- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Adat Perkahwinan Suku Tagal Sarawak

Must read

Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan warisan kesenian, kebudayaan serta bahasa, dan kepercayaan tersendiri malah, setiap etnik di Sarawak terbahagi mengikut kawasan penempatan seperti di lembah sungai, pesisiran pantai, kawasan pedalaman dan dataran tinggi.

Demikian juga dengan suku Tagal (Tahol) telah wujud di negeri Sarawak, namun disebabkan corak penempatan penduduk yang berselerak telah menyebabkan masyarakat ini tidak banyak berhubung dengan orang luar.

Merujuk buku Suku Tagal yang ditulis oleh Ketua Kaum, Puan Sairy Sary Bandas, mendiang Bina Langub telah bercerita kepada Tiga Buyun iaitu cucu beliau yang merupakan Ketua Masyarakat Kaum Tagal di kawasan Trusan dan Merapok pada waktu itu tentang kewujudan suku Tagal di Sarawak kira-kira 400 tahun dahulu.

Adat Perkahwinan Suku Tagal

Menurut adat perkahwinan suku Tagal, langkah pertama yang harus dilakukan ialah merisik anak gadis (Panukavan Nu Kavang atau Pamalaan).

Semasa merisik, adalah merupakan kewajipan keluarga lelaki untuk menghantar wang tunai sebanyak RM100 dan dua helai kain sarung kepada keluarga pihak perempuan sebagai pembuka bicara atau permulaan perbincangan sebelum tarikh meminang ditentukan atau diteruskan.

Sekiranya gadis tidak berkenan, maka wang tunai dan kain sarung tersebut akan dikembalikan oleh keluarganya kepada pihak keluarga lelaki.

Semasa majlis pertunangan, keluarga lelaki harus menyedia dan memberi sebiji gong lama, wang tunai berjumlah RM3,000, dua biji periuk dan 20 helai kain kepada keluarga perempuan, malah dua bentuk cincin untuk pasangan yang bertunang juga harus disediakan.

Kedua-dua belah pihak keluarga akan berbincang tentang berian si gadis dan menetapkan tempoh bertunang yang mana kebiasaannya adalah tiga bulan, enam bulan ataupun setahun.

Akan tetapi, tempoh ini lazimnya bergantung dengan keputusan perbincangan kedua-dua belah pihak keluarga melalui nasihat pemimpin rohani ataupun Ketua Kampung.

Apabila tiba hari perkahwinan (pangkahwinan), biasanya berian gadis Tagal Sarawak adalah sekitar lebih RM10,000, 40 helai kain sarung dan sebiji gong (tawak) lama bergantung kepada permintaan keluarga pihak perempuan.

Biasanya, kos belanja dapur boleh mencecah sehingga RM10,000 bergantung kepada keputusan perbincangan kedua-dua belah pihak keluarga dan majlis perkahwinan kaum Tagal lazimnya diadakan selama dua hari.

Pada hari yang pertama, orang ramai dan sanak saudara dekat dan jauh dari tuan majlis datang untuk membantu keluarga yang empunya majlis perkahwinan.

Suku Tagal masih meneruskan amalan budaya hidup dalam masyarakat seperti gotong-royong semasa ada majlis keramaian

Jenis makanan yang biasanya dimasak atau disediakan oleh kaum Tagal sewaktu majlis perkahwinan ialah kelupis dan wajit.

Pada hari yang kedua, keluarga yang empunya majlis perkahwinan akan memasak untuk jamuan makan kepada rombongan pihak keluarga lelaki serta menanti ketibaan rombongan pengantin lelaki.

Adat menghantar pengantin perempuan kepada pihak keluarga pengantin lelaki

Perkahwinan akan diteruskan oleh Pastor (Ketua Gereja) yang bertugas di kampung tersebut atau oleh Ketua Masyarakat sendiri jika ianya diadakan secara kahwin adat.

Untuk memeriahkan lagi hari perkahwinan itu, kebiasaannya pada sebelah malam hari kedua adalah acara pemotongan kek bagi pengantin yang diraikan.

Pihak keluarga yang menganjurkan majlis perkahwinan juga akan menjemput sebuah kumpulan kugiran (band) untuk menghibur para tetamu yang telah hadir sehingga waktu pagi sebagai tanda rasa gembira atau rasa bersyukur kedua-dua belah pihak keluarga yang empunya majlis perkahwinan.

Tetamu menghadiri majlis keramaian perkahwinan

Selepas itu, satu majlis keramaian (Panitiisan) akan diadakan untuk mengumpulkan wang berian bagi membantu keluarga yang terlibat dalam menjayakan majlis perkahwinan.

Wang yang diterima semasa Panitiisan akan diberikan kepada keluarga lelaki bagi meringankan beban mereka dalam menampung perbelanjaan mengadakan majlis perkahwinan.

Sesungguhnya, ini menggambarkan satu budaya kehidupan masyarakat Tagal di Sarawak yang unik dalam hal tolong menolong dan cara mengumpul wang untuk berian ini masih kekal sehingga hari ini.

Sehubungan itu, adat Panitiisan perlu disaksikan dan haruslah diketahui oleh Ketua Adat di dalam kampung iaitu penghulu atau ketua kampung.

Pada waktu adat ini diadakan, keluarga yang mengadakan Pantiisan perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk membeli barang-barang keperluan dan memasak makanan kepada tetamu yang datang membayar berian dan yang pernah membantu keluarga yang mengadakan Pantiisan.

Adat Pantiisan ini tetap dijalankan walaupun pasangan itu sudah lama bersama sebagai suami isteri dan mempunyai anak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article