- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Latar Belakang Pelan Pembangunan Lima Tahun Malaysia (RMK1 – RMK7)

Must read

Pelan pembangunan lima tahun Malaysia telah bermula pada tahun 1956 di mana ia memperincikan strategi dan inisiatif dalam menentukan keutamaan program dan projek yang dilaksanakan Kerajaan.

Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) ialah rancangan pembangunan ekonomi yang pertama dilaksanakan membabitkan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Objektif RMK-1 (1966-1970) adalah untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat dan meninggikan taraf hidup kawasan luar bandar terutamanya di kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Di bawah RMK-1, dua (2) buah agensi Kerajaan telah ditubuhkan iaitu Rural Industrial Development Authority (RIDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bertujuan untuk memajukan sektor ekonomi luar bandar.

FELDA telah ditubuhkan semasa RMK-1

RMK-1 memberi tumpuan kepada aspek-aspek integrasi dalam kalangan penduduk Malaysia agar sebarang penggubalan dasar pembangunan dapat meningkatkan kebajikan semua rakyat.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 turut ditubuhkan semasa RMK-1

Beberapa buah agensi kerajaan turut dilahirkan di bawah RMK-1 iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966; Bank Bumiputera 1966; Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) 1967; Lembaga Penasihat Tarif; dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) 1969.

Seterusnya RMK-2 (1971-1975) tertumpu kepada program pembangunan jangka panjang iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikenali sebagai ‘Serampang Dua Mata’.

Matlamatnya adalah untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat Malaysia dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi kaum.

Antara Matlamat RMK-2 yang lain ialah untuk memperbaiki kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan luar bandar selain menggiatkan lagi projek-projek pembukaan tanah dan penempatan baharu di bawah program FELDA.

RMK-2 juga bermatlamat untuk menggiatkan sektor pertanian dengan mempelbagaikan jenis tanaman sehingga tertubuhnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1966.

Tujuan penubuhan FAMA ialah untuk membantu petani-petani memasarkan hasil pertanian; mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah; dan melibatkan penyertaan rakyat dalam rancangan pembangunannya.

Program pembangunan jangka panjang iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan semasa RMK-2

Dalam RMK-3 (1976-1980), perancangan pembangunan wilayah telah diperkenalkan bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi menerusi pembangunan bandar baharu selain isu-isu alam sekitar dan keselamatan negara turut ditekankan.

Usaha ini digiatkan oleh KEJORA, DARA, KETENGAH dan KESEDAR manakala badan berkanun seperti MARA, FELDA, PERNAS, UDA dan RISDA meneruskan usaha pembangunan.

RMK-4 (1981-1985) mengutamakan sektor perusahaan berat yang berasaskan pelaburan modal, penggunaan teknologi dan tenaga mahir.

Di bawah RMK-4, HICOM telah ditubuhkan untuk melaksanakan projek-projek seperti;

  1. Kilang simen yang diuruskan oleh Kedah Simen Sdn Bhd
  2. Kilang Pengeluaran besi berongga dan keluli oleh Perwaja di Kemaman