- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Majlis Anugerah SCSICA 2021

Must read

Majlis Anugerah Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2021 telah dilangsungkan secara fizikal dan maya pada 14 Oktober di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg bersempena penutupan rasmi Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak bagi tahun 2021.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, YBhg Dato’ Amir bin Omar.

Sesi bergambar para pemenang Anugerah SCSICA 2021 bersama Ketua Menteri dan tetamu-tetamu kehormat yang lain

Sebanyak lima anugerah disampaikan kepada pemenang dan satu anugerah kejutan yang julung kali disampaikan, iaitu Anugerah Pegawai Inovasi Sarawak 2021.

Anugerah utama, iaitu Anugerah Inovasi Ketua Menteri Sarawak bagi Kategori Agensi Negeri dimenangi oleh Kumpulan SASSOKU TECH dari Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching dengan projek bertajuk ‘Kaedah Penentuan dan Pemantauan Isipadu Tanah Untuk Lesen Memindah Bahan Batuan Tanah Yang Kurang Efisyen’.

Manakala Kategori Persekutuan pula dimenangi oleh Kumpulan (Dua Taruh) 2 Semong dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sarawak dengan tajuk projek ‘Kesukaran Mengenal Pasti Ketetapan Isi Kandungan Barang Dalam Kontena’.

Pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Anugerah Khas SCSICA dimenangi oleh Jabatan Hutan Sarawak sebagai mengiktiraf komitmen warga kerja jabatan berkenaan dalam menyahut cabaran membudayakan inovasi bermula pada 2019 dan 2020 sehingga melahirkan 12 buah kumpulan KIK setiap tahun yang bertanding di peringkat jabatan.

Pada tahun ini, sebanyak 10 daripada 13 kumpulan KIK telah dipilih mengikuti saringan peringkat zon dengan enam pasukan teah berjaya ke peringkat akhir SCSICA 2021.

Kumpulan Flares dari Jabatan Hutan Sarawak telah terpilih untuk mewakili Sarawak ke 46th International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) 2021 di Hyderabad, India yang akan berlangsung dari 24 hingga 27 November depan.

Anugerah Ureka MACRI dimenangi oleh Kumpulan SWAN dari Pejabat Pendidikan Daerah Sibu menerusi projek bertajuk ‘Kesukaran Menjalankan Kerja Amali Sains di Luar Bilik Sains.

Anugerah berkenaan adalah sumbangan daripada Malaysian Association of Creativity and Innovation (MACRI) sebagai mengiktiraf penghasilan inovasi yang signifikan dan mempunyai potensi nilai komersial.

Hasil kemenangan tersebut, pemenang akan menerima khidmat konsultansi dan paten produk inovasi secara percuma yang bernilai RM8,000.

Bagi Anugerah Hybrid, pemenangnya ialah Kumpulan Lands Tahai Q Hybrid Ta’rom dari Jabatan tanah dan Survei Bahagian Limbang dan Jabatan Kerja Raya Bahagian Limbang.

Projek yang diketengahkan bertajuk ‘Kutipan Royalti Lesen Memindah Bahan Batuan (Tanah) bagi Projek-projek Kerajaan Adalah Rendah’.

Pemenang menerima hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Kumpulan SIRIUS PRIME dari Majlis Bandaraya Miri memenangi Anugerah Inovasi Sosial menerusi projek bertajuk ‘Kesukaran Mengutip Cukai Tahunan Tertunggak’.

Projek bertajuk ‘Pelaporan Status Kemajuan Pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Yang Kurang Efektif’ turut melayakkan Kumpulan Kanzen-Sei dari Unit Integriti dan Ombudsman Negeri memenangi anugerah yang sama.

Anugerah Inovasi Digital disumbangkan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bagi memberi pengiktirafan terhadap produk atau perkhidmatan inovasi yang berunsur digital selaras dengan Dasar Ekonomi Digital negeri.

Kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

Yang menarik dalam anugerah SCSICA pada tahun ini ialah pengenalan Anugerah Pegawai Inovasi Sarawak 2021 yang merupakan satu kejutan dan disampaikan buat pertama kali bagi mengiktiraf pegawai yang berdedikasi dan bertanggungjawab dalam pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam.

Penerima anugerah tersebut ialah Penolong Pengarah dan Ketua Bahagian di Bahagian Pengiktirafan dan Penyelidikan, Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Jabatan Ketua Menteri, Encik Dolhadi bin Haji Marzuki.

Sepanjang berkhidmat sejak 2008, beliau sentiasa mempamerkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang serta memberi impak kepada agenda transformasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS). Beliau juga telah berjaya membawa KIK PANS ke arena antarabangsa dan membawa pulang pelbagai anugerah seperti di Tokyo, Jepun.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article