- Advertisement -spot_img
4,771
published news
and counting

Bajet 2022 Memangkin Pembaharuan Pasca Pandemik

Must read

Bajet 2022 dirangka berdasarkan jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik COVID-19 pada tahun hadapan.

Oleh yang demikian, tumpuan utama bajet kali ini adalah untuk terus melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian rakyat dan perniagaan, selain membina semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan pasca pandemik.

Menurut Kenyataan Pra-Bajet 2022 Kementerian Kewangan (MOF) yang dikeluarkan pada 31 Ogos 2021, Bajet 2022 akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan.

Lebih daripada itu, Bajet 2022 juga merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19 telah menghadkan aktiviti ekonomi secara menyeluruh dan menjejaskan pendapatan pelbagai golongan masyarakat.

Namun, PKP juga telah memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan usaha pemulihan pada kadar segera.

Lantaran itu, beberapa pakej bantuan diumumkan dalam usaha kerajaan memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi tidak terjejas.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumumkan, diikuti dengan PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA PRIHATIN untuk mengurangkan kesan PKP ke atas rakyat dan perniagaan.

Pada tahun ini, empat lagi pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan, iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), PEMERKASA Tambahan dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Bajet 2022 akan terus melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian rakyat dan perniagaan

Beberapa pakej bantuan tersebut telah pun mencapai objektif dan sebahagian lagi masih dalam peringkat pelaksanaan dalam jangka masa pendek dan jangka panjang.

Melihat situasi ekonomi global, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi global kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 6.0% pada 2021 setelah mengalami penguncupan 3.2% pada 2020 akibat kesan pandemik COVID-19 disusuli pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

IMF menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia pada 2022 diunjurkan terus berkembang sebanyak 4.9%, didorong oleh liputan yang lebih luas bagi program vaksinasi global yang membolehkan pembukaan semula sektor ekonomi serta pemulihan perdagangan dan rantaian bekalan global.

Mengenai prestasi ekonomi Malaysia, unjuran rasmi pertumbuhan ekonomi negara bagi 2021 adalah di antara 6.0% hingga 7.5% seperti yang diumumkan pada Mac lepas.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan PKP 3.0 pada bulan Mei dijangka menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi pada 2021 setelah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 16.1% pada suku kedua 2021.

Susulan itu, unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi keseluruhan tahun 2021 telah disemak semula kepada antara 3.0% hingga 4.0% seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 13 Ogos 2021.

Anggaran pertumbuhan ini adalah berdasarkan jangkaan pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sosial pada suku keempat 2021 berdasarkan kemajuan dan keberkesanan program pemberian vaksin yang memberangsangkan.

Dalam hal ini, Kerajaan juga telah melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa bermula Jun 2021.

Mengambil kira faktor-faktor yang menyokong pemulihan ekonomi bagi tahun 2021, khususnya pembukaan semula sektor ekonomi dan aktiviti sosial pada penghujung tahun dan permintaan luar yang terus kukuh, trend pemulihan ekonomi diunjurkan berterusan sehingga ke tahun 2022.

Program pemberian vaksin dipercepatkan dalam usaha mencapai imuniti kelompok yang seterusnya membantu proses pemulihan ekonomi negara

IMF mengunjurkan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 berkembang sebanyak 6.0% manakala Bank Dunia pula sebanyak 5.0%, iaitu kembali kepada trend pertumbuhan KDNK tahunan dalam tempoh pra-pandemik.

Dalam Bajet 2021, kerajaan telah menyasarkan defisit fiskal sebanyak 5.4% kepada KDNK bagi 2021 berdasarkan andaian pemulihan ekonomi yang stabil dan momentum pertumbuhan yang memberangsangkan pada separuh kedua 2020 dan berterusan sehingga 2021.

Kenyataan Pra-Bajet 2022 turut menerangkan kutipan hasil pada separuh pertama 2021 masih meningkat sebanyak 4.6% berbanding tempoh yang sama pada 2020, walaupun pada kadar lebih perlahan daripada anggaran bajet.

Namun, perbelanjaan juga bertambah sebanyak 5.7% disebabkan sokongan fiskal berterusan kepada rakyat, perniagaan dan ekonomi berikutan penyediaan pakej bantuan tambahan untuk mengurangkan impak krisis pandemik dan pelaksanaan semula beberapa projek pembangunan kerajaan bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi.

