- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bermukun Hiburan Tradisi Masyarakat Melayu Sarawak

Must read

Bermukun merupakan salah satu aktiviti hiburan masyarakat Melayu Sarawak yang dilangsungkan ketika acara keramaian seperti majlis perkahwinan dan berkhatan.

Seni hiburan tradisional ini menggabungkan persembahan tarian dan pantun berirama yang diiringi oleh gesekan biola dan gendang.

Majlis bermukun juga dijadikan saluran untuk masyarakat Sarawak zaman dahulu berbincang tentang soal duniawi mahupun akhirat kerana hanya pada masa tersebut sahaja mereka boleh berkumpul beramai-ramai sambil menenangkan fikiran.

Pada zaman dahulu, bermukun lazimnya dilangsungkan pada malam sebelum persandingan pengantin.

Namun, zaman telah berubah. Hari ini, bermukun juga dilangsungkan pada majlis keramaian umum seperti majlis rasmi kerajaan dan karnival.

Seh Gendang sedang menyanyikan pantun sambil memukul gendang

Bermukun sangat tidak asing bagi masyarakat Melayu Sarawak. Tradisi ini sudah lama wujud dan bertapak di Bumi Kenyalang yang turut dijadikan sebagai wadah untuk mendidik dan mengkritik perilaku masyarakat sambil berhibur.

Selain itu, bermukun juga dijadikan medium pemikiran cinta sama ada tersurat mahupun tersirat.

Terdapat tiga elemen penting dalam bermukun, iaitu Seh Gendang, Menopeng dan Bertandak.

Seh gendang ialah sekumpulan wanita seramai dua atau tiga orang yang duduk di sebalik tabir yang berperanan sebagai pemukul gendang sambil menyanyikan pantun.

Manakala kaum lelaki pula duduk di luar tabir. Ruang tengah berdekatan tabir dikosongkan untuk penari atau ‘penandak’ menari bersama pasangan masing-masing.

Kaum lelaki akan menari secara bergilir-gilir. Di sesetengah tempat, sebahagian daripada kaum lelaki turut disertai oleh pemain biola atau akordian.

Bermukun juga disebut sebagai ‘Bertandak’ dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak

Irama yang dimainkan oleh penggesek biolalah yang akan menjadi ikutan seh gendang ketika berpantun dan bermukun.

Pantun merupakan cetusan hati nurani, pemikiran, pandangan hidup dan alam, kebijaksanaan dan kreativiti masyarakat Melayu (Abang Seruji Abang Muhi, 2014).

Melalui acara bermukun, maka lahirlah aktiviti menzahirkan pantun-pantun yang dialunkan oleh seh gendang sambil dipenuhi dengan aksi berbalas pantun oleh penandak.

Bermukun biasanya berlangsung sepanjang malam hinggalah ke subuh mengikut kehendak dan kemampuan seh gendang atau dengan keizinan tuan rumah.

Menopeng ialah elemen kedua dalam bermukun. Istilah ‘menopeng’ timbul daripada penari lelaki yang memakai topeng kerana timbul rasa malu untuk menari di khalayak ramai dan untuk menyembunyikan identiti masing-masing.

Penari ini juga dipanggil sebagai ‘topeng’. Topeng yang dipakai bukanlah topeng muka, sebaliknya mereka menggunakan kain pelikat atau kain batik untuk menutupi seluruh bahagian muka dan badan.

Penari yang memakai topeng hanya melihat seh gendang dan wanita-wanita lain melalui celah-celah kain yang digunakan untuk menutup muka. 

Bagi yang tidak begitu pemalu, mereka akan menari tanpa menutupi muka dan badan.

Istilah menopeng kekal disebut hingga ke hari ini dan generasi baharu Sarawak memahami menopeng yang merujuk pada aktiviti bermukun. 

Bermukun juga disebut sebagai ‘bertandak’ yang bermaksud menari dalam dialek Melayu Sarawak. Bertandak adalah pelengkap kepada aktiviti bermukun.

Secara umum, bermukun diadakan bertujuan untuk berhibur dan bersuka ria. Sambil berhibur, acara bermukun secara tidak langsung menjadi temasya golongan teruna dan dara mencari pasangan.

Menerusi bermukun, mereka dapat mengenali gadis dan jejaka idaman dengan dekat, lebih-lebih lagi pada zaman dahulu, anak-anak gadis jarang sekali keluar dari rumah, apatah lagi bersosial.

Pada zaman dahulu, acara bermukun dan bergendang adalah masa yang dinanti-nantikan oleh anak-anak muda untuk mencari jodoh dan berkenal-kenalan (Mary Fatimah Subet, 2014).

Inilah peluang bagi mereka yang ingin mencari pasangan hidup. Tidak dinafikan, ada dalam kalangan masyarakat yang bertemu jodoh setelah menghadiri acara bermukun.

Masyarakat Melayu Sarawak menetapkan pantang larang ketika hendak mengadakan majlis bermukun sebagai menghormati beberapa perkara meliputi aspek agama, toleransi dalam hidup berjiran dan kesesuaian keadaan.

Sebagai contoh, bermukun tidak akan dilangsungkan pada malam Jumaat yang merupakan masa mustajab untuk beribadah termasuk pada bulan Ramadhan, malam nisfu Syaaban dan Israk Mikraj.

Begitu juga sekiranya berlaku kematian, saudara mara atau jiran yang sedang sakit tenat di kampung dan kampung-kampung berdekatan, bermukun tidak dilangsungkan bagi menghormati suasana dan mereka yang sedang berduka.

Memandangkan bermukun ada ketikanya berlarutan hingga ke subuh, ia mesti dihentikan apabila azan solat subuh berkumandang.

Menariknya, insiden dan perkara yang melucukan sering terjadi ketika majlis bermukun sedang berlangsung.

Insiden sedemikian mewujudkan suasana yang menghiburkan dan menimbulkan keterujaan dalam kalangan penghibur dan hadirin.

Bercampak merupakan antara insiden yang berlaku dalam bermukun. Bercampak adalah perilaku penari atau topeng yang membaling wang syiling ke dalam tabir kerana terlalu seronok dipuji oleh seh gendang melalui pantun-pantun yang mencuit perasaan.

Kadang-kadang, topeng akan menyidai wang kertas di tabir sambil menari. Wang tersebut akan dikumpul oleh tuan rumah dan diserahkan kepada seh gendang pada penghujung majlis.

Sungguhpun begitu, insiden bercampak jarang sekali berlaku.

Menurut cerita generasi terdahulu, keterujaan dalam kalangan masyarakat untuk menghadiri majlis bermukun boleh menyebabkan mereka sanggup untuk berenang menyeberangi sungai jika tidak ada perahu untuk ditumpang.

Malah, ada di antara penari atau topeng menyediakan beberapa helai baju persalinan ketika menyertai bermukun supaya sentiasa kelihatan segak di sepanjang malam.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article