- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Legenda Di Sebalik Tibow

Must read

Masyarakat Melanau di Sarawak kaya dengan adat resam dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

Etnik Melanau yang majoritinya mendiami sebahagian besar wilayah tengah Sarawak meliputi kawasan Rejang di Sibu, Mukah hingga ke Bintulu juga mewarisi satu permainan tradisional yang unik dan boleh dikatakan berbahaya dan ekstrem.

Permainan yang dimaksudkan ialah Pisa Tibow atau lebih dikenali sebagai Tibow. Tibow ialah permainan buaian gergasi yang lazimnya pada zaman moden ini dimainkan semasa berlangsungnya Pesta Kaul Mukah yang merupakan pesta tahunan etnik Melanau.

Tibow sudah dimainkan sejak dari zaman dahulu lagi. Menurut buku yang ditulis oleh Shahnil Asmar Saaid dan Mohamed Roselan Malek, terdapat cerita legenda di sebalik permainan Tibow.

Dikisahkan, suatu ketika dahulu terdapat sebuah kampung Bernama Kampung Pentian di Mukah telah dilanda wabak berbahaya yang membawa maut.

Permainan Tibow memerlukan keberanian dan lazimnya dimainkan oleh golongan lelaki

Wabak tersebut telah mengorbankan banyak nyawa penduduk di kampung berkenaan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh penduduk kampung untuk memerangi wabak tersebut, namun mereka sering menemui jalan buntu.

Jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan penduduk telah menyebabkan Kampung Pentian menjadi suram dan sunyi sepi kerana ramai keluarga yang sedang berduka dan berkabung.

Diriwayatkan juga bahawa pada satu malam, seorang lelaki tua dalam kalangan etnik Melanau di Kampung Pentian bermimpi didatangi seekor burung helang gergasi yang mengajar lelaki tua berkenaan bagaimana untuk membina Tibow serta cara ia dimainkan.

Selepas bangun dari tidur, lelaki tua tersebut lantas menceritakan mimpinya kepada seorang bomoh.

Untuk makluman, masyarakat Melanau kuno merupakan masyarakat pagan, iaitu tidak mempunyai kepercayaan agama tetapi sebaliknya mempercayai kewujudan pelbagai tuhan dan dewa serta mempercayai amalan animistik atau kebomohan.

Masyarakat Melanau pada ketika itu mendapatkan khidmat bomoh sebagai perantaraan kepada mereka untuk mentafsirkan cerita di sebalik mimpi.

Berdasarkan pada telahan firasat bomoh itu tadi, mimpi lelaki tua tersebut dipanjangkan ke pengetahuan ketua masyarakat Kampung Pentian.

Oleh kerana percaya terhadap mimpi tersebut, maka penduduk kampung sama ada lelaki dan wanita telah sama-sama berpadu tenaga membina buaian gergasi atau Tibow seperti yang digambarkan dalam mimpi lelaki tua berkenaan.

Menurut cerita legenda tersebut lagi, wabak yang melanda Kampung Pentian terus hilang dan tidak lagi melanda setelah Tibow siap dibina.

Sejak dari peristiwa itu, Tibow dijadikan permainan tradisi yang perlu ada dalam setiap pesta yang disambut masyarakat Melanau Satawak dari dahulu hingga sekarang.

Pembinaan Tibow juga menurut masyarakat Melanau mempunyai pantang larangnya tersendiri. Sewaktu membina Tibow, set canang dan gendang melela mesti dipukul bagi memeriahkan suasana pembinaan Tibow.

Dua batang kayu yang dijadikan tiang dan asas binaan Tibow perlu mempunyai kepanjangan melebihi 30 kaki.

Sewaktu mendirikan kedua-dua tiang berkenaan, pantun pusaka masyarakat Melanau akan dinyanyikan.

Pantun yang dinyanyikan adalah satu bentuk pemujaan kepada dewa yang dipanggil ‘Ipo Tibow’ yang akan menguasai permainan Tibow.

Tujuan pantun dinyanyikan adalah untuk meminta pertolongan dewa tersebut supaya semua urusan dalam membina Tibow dipermudahkan.

Setelah tiang didirikan, proses membina struktur-struktur lain akan dimulakan. Dari segi struktur keseluruhan, Tibow berbentuk seakan-akan sebuah piramid.

Lazimnya, Tibow berketinggian antara lapan hingga 10 meter dan dibina secara condong di atas tanah yang rata.

Struktur binaan Tibow mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama mempunyai para atau pemidang yang menyerupai anak tangga manakala bahagian kedua pula terdiri daripada dua batang tiang berbentuk segi tiga.

Pada bahagian kedualah terdapat juntaian tali yang diperbuat daripada rotan untuk pemain bergantung padanya dan dihayun seperti buaian.

Bahagian kedua Tibow juga menyerupai sebuah buaian gergasi.

Dari segi cara permainan, seorang pemain akan melompat dari struktur bahagian pertama Tibow yang menyerupai pemidang ke tali rotan untuk bergantung pada tali tersebut.

Pemain pertama akan mengayun tali berkenaan seperti buaian, diikuti seberapa ramai pemain-pemain yang seterusnya akan melompat dan bergantung sehingga tali tersebut tidak lagi dapat dihayun kerana beban berat pemain yang ramai.

Permainan Tibow sebenarnya memerlukan keberanian dan biasanya dimainkan oleh kaum lelaki. Oleh sebab itulah Tibow perlu dibina dengan terperinci untuk memastikan binaannya kukuh serta mampu menampung beban pemain.

Tibow juga perlu dibina di atas permukaan tanah yang lembut dan rata. Biasanya, Tibow dibina di tepi pantai kerana permukaan pasir yang tebal dan lembut mampu menyerap dan mengurangkan hentakan jika pemain terjatuh.

Permainan Tibow bukan sahaja unik, malah tahap keselamatan pemain turut diambil perhatian dalam pembinaan sesebuah Tibow.

Pesta Kaul Mukah mPesta Kaul Mukah merupakan pesta budaya unik yang diadakan setiap tahun oleh masyarakat Melanauerupakan pesta budaya unik yang diadakan setiap tahun oleh masyarakat Melanau

Hari ini, permainan tradisional Melanau ini masih lagi dimainkan dalam acara keramaian dan pesta seperti Pesta Kaul.

Permainan warisan nenek moyang seperti ini seharusnya dipelihara dan dipertontonkan kepada generasi sekarang dan akan datang supaya ia tidak pupus ditelan zaman.

Malah, sebaiknya permainan tradisional seperti Tibow perlu dimartabatkan dan diperkenalkan kepada dunia agar masyarakat luar dapat mengenali betapa uniknya warisan dan budaya etnik Sarawak, khususnya masyarakat Melanau.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article