- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

LAKU Komited Merealisasikan Liputan Penuh Bekalan Air Menjelang 2025

Must read

Sarawak menyasarkan liputan 100 peratus bekalan air terawat ke seluruh negeri menjelang tahun 2025.

Bagi memastikan aspirasi tersebut dapat dicapai, Program Sistem Bekalan Grid Air Sarawak di bawah Kementerian Utiliti Sarawak telah giat dilaksanakan sejak 2018.

Ketika merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan bangunan ibu pejabat LAKU Management Sdn. Bhd. pada Ogos lepas, Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg membayangkan tiga entiti bekalan air negeri sedia ada, iaitu Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) akan disatukan menjadi sebuah agensi bekalan air utama apabila program berkenaan berjaya mencapai matlamatnya.

Lakaran artis bangunan baharu ibu pejabat LAKU Management Sdn. Bhd.

Perkara ini diakui Ketua Pegawai Eksekutif LAKU Management Sdn. Bhd., Encik Daneil Punang dalam temu bual secara maya bersama RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Menurut Encik Daneil, kisah kejayaan dan pencapaian LAKU boleh dijadikan contoh kepada hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan satu agensi bekalan air ke seluruh negeri pada masa akan datang.

Tangkap layar sesi temu bual RAKAN Sarawak bersama Ketua Pegawai Eksekutif LAKU Management Sdn. Bhd. Encik Daneil Punang

“Sepanjang 25 tahun yang lalu, LAKU telah membekalkan air kepada kira-kira 600,000 penduduk meliputi Bahagian Miri, Bintulu dan Limbang.

“Pengoperasian LAKU di sepanjang tempoh tersebut juga terus mencatatkan keuntungan dan LAKU tidak pernah gagal dalam membayar sewa pajakan kepada Kerajaan Negeri yang kini telah mencapai jumlah sebanyak RM400 juta,” jelas Encik Daneil.

LAKU juga merupakan antara agensi bekalan air terbaik di negeri malah juga di negara dalam mengawal kadar peratusan air tanpa hasil (NRW) di bawah kadar purata 25 peratus.

Encik Daneil mengakui bahawa setiap agensi bekalan air akan berhadapan dengan isu NRW, iaitu kehilangan air yang disebabkan oleh kerosakan dan kebocoran saluran paip atau bekalan air yang diambil secara haram.

Pada 2018 dan 2019, LAKU berjaya mengawal purata peratusan NRW pada kadar 24.8 peratus. Walau bagaimanapun, peratusan NRW pada 2020 meningkat sedikit, iaitu pada kadar 26 peratus disebabkan permintaan tinggi bekalan air untuk disalurkan ke hab industri petrokimia yang baharu di Samalaju, Bintulu.

Encik Daneil menjelaskan, pihaknya akan berusaha menurunkan peratusan NRW di kawasan Bintulu bagi memastikan lebih banyak air dapat dibekalkan di utara negeri.

“Bintulu adalah sebuah bandar yang pesat membangun dengan banyak aktiviti industri dijalankan. Ini menyebabkan permintaan bekalan air juga tinggi,” katanya.

Bekalan air ke hab industri petrokimia Samalaju merupakan salah satu projek yang sedang dilaksanakan LAKU pada ketika ini, melibatkan pemasangan paip 800mm sepanjang 6 kilometer.

Projek-projek lain yang juga sedang dalam pelaksanaan termasuklah naik taraf loji rawatan air Nyabau, Bintulu bagi meningkatkan bekalan air daripada 254 mililiter sehari (MLD) kepada 354MLD dan projek di bawah Program Sistem Grid Air Sarawak Fasa 2 di Miri untuk meningkatkan bekalan air Loji Rawatan Air Lambir, Miri daripada 214MLD kepada 314MLD menjelang 2025.

Grafik menunjukkan skop projek bagi meningkatkan bekalan air Loji Rawatan Air Lambir di Miri Fasa 2

Skop projek merangkumi pemasangan paip 1600mm sepanjang 16km dan paip submarine berkembar 1200mm bagi mendapatkan sumber air mentah dari Sungai Karap dan Sungai Bakong.

Pada Ogos lepas, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah menyerahkan tangki takungan air berkapasiti 27ML di Bukit Selatan, Miri kepada pihak LAKU.

Tangki berkenaan adalah tambahan kepada dua tangki sedia ada yang mampu menjadikan bekalan air di bandar raya Miri bertahan sehingga 10 jam jika berlaku gangguan bekalan air.

Dari segi pengurusan organisasi dan pelanggan, pihak LAKU sentiasa berpegang kepada visi dan misinya sebagai entiti yang prihatin, responsif dan progresif dalam melaksanakan tanggungjawab.

Permohonan penyambungan bekalan air kini dapat diselesaikan dalam tempoh empat hari berbanding tujuh hari sebelum ini.

Menurut Encik Daneil, LAKU sedang berusaha untuk memendekkan lagi tempoh penyambungan kepada hanya dua hari.

Selain itu, LAKU juga menyasarkan untuk menjalankan pemeriksaan dan penyambungan air ke saluran paip yang dipasang pihak kontraktor di kediaman baharu dalam tempoh lima hari.

Sebagai organisasi yang prihatin, penyambungan semula bekalan air yang telah dipotong disegerakan dalam tempoh 24 jam supaya tidak begitu membebankan pengguna.

Melangkah ke hadapan, sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, LAKU Management Sdn. Bhd. akan terus komited dalam memastikan Program Sistem Bekalan Grid Air Sarawak direalisasikan menjelang 2025.

Sistem Bekalan Grid Air Sarawak akan bergantung pada teknologi apabila beroperasi sepenuhnya kelak. Sehubungan itu, LAKU perlu membuat persediaan dari segi kemahiran tenaga kerja.

“Program Sistem Bekalan Grid Air Sarawak merupakan satu visi besar dan banyak bergantung pada teknologi.

“Kami perlu menyelenggara kemudahan berkaitan yang akan melibatkan sistem automasi dan data.

“Oleh yang demikian, LAKU perlu mempersiapkan warga kerjanya dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi aspirasi tersebut,” ujar Encik Daneil.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article