Kerajaan juga telah menyediakan pakej bantuan yang lebih besar dalam menghadapi kesan pandemik yang lebih buruk pada tahun ini berikutan kemunculan varian baharu yang lebih memudarat dan berjangkit dengan pantas.

Bajet 2022 akan berusaha memastikan tiada pihak yang tercicir sama ada dari golongan rakyat dan perniagaan dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan

Oleh yang demikian, pembukaan ekonomi secara berfasa diikuti perbelanjaan fiskal yang berterusan, sasaran defisit dianggarkan meningkat kepada 6.5% hingga 7.0% kepada KDNK pada 2021.

Operasi fiskal telah dan akan disokong melalui rasionalisasi perbelanjaan dengan mengutamakan pakej bantuan tambahan bagi memperkukuh sektor kesihatan dan ekonomi.

Langkah tersebut termasuklah menangguhkan pelaksanaan beberapa program dan projek, menyekat perbelanjaan yang tidak kritikal berikutan pelaksanaan PKP dan mengoptimumkan operasi di bawah norma baharu untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

Dalam masa yang sama, kekurangan hasil dijangka dapat diimbangi oleh kutipan lebih baik daripada hasil berkaitan komoditi berikutan harga minyak mentah dan sawit yang lebih tinggi.

Selain itu, sebahagian daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) telah dimanfaatkan sebagai langkah menyegerakan pelaksanaan program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok yang seterusnya akan mendorong pemulihan ekonomi lebih pantas.

Berdasarkan senario negara yang sedang pulih daripada krisis pandemik dan ekonomi, Bajet 2022 dirangka berdasarkan keperluan utama, iaitu untuk meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui PPN.

Kedua, menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan.

Yang ketiga ialah memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.

Seiring dengan PPN yang dilancarkan pada Jun lepas, Bajet 2022 akan meneruskan kesinambungan pelan berkenaan bagi memacu pemulihan negara.

Bagi memastikan negara berjaya pulih dan keluar daripada kemelut ini, Bajet 2022 akan terus melindungi dan memulih kehidupan dan mata pencarian rakyat pasca-pandemik.

Selain itu, kerajaan juga akan memacu pemulihan terhadap sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu turut dijadikan keutamaan.

Usaha membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan orang kelainan upaya (OKU) akan diberi tumpuan bagi memastikan golongan ini tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

Krisis COVID-19 telah mencabar kekentalan daya ketahanan ekonomi negara yang berteraskan kepelbagaian ekonomi, ketahanan fiskal serta keupayaan sistem kesihatan negara.

Sungguh pun begitu, ia juga memberi peluang kepada semua pihak untuk mengkaji kekurangan dan memperkukuh lagi ketahanan negara untuk menghadapi kemungkinan krisis serupa pada masa akan datang.

Oleh itu, Bajet 2022 turut menekankan usaha membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara bagi menghadapi krisis kesihatan melalui peningkatan kapasiti dan kualiti, memperkasa modal insan dalam sektor berkenaan serta menjalinkan kerjasama lebih erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Antara lain, Bajet 2022 juga akan memberi tumpuan pada usaha mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

Kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara yang terkesan disebabkan komitmen kerajaan dalam menampung pakej rangsangan dan bantuan untuk rakyat dan perniagaan turut akan dikaji di bawah Bajet 2022.

Krisis COVID-19 juga memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih lestari serta berproduktiviti dan bernilai tambah tinggi.

Oleh itu, Belanjawan 2022 akan memastikan langkah-langkah pembaharuan dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada pencapaian SDG, RMK12 dan WKB2030.

Kerajaan juga akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.

Usaha tersebut menggambarkan tekad negara untuk membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama.

Selain itu, peranan yang dimainkan oleh pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dalam tempoh pandemik ini telah menunjukkan kepentingannya sebagai rakan pembangunan kerajaan dalam menangani pelbagai isu rakyat.

Sehubungan dengan itu, kerajaan juga akan memperkukuh kerjasama dengan CSO dalam pelbagai bidang seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan modal insan serta meningkatkan kualiti kesihatan rakyat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article