- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sarang Burung Walit – Komoditi Yang Diberi Keutamaan oleh JPVS

Must read

Sarang burung walit adalah salah satu komoditi yang sedang diberi keutamaan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) ketika ini kerana ia berpotensi untuk dikembangkan sekali gus akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport produk makanan menjelang 2030.

Pengarah JPVS, Dr. Adrian Susin Ambud

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah JPVS, Dr. Adrian Susin Ambud ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak baru-baru ini dan menurut beliau, secara keseluruhannya eksport burung walit ke negara China adalah semakin baik meskipun kita sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

Hal ini kerana, kuasa membeli di negara China kini sudah dipertingkatkan, jadi permintaan terhadap produk burung walit juga semakin bertambah.

Namun demikian, JPVS berdepan dengan sedikit kekangan iaitu dari segi persijilan kerana negara China hanya mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

Selain itu, JPVS juga pernah berdepan dengan isu di mana burung walit yang dieksport ke negara China didapati mengandungi nitrit yang tinggi.

Oleh itu, JPVS telah melakukan intervensi untuk memperbaiki kandungan nitrit dalam sarang burung walit agar ianya tidak melebih piawai yang dikenakan oleh negara China.

Menurut beliau, syarat yang diberikan oleh negara China ialah agar kandungan nitrit itu tidak melebih 34 bahagian per juta (ppm atau mg/kg).

Justeru, JPVS telah melakukan beberapa inisiatif antaranya menerapkan sistem HSTP Good Manufacturing Practice dan Amalan Penternakan Yang Baik atau Good Animal Husbandry Practice (GAHP) di peringkat ladang untuk mengurangkan residu atau ampas pada produk hasil sarang burung.

Beliau berkata. meskipun berdepan dengan isu tersebut, pasaran burung walit dari negeri Sarawak masih memberangsangkan cuma kita mendapat persaingan yang hebat daripada negara Indonesia dan Thailand.

Difahamkan bahawa negara Indonesia adalah pengeluar sarang burung walit terbesar kerana produk mereka adalah lebih murah daripada negara kita.

Walaupun demikian, disebabkan adanya permintaan yang cukup besar, Malaysia masih boleh menjual produk burung walit ini ke negara China.

Tambah beliau, industri burung walet masih boleh dikembangkan lagi kerana JPVS menganggarkan Sarawak kini mempunyai lebih 4,000 premis burung walit.

Ketika ini, JPVS sedang giat mendaftarkan semua premis-premis yang ada ini supaya dapat memantau aspek pengeluaran serta keselamatan produk sekali gus memastikan sarang burung walit ini mempunyai kualiti yang tinggi memandangkan ia menggunakan ‘Borneo’ sebagai jenama produk.

China menetapkan syarat bagi kandungan nitrit adalah tidak melebih 34 bahagian per juta (ppm atau mg/kg)

Negara China melihat jenama ‘Borneo’ ini sebagai satu kepulauan yang masih ‘hijau’ dan oleh kerana itu, apabila kita memasarkan jenama burung walit dengan jenama ‘Borneo Product, Natural and Fresh’, ini telah menjadi satu teknik pemasaran yang sangat berkesan untuk kita bersaing dengan negara lain.

Penolong Kanan Pegawai Veterinar, Encik Henry Banyan

Menurut Penolong Kanan Pegawai Veterinar Encik Henry Banyan pula, industri burung walit di Sarawak masih lagi dalam pemantauan JPVS dan setakat ini, Sarawak ada enam (6) buah loji yang boleh mengeksport sarang burung walit terus ke negara China dan mereka dianggap lebih beruntung kerana boleh mendapat harga yang lebih tinggi.

Selain daripada enam buah loji ini, yang lain perlu melalui negara Hong Kong, Singapura dan Taiwan untuk mengeksport produk burung walit ke negara China.

Jelas beliau juga, setakat ini JPVS cuma dapat mendaftar sekurang-kurangnya 1,900 premis burung walit dan masih banyak lagi premis yang masih belum didaftarkan.

JPVS menyasarkan untuk mendaftar sekurang-kurangnya 300 buah premis dalam setahun tetapi memandangkan kita kini menghadapi kekangan untuk bergerak, hanya sedikit premis yang dapat didaftarkan pada tahun lepas dan tahun ini.

Menurut beliau, ramai orang masih takut membuat rumah sarang burung walit ini kerana prosedur untuk mendapatkan lesen sangat ketat dan setakat ini ramai pengusaha yang tidak mempunyai lesen.

Misalnya, daripada 4,000 lebih premis burung walit di seluruh Sarawak, hanya 500 hingga 600 buah premis yang mempunyai lesen dan sebaliknya.

Lebih 4,000 premis burung walit terdapat di Sarawak

Beliau mendedahkan, eksport yang paling besar adalah pada tahun 2018 iaitu sebanyak lebih 10 tan dieksport melalui JPVS ke negara China manakala untuk tahun ini setakat bulan Julai, JPVS hanya mengeksport enam (6) tan burung walit ke negara China.

Pada tahun 2017 dan 2018, JPVS telah mendirikan 95 buah rumah burung walit berskala rendah yang berharga dalam lingkungan RM20 ribu untuk membantu pengusaha burung walit di negeri ini.

Daripada 95 buah rumah tersebut, 38 buah sudah mendapat hasil setakat ini dan JPVS akan terus membantu pengusaha burung walit ini dari semasa ke semasa dan salah satu usaha yang dilakukan ialah menguji lokasi rumah burung walit untuk memastikan ia akan dapat membuahkan hasil.

JPVS berharap agar lebih ramai penduduk di Sarawak yang akan menceburkan diri dalam industri burung walit dan JPVS kini dalam proses untuk berbincang dengan Kerajaan Sarawak agar dapat mengkoordinasikan atau mengendalikan rumah sarang burung.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article