Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) YBhg Datu Dr. Sabariah Putit telah dijemput sebagai tetamu kehormat webinar The Administrative Profesionals Seminar (APS) 2021 anjuran Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE) dengan kerjasama Unit Sumber Manusia Negeri (SHRU), Jabatan Ketua Menteri pada 28 Ogos lepas.
Webinar dengan tema ‘Managing Work Life Balance in The Time of COVID-19’ diadakan bertujuan memberi kesedaran tentang konsep asas keseimbangan kerja dan kehidupan dalam konteks hari ini pada ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan kepada kesihatan mental bagi sesetengah individu.
Menurut YBhg Datu Dr. Sabariah, webinar berkenaan adalah platform perkongsian amalan terbaik yang memberi peluang kepada para peserta menimba pengetahuan dan teknik secara praktikal dalam menguruskan kesihatan mental, seterusnya membantu mereka lebih bermotivasi dalam menjalani kehidupan yang positif dan sejahtera selain membantu mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat sambil meningkatkan produktiviti.
Seramai empat penceramah dijemput menjayakan webinar tersebut yang terdiri daripada Ketua Bahagian Sokongan Pekerja SHRU, Riziandy bin Nawawi, Ketua Eksekutif ACE Biznez Services, Dr. Maria Rufina, Penceramah Profesional, Surain A. victor dan Ketua Pegawai Eksekutif Vital Voices Asia Sdn Bhd, Hjh Annie binti Yahaya.