- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

MARDI Sarawak Bantu Kembangkan Penggunaan Teknologi Pertanian

Must read

RAKAN Sarawak telah berkesempatan menemu bual Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sarawak, Encik Mohammad Noor Adros Yahya secara dalam talian bagi menelusuri pencapaian MARDI sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.

Pengarah MARDI Sarawak, Encik Mohammad Noor Adros Yahya

Beliau memulakan perkongsian dengan menceritakan sejarah penubuhan MARDI sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang makanan dan pertanian serta industri makanan.

Sebagai sebuah organisasi yang menjalankan urusan teras penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi, MARDI menyediakan kumpulan pakar penyelidik dalam bidang-bidang makanan, tanaman dan ternakan selaras dengan misi untuk menjana teknologi pertanian demi kesejahteraan masyarakat.

Pada tahun 1985, MARDI Sarawak dengan rasminya telah ditubuhkan bertujuan untuk memindahkan teknologi-teknologi wajar dan matang yang dihasilkan oleh pusat-pusat penyelidikan MARDI.

Matlamat penubuhan MARDI Sarawak juga adalah untuk menjalankan program penyelidikan pertanian dan makanan yang telah dikenal pasti sesuai dan mempunyai kepentingan buat negeri Sarawak.

MARDI Sarawak mempunyai tiga (3) stesen penyelidikan iaitu di Kuching, Saratok dan Bintulu di mana setiap stesen penyelidikan mempunyai fungsi dan peranan yang berbeza-beza.

Misalnya MARDI Kuching yang ditubuhkan pada tahun 1985 lebih ke arah penyelidikan pemprosesan makanan dan pemindahan teknologi.

Manakala MARDI Saratok yang ditubuhkan pada tahun 2000 berfungsi untuk penyelidikan dan pembangunan tanaman di tanah gambut dan memperkenalkan sistem pertanian baharu yang mesra alam.

MARDI Bintulu yang ditubuhkan pada tahun 2003 berfungsi untuk mengadaptasi teknologi tanaman, herba dan buah-buahan secara agro-hutan, teknologi tanaman jangka pendek di tanah mineral dan ternakan.

Beralih kepada pencapaian MARDI sepanjang tempoh tiga tahun (2018 hingga 2020), beliau kongsikan antara kejayaan MARDI termasuklah mengadakan Sambutan 50 tahun MARDI pada 31 Oktober hingga 2 November 2019 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Sempena sambutan 50 tahun MARDI, Rancangan Strategik Korporat MARDI 2021 (CSP MARDI) telah dilancarkan.

Rancangan Strategik Korporat MARDI 2021 (CSP MARDI) dilancarkan sempena sambutan 50 tahun MARDI

Selain itu, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) yang dianjurkan oleh MARDI telah menjadi acara tahunan bagi pameran pertanian terbesar negara.

Menurut beliau, MAEPS telah diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) pada masa ini berikutan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak dalam negara kita.

MARDI juga telah memenangi lebih daripada 1,000 pengiktirafan hasil aktiviti Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) serta pengurusan malah telah menerima banyak pengiktirafan daripada pelbagai badan kerajaan, swasta dan agensi di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Ratusan pengiktirafan diterima dalam pengurusan kualiti, beberapa aktiviti yang melibatkan MS ISO, pengurusan pentadbiran dan kewangan, pelaksanaan projek dan pameran serta pengiktirafan melalui aktiviti R&D yang telah meraih 600 anugerah.

MARDI juga telah memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) pada 1992 dan 2005 di mana ia merupakan pengiktirafan utama di peringkat kebangsaan sekali gus telah meletakkan MARDI sebagai satu agensi sektor perkhidmatan awam yang cemerlang dalam amalan pengurusan kualiti.

Turut dikongsikan ialah, pencapaian terbesar MARDI Sarawak lebih sepuluh tahun lalu iaitu penubuhan makmal teknologi yang dikenali sebagai Testbed MARDI Kuching telah dilancarkan pada 2009 di mana ia merupakan salah satu daripada sembilan (9) test bed yang telah diwujudkan di Malaysia.

Latihan sangkut pemprosesan mi kuning dan mi kolok di Testbed MARDI, Kuching

Testbed MARDI Kuching terdiri daripada tiga (3) kluster teknologi iaitu hasilan bakeri, makanan konvinien (makanan dan minuman dalam tin) dan hasilan ikan (otoshimi dan surimi).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan suatu skim yang mudah untuk diperolehi dan memenuhi keperluan minimum yang diperuntukkan di dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 iaitu Skim Persijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Yang diPertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mencuba cendol segera (produk inovasi MARDI) semasa MAHA 2018
Program Cendol Segera bersama Ketua Menteri Sarawak

Persijilan MeSTI dan Halal adalah salah satu daripada beberapa bentuk khidmat sokongan yang dilaksanakan di bawah program pembangunan usahawan MARDI.

Umumnya, penggunaan teknologi dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) agak terhad memandangkan mereka memerlukan kos yang agak besar untuk membeli mesin-mesin tersebut.

Oleh itu, MARDI telah menawarkan peralatan-peralatan serba canggih ini kepada mereka supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran produk-produk mereka ke pasaran yang lebih luas

Usahawan-usahawan IKS akan dibimbing dan dipantau oleh pakar-pakar dari MARDI untuk menghasilkan produk dengan cara yang betul dan berkualiti tinggi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article