- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak

Must read

Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak atau ringkasannya SRAS merupakan satu daripada inisiatif Belanjawan Negeri 2021 yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah di bandar.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM48 juta untuk skim bantuan tersebut yang dijangka akan memanfaatkan seramai 20,000 isi rumah yang layak.

Inisiatif SRAS dikhaskan kepada penyewa rumah di bandar-bandar utama di Sarawak meliputi Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Bantuan sewa berjumlah RM200 untuk tempoh maksimum 36 bulan akan disalurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) yang dipertanggungjawab menyelia skim bantuan berkenaan.

Pada Julai lepas, permohonan telah pun dibuka kepada umum menerusi laman sesawang HDC yang boleh dilayari di hhtp://hdc.sarawak.gov.my.

Infografik yang menerangkan kriteria permohonan Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) yang dipaparkan pada laman sesawang Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC)

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Encik Mohamad Asman bin Haji Ahmad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak baru-baru ini, HDC kini sedang dalam proses menyalurkan bantuan tersebut kepada pemohon-pemohon yang memenuhi kriteria dan syarat kelayakan.

Encik Mohamad Asman ketika ditemu bual secara dalam talian baru-baru ini

Kriteria utama ialah pemohon seorang warganegara Malaysia dan pemastautin tetap di Sarawak dan memiliki MyKad dengan status ‘K’, berumur 21 tahun ke atas.

Pemohon juga hendaklah terdiri daripada ketua keluarga dengan pendapatan kasar isi rumah kurang daripada RM2,131 sebulan, bapa atau ibu tunggal dengan sekurang-kurangnya mempunyai seorang anak yang tinggal bersama.

Keutamaan juga diberi kepada orang kelainan upaya (OKU) dan kriteria terakhir ialah rumah atau premis yang disewa bukannya milik ahli keluarga terdekat.

Pemohon dikehendaki mengisi Borang Permohonan dengan menyertakan salinan dokumen terkini berkaitan, seterusnya dihantar ke pejabat HDC berdekatan.

Pemohon juga perlu menyertakan dokumen sokongan seperti salinan sijil kahwin atau sijil cerai, salinan Kad Pengenalan pemohon dan pasangan, salinan sijil lahir dan MyKid untuk anak yang berada di bawah tanggungan dan tinggal bersama pemohon.

Pemohon juga perlu menyertakan bersama penyata gaji yang menunjukkan pendapatan kasar bulanan ketua isi rumah termasuk pasangan.

Program bantuan berkenaan jelas Encik Mohamad Asman merupakan salah satu mandat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada HDC untuk dilaksanakan dalam membantu golongan yang masih belum mampu membeli rumah, terutama yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Tambah beliau, HDC juga tidak meminggirkan golongan bujang yang ingin mendapatkan bantuan sewa rumah.

“Walaupun HDC menetapkan syarat kelayakan umum, iaitu dalam kategori isi rumah atau berkeluarga seperti golongan B40, pertimbangan akan diberi kepada golongan bujang yang ingin memohon bantuan seperti skim bantuan sewa rumah seliaan kami.

“Syaratnya, mereka perlu kemukakan bukti bahawa mereka mempunyai tanggungan sama ada ibu bapa atau adik beradik yang tinggal bersama di rumah yang disewa,” jelas Encik Mohamad Asman.

Dalam perkembangan berkaitan, Encik Mohamad Asman memaklumkan seramai 754 penyewa baharu telah diluluskan permohonan menyewa mereka untuk rumah di bawah Skim PPR Sewa, iaitu program Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Perumahan dan Krajaan Tempatan yang diselia oleh HDC.

Kelulusan tersebut meliputi enam buah projek Skim PPR, iaitu PPR Batu Gong, Siburan dengan 500 unit rumah, PPR Taman Sri Wangi, Kuching (200 unit), PPR Demak Laut, Kuching (185 unit), PPR Taman Dahlia, Kuching (816 unit), PPR Bandaria Park, Bintulu (1,000 unit) dan PPR Rantau Panjang, Sibu (500 unit).

Selain itu, HDC juga menyediakan Program Pinjaman Kepada Perseorangan Rumah Panjang (PKPRP) dengan pinjaman maksimum RM30,000 tanpa faedah untuk tempoh bayaran 25 tahun.

Dari tahun 2018 hingga 2020, sebanyak 161 projek merangkumi 3,183 pintu terlibat dengan Program Kepada Perseorangan Rumah Panjang (PKPRP) dengan peruntukan RM59.47 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM48.12 juta daripada Kerajaan Negeri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article