Kerajaan sedar bahawa perlindungan sosial rakyat perlu diperkukuhkan dalam krisis pandemik COVID-19.
Sehubungan dengan itu, pelbagai program dan perlindungan untuk manfaat golongan yang memerlukan diteruskan dengan penuh komitmen.
Dalam pembentangan Bajet 2022, Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz telah memperincikan inisiatif perlindungan sosial yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Di bawah Program Baucar Perlindungan Tenang, penerima bantuan B40 layak menerima baucar bernilai RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.
Inisiatif ini akan diteruskan pada tahun depan dengan nilai baucar ditingkatkan kepada RM75. Sebagai tambahan, baucar ini juga boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022.
Peluasan skop perlindungan ini diharap dapat memberi manfaat kepada golongan B40 yang menggunakan motosikal untuk mencari rezeki.
Kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian duti setem kepada produk Perlindungan Tenang serta produk insurans atau takaful dengan nilai premium atau sumbangan tidak melebihi RM150 bagi individu dan RM250 bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Pada tahun ini, skop mySalam telah diperluas meliputi tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung.
Bagi tahun hadapan, skim ini akan diperluas kepada penerima BKM dan manfaat tuntutan kos peranti perubatan juga akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima mySalam yang layak.
Setakat 30 September 2021, mySalam sebagai skim insurans perubatan khas untuk B40 telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak lebih RM180 juta kepada 125,000 orang pesakit.
Manakala 229 ribu individu pula telah menerima pampasan disebabkan COVID-19 dengan nilai keseluruhan RM115 juta.
Kerajaan juga telah melaksanakan inisiatif i-Saraan bagi menggalakkan pekerja sektor informal menabung untuk hari persaraan melalui caruman KWSP.
Melalui inisiatif tersebut, kerajaan mencarum sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela yang dibuat oleh pekerja sektor informal, terhad kepada maksimum RM250 setahun.
Bagi tahun 2022, Kerajaan penerima manfaat inisiatif ini akan diperluaskan, iaitu merangkumi mereka yang berumur antara 55 sehingga 60 tahun. Sejumlah RM30 juta disediakan untuk memanfaatkan lebih 100,000 orang peserta sedia ada dan baharu.
Perlindungan sosial golongan balu dan suri rumah turut diberi perhatian melalui caruman ke KWSP dan PERKESO.
Dalam inisiatif ini, kerajaan menyediakan RM80 juta di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia, khusus untuk manfaat golongan tersebut hingga umur 55 tahun.
Selain itu, kerajaan telah meluaskan liputan perlindungan sosial negara di bawah PERKESO untuk turut mencarum bagi pekerja sendiri dan sektor informal pada tahun ini.
Untuk tahun hadapan, inisiatif ini diteruskan dengan nilai caruman 80 peratus dan akan diperluaskan manfaatnya kepada sembilan kategori pekerja sendiri baharu antaranya petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti.
Inisiatif tersebut dijangka memanfaatkan lebih 810,000 orang pekerja sendiri. Antara lain, kerajaan juga akan meneruskan pemberian Elaun Mencari Pekerjaan kepada pencarum dan bukan pencarum PERKESO.
Pada tahun hadapan, kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan PERKESO daripada RM475 kepada RM550 yang akan membantu 56 buah isi rumah.
Selain itu, inisiatif berkenaan akan disusuli dengan penyelarasan faedah-faedah PERKESO kepada kos sara hidup yang dijangka akan memanfaatkan lebih 400,000 orang penerima faedah sedia ada.
Menerusi peningkatan tersebut, kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 dalam usaha menambah baik liputan keselamatan sosial bagi sembilan (9) juta orang pekerja yang dilindungi oleh PERKESO.
Secara keseluruhan, inisiatif ini akan melibatkan penambahan faedah PERKESO yang berjumlah RM267 juta.
Turut dicadangkan, ialah pelepasan cukai sehingga RM4,000 kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig.
Bagi menggalakkan pekerja swasta mencarum dengan PERKESO dan melindungi mereka yang kehilangan pekerjaan, had pelepasan cukai dinaikkan daripada RM250 kepada RM350 dan skop pelepasan bagi caruman PERKESO turut diperluas meliputi caruman pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan.