- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

17 Projek Impak Tinggi Untuk Sarawak Dalam RMK12

Must read

Sebanyak 17 projek berimpak tinggi akan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Antara dua projek mega iaitu Projek Jambatan Batang Kemena B di Jalan Sibu-Bintulu, Bahagian Bintulu bernilai RM65 juta dan Projek Jambatan Sungai Limbang di Jalan Lawas-Merapok Bahagian Lawas berjumlah RM115 juta juga akan dilaksanakan di negeri ini.

Secara keseluruhan projek jalan, jambatan dan bangunan kini sedang aktif dengan sebahagian projek sedang menerima surat setuju terima dan sebahagiannya masih lagi dalam peringkat perolehan.

Demikian menurut Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof kepada media ketika Sesi Libat Urus Bersama Media Sarawak pada 14 November yang lepas.

Antara projek-projek lain yang dalam pembinaan seperti Projek Membina Sarawak-Sabah Link Road (Lawas -Persimpangan Long Lopeng (RM1.13 bilion), Projek Pembinaan Jalan Akses ke kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (RM147 juta) dan menaik taraf Jalan Datuk Musa di Samarahan (RM229 juta).

Projek Membina Sarawak-Sabah Link Road (Lawas -Persimpangan Long Lopeng sebahagian daripada projek dalam RMK12

Beberapa projek lain juga akan dilaksanakan seperti jejambat Jalan Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn di Bintulu (RM146 juta), projek menaik taraf Jambatan Sungai Gaya di Limbang (RM10 juta), menaik taraf Jambatan Sungai Maragang di Limbang (RM20 juta), menaik taraf Jambatan Sungai Merapok juga di Limbang (RM20 juta) dan projek penggantian Jambatan Batang Lemanak di Lubok Antu (RM23.9 juta).

Projek-projek bangunan pula melibatkan penyiapan projek Hospital Petra Jaya yang terbengkalai (RM410.3 juta), pembinaan bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan (RM7.89 juta), pembinaan Sekolah Kebangsaan Pangkalan Kuap di Samarahan (RM25 juta), pembinaan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan PRIMA di Universiti Malaysia Sarawak (RM485.9 juta), pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Padawan (RM78.9 juta), pembinaan fasa kedua Institut Kemahiran Islam Sarawak (RM34.2 juta).

Di samping itu, terdapat juga Projek Pembaikan Cerun dan Kerja Berkaitan di Sekolah Menengah Kebangsaan Paku, Bau.

Sesi Libat Urus Bersama Media Sarawak diadakan bermatlamat mengemas kini maklumat berkaitan dengan perancangan KKR, terutama melibatkan projek-projek di bawah kendalian kementerian tersebut setelah pengumuman Belanjawan 2022.

YB Dato’ Sri Fadillah Yusof berucap ketika Sesi Libat Urus Bersama Media Sarawak
Kerjasama dengan pihak media penting dalam memastikan ketepatan maklumat yang disampaikan
YB Dato’ Sri Fadillah Yusof berinteraksi dengan pengamal media di Sarawak

Jelas beliau dalam Belanjawan 2022, KKR menerima peruntukan sebanyak RM7.306 bilion manakala peruntukan untuk pengurusan adalah sebanyak RM823 juta dan ia menurun berbanding sebanyak RM1.26 bilion dalam Belanjawan 2021.

Namun bagi belanjawan pembangunan pula meningkat sebanyak RM6.483 bilion berbanding RM6.088 bilion pada 2021.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article