) pusingan di suatu kawasan sebagai simbolik pasangan mencari makanan untuk diberikan kepada keluarga mereka kelak.
Selesai saja upacara tersebut, maka pasangan telah pun dianggap sudah berkahwin namun bagi konteks masa ini, pasangan wajib mendaftarkan perkahwinan mereka agar ia sah di sisi undang-undang.
Kemudian pada malam harinya pula, pasangan dan para hadirin akan duduk bersama-sama di ‘awah’ atau galeri rumah panjang tempat upacara dijalankan dan mereka akan disajikan dengan juadah dan makan bersama-sama.
Pada masa yang sama, orang-orang tua atau pemimpin akan memberikan nasihat kepada pasangan yang berkahwin dan ia disusuli dengan aktiviti hiburan yang lazimnya akan berlangsung sehingga pagi berikutnya.
Demikianlah sedikit sebanyak tentang proses perkahwinan masyarakat Kenyah namun, segelintir masyarakat Kenyah mungkin mengamalkan budaya yang berbeza daripada yang diterangkan di atas, bergantung kepada sub-etnik masyarakat Kenyah tersebut dan kawasan penempatan mereka.