- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

PPN Menyelaras dan Memantau Projek Pembangunan Kerajaan Persekutuan Di Sarawak

Must read

Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Sarawak telah ditubuhkan pada 14 Oktober 1969 sebagai sebuah agensi di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Pengarah PPN Sarawak YBhg. Dato’ Hasnul bin Mohamed

Selaras dengan visi ICU JPM sebagai agensi pusat yang unggul dalam penyelarasan pembangunan negara, PPN Sarawak telah menjadi peneraju utama di peringkat negeri yang menyelaras dan memantau setiap projek pembangunan Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di Sarawak.

Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah PPN Sarawak YBhg. Dato’ Hasnul bin Mohamed semasa ditemu ramah RAKAN Sarawak secara dalam talian menerusi e-mel baru-baru ini.

Menurut beliau, perkhidmatan teras utama PPN Sarawak ialah untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan dan ‘outcome’ program atau projek pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).

PPN Sarawak juga bertindak sebagai pemegang pangkalan data eKasih yang memainkan peranan penting dalam menyokong program dan projek kesejahteraan rakyat yang melibatkan golongan sasar iaitu rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan.

Sebagai usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, PPN Sarawak telah mewujudkan tiga (3) pejabat zon yang berpusat di Bahagian Betong, Bahagian Sibu dan Bahagian Miri.

Salah satu inisiatif yang giat dilaksanakan oleh PPN Sarawak ialah menjalankan Projek Khas Bumiputera (PKB) Sarawak yang diadakan dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan Negeri.

PKB Sarawak terbahagi kepada enam (6) kluster iaitu;

  1. Kluster Hak Adat Bumiputera (Native Customary Right)
  2. Kluster Pembangunan Ekonomi
  3. Kluster Mahkamah Adat
  4. Kluster Pembangunan Infrastruktur Luar
  5. Kluster Pembangunan Infrastruktur Luar (Sambungan)
  6. Kluster Pembangunan Modal Insan

Kluster Hak Adat Bumiputera adalah inisiatif pengukuran tanah adat yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) melibatkan ukuran perimeter dan ukuran individu.

Kluster Pembangunan Ekonomi merupakan program kesedaran penduduk kampung iaitu tindakan setelah pengukuran tanah dibuat seperti mewujudkan peluang perniagaan, penyelenggaraan jalan ladang serta program sumber kekayaan baharu melibatkan tanaman durian, pisang, kopi dan nanas.

Pengarah PPN Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Antara agensi yang terlibat di bawah kluster ini ialah Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) Sarawak, Jabatan Pertanian Negeri Sarawak (DOA) dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).

Kluster Mahkamah Adat pula merupakan program ‘Capacity Building’ dan kesedaran yang melibatkan anggota pentadbiran kerajaan, Temenggong, Ketua Kaum, Tuai Rumah Panjang atau pemimpin tempatan berkenaan adat, prosedur serta undang-undang yang melibatkan penduduk setempat.

Menaiktaraf Mahkamah Bumiputera Sarawak yang ada di setiap Pejabat Daerah juga antara objektif yang berada di bawah kluster ini.

Perbincangan dua hala bersama Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak (EPUS) serta Pengarah JTS pada 29 Januari 2021

Agensi yang terlibat di bawah kluster ini ialah PPN Sarawak, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Mahkamah Bumiputera Sarawak (MBS), dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Kluster Pembangunan Infrastruktur Luar pula merupakan projek bina baharu Pusat Perkhidmatan Luar Bandar (RSC), Pusat Pengumpulan (CC) dan Kemudahan Pendaratan Penumpang atau Passenger Landing Facilities (PLF) di Bahagian Miri, Mukah dan Kapit dan ia dikendalikan oleh JKR.  

Manakala Kluster Pembangunan Infrastruktur Luar (Sambungan) merupakan Projek sambungan PLF Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Nanga Iran, Song.

Kluster Pembangunan Modal Insan pula merupakan program meningkatkan pendapatan komuniti setempat yang melibatkan penghantaran serta pembekalan rotan ke Long Lama.

Kluster ini turut melibatkan penyediaan tempat serta peruntukan kepada bumiputera Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di pusat-pusat latihan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri dalam kursus-kursus yang dikenal pasti mampu meningkatkan taraf hidup peserta.

Termasuk di bawah projek ini ialah pelaksanaan program komuniti ‘One Stop Centre’ yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Residen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, DOA, MAIS dan agensi-agensi lain.

Kluster Pembangunan Modal Insan melibatkan kerjasama PPN Sarawak dengan DOA serta Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU).

Menurut Dato’ Hasnul, daripada enam kluster yang dinyatakan di atas, salah satu inisiatif yang telah memberi impak besar kepada rakyat ialah program Pengukuran Tanah Adat Bumiputera.

Sepanjang RMK-11 (2016-2020), sejumlah RM85 juta telah diperuntukkan kepada JTS untuk melaksanakan projek ini.

Merujuk rekod PPN Sarawak, projek ini telah memberi manfaat kepada 902,567 penduduk di negeri Sarawak yang melibatkan pengukuran 216, 302 hektar bagi ukuran perimeter dan 48, 032 hektar bagi ukuran individu.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article