- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mendokong Wawasan Sibu Capai Status Bandar Raya Menjelang 2030

Must read

Kerajaan Negeri mendokong aspirasi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) untuk menjadikan Sibu berstatus bandar raya di Sarawak menjelang tahun 2030.

Sehubungan dengan itu, beberapa projek besar sedang dirancang bagi membantu MPS mencapai wawasan tersebut.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, rancangan pembangunan untuk bandar Sibu seterusnya merangkumi pelan pembangunan semula Bukit Assek, memperluaskan kawasan bandar dan komersial di Bukit Kemuyang dan membangunkan Bukit Lima sebagai kawasan simpanan semula jadi.

Projek-projek berkenaan jelas beliau akan mendokong aspirasi menjadikan Sibu sebagai sebuah bandar raya dan akan dilaksanakan dalam pelan jangka panjang Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Sibu pada ketika ini jelas beliau telah memenuhi prasyarat lain untuk mencapai status bandar raya seperti memiliki sebuah universiti, iaitu Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS).

Ketua Menteri memaklumkan perkara tersebut ketika mengikuti Majlis Ulang Tahun Ke-40 Majlis Perbandaran Sibu yang dilangsungkan secara maya pada 2 November 2021.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji berucap ketika mengikuti Majlis Ulang Tahun Ke-40 Majlis Perbandaran Sibu secara maya

Yang turut menyertai beliau ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, YB Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian.

Mengulas mengenai pencapaian MPS sepanjang 40 tahun, MPS pada pandangan Ketua Menteri telah mencapai kejayaan yang memberangsangkan dalam mentransformasi bandar Sibu sepanjang tempoh tersebut.

Usaha membangunkan Sibu perlu diteruskan lagi untuk tempoh 40 tahun akan datang atau sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang dalam usaha mencapai status bandar raya menjelang 2030.

MPS telah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam mentrasnformasi bandar Sibu sepanjang 40 tahun

Oleh yang demikian, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan mendokong usaha MPS dan menyeru semua pihak agar bekerja dengan lebih gigih dan bersatu dalam mencapai wawasan tersebut.

Menyentuh mengenai pelan pembangunan semula Bukit Assek, Ketua Menteri memaklumkan, sebuah jawatankuasa khas telah pun dibentuk dan kerjasama di antara Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) mengenai rancangan berkenaan akan dijalankan.

Untuk memperluaskan kawasan bandar dan komersial di Sibu, Bukit Kemuyang akan dihubungkan dengan Bukit Lima dan Kampung Nangka.

Rancangan tersebut akan membantu meningkatkan pendapatan MPS daripada RM80 juta setahun kepada RM100 juta setahun dan rizab daripada RM25 juta kepada RM50 juta.

Jelas Ketua Menteri, peningkatan pendapatan dan rizab merupakan salah satu daripada beberapa syarat untuk mencapai status bandar raya.

Perluasan kawasan kediaman dan komersial di Sibu juga akan meningkatkan kedatangan orang luar, seterusnya membantu meningkatkan pendapatan MPS.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk menjadikan Bukit Lima sebagai kawasan simpanan semula jadi dan kawasan hijau seperti di Taman Semula Jadi Piasau di Miri dan di Kuching yang terletak berdekatan kawasan perindustrian.

Bagi melaksanakan rancangan tersebut, kerjasama di antara MPS dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak perlu dijalankan.

Selaras dengan wawasan mencapai status bandar raya, MPS turut mempunyai rancangan mentransformasi Sibu sebagai bandar pintar.

Unversiti Kolej Teknologi Sibu yang diwujudkan menjadi prasyarat untuk bandar Sibu mencapai status bandar raya menjelang 2030

Pengerusi MPS, Clarence Ting Ing Horth dalam ucapan aluan beliau memaklumkan inisiatif bandar pintar Sibu merangkumi aplikasi mudah alih Sibu Cares, sistem pengangkutan bas pintar, sistem pungutan sampah pintar, taman selamat, sistem parkir dan lampu isyarat pintar dan sebagainya.

Inisiatif bandar pintar jelas beliau akan meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menjadikan Sibu bandar moden selaras dengan perkembangan teknologi dan visi ekonomi digital negeri.

Ketua Menteri juga menzahirkan sokongan kepada MPS dalam inisiatif bandar pintar Sibu dan bersetuju untuk menaik taraf infrastruktur digital dan meningkatkan jaringan sambungan internet di bandar berkenaan melalui kerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article