- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Membina Daya Tahan Negara

Must read

Bajet 2022 terus fokus pada membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pasca pandemik yang lebih mampan.

Di bawah bajet tersebut, kerajaan bukan sahaja mengekalkan bantuan tunai langsung, malah juga menambah baik bantuan tersebut dengan peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM12 bilion untuk 2022.

Inisiatif berkenaan termasuklah memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar terkesan diberi tumpuan.

Menurut Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, pembaharuan tersebut mengambil kira cadangan yang diterima daripada orang ramai melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat.

Oleh yang demikian, isi rumah yang mempunyai tiga (3) orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan akan menerima BKM berjumlah RM2,000 berbanding dengan RM1,800 sebelum ini, iaitu kadar bantuan tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Kerajaan menambah baik bantuan tunai langsung dengan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dalam Bajet 2022

Kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000 selain bantuan tambahan sebanyak RM300 kepada isi rumah warga emas.

Jelas beliau, ini bermakna, ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.

Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion, iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR.

Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mendukung tiga (3) paksi utama, iaitu Memulih, Membina Ketahanan dan Menyusun Semula atau 3M.

Antara agenda penting dalam bajet berkenaan ialah usaha berterusan untuk melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu.

Di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), kerajaan akan menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

Manakala melalui PERKESO pula, usaha pengambilan pekerja akan diteruskan menerusi inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 orang dengan peruntukan RM2 bilion.

Di bawah inisiatif ini, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam (6) bulan pertama dan 30 peratus bagi enam (6) bulan berikutnya kepada majikan yang mengambil mereka yang tidak aktif bekerja, namun tertakluk pada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Selain itu, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti OKU, Orang Asli dan banduan, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam (6) bulan pertama dan 40 peratus bagi enam (6) bulan berikutnya tertakluk pada pekerjaan bergaji RM1,200 ke atas.

Insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah dalam usaha kerajaan menggalakkan wanita kembali bekerja.

Seterusnya, inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme atau MySTEP akan diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan mulai Januari 2022.

Bajet 2022 turut menyasarkan 220,000 pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion.

YB Senator Datuk Seri Utama Zafrul berharap, melalui pelaksanaan inisiatif JaminKerja serta langkah pemulihan ekonomi, kerajaan dapat menurunkan kadar pengangguran negara kepada empat (4) peratus dan mencapai tahap guna tenaga penuh.

Sebagai tambahan, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga tahun 2023 dalam usaha menggalakkan rakyat mengikuti program latihan serta menceburi bidang baharu.

Dalam membina ketahanan negara, kerajaan memperkenalkan strategi pemulihan terhadap sektor yang paling lama terkesan, antaranya pelancongan.

Beberapa inisiatif utama dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Pertama ialah pelaksanaan Program Subsidi Upah Bersasar membabitkan peruntukan sebanyak RM600 juta diharapkan dapat memanfaatkan lebih 26,000 majikan dan 330,000 pekerja dalam sektor pelancongan.

Selanjutnya, pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan sebanyak RM600 juta di bawah PENJANA Tourism Financing dan BPMB Rehabilitation Scheme, Bantuan Khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk tempoh tiga (3) bulan dengan peruntukan RM85 juta serta penyelenggaraan infrastruktur pelancongan dengan peruntukan RM50 juta.

Bajet 2022 menumpukan pemulihan sektor yang paling lama terkesan seperti pelancongan bagi membina daya tahan negara

Inisiatif berikutnya ialah pemberian geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah MOTAC serta geran pembaikan kepada pemilik inap desa berdaftar dengan peruntukan RM30 juta, geran padanan kepada syarikat yang menganjurkan program berkaitan seni dan budaya dengan peruntukan RM50 juta dan dana galakan bagi tujuan aktiviti promosi serta galakan pelancongan domestik dengan peruntukan RM60 juta.

Bagi merancakkan semula industri kreatif, agensi-agensi seperti FINAS, CENDANA dan MyCreative Ventures akan menggiatkan pelbagai inisiatif dengan peruntukan RM188 juta.

Kerajaan juga akan menjayakan Program Riuh Keluarga Malaysia melalui dana padanan pinjaman pelaburan berjumlah RM20 juta bagi membuka 5,000 peluang pekerjaan baharu.

Komuniti perniagaan runcit juga turut diberi perhatian dengan tumpuan khas diberikan bagi membantu perusahaan sosial, halal, kraf tangan, pertanian dan usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding yang telah memanfaatkan 500,000 usahawan tempatan dengan peruntukan RM250 juta.

Tumpuan juga diberikan kepada komuniti perniagaan dengan membantu golongan ini beralih kepada khidmat digital

Untuk meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik lebih ramai generasi muda agropreneur, kerajaan akan terus memacu pemodenan sektor pertanian.

Pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion antaranya RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta selain menyediakan insentif hasil tangkapan nelayan berjumlah RM150 juta.

Pada tahun hadapan, inisiatif bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan berjumlah RM120 juta akan dilaksanakan seperti mempelbagaikan Projek Jaminan Bekalan Makanan, memperkenalkan program pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara, Program Bantuan Insentif Makanan Ternakan Ruminan melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit dan Program Galakan Usahawan Tekno PKS.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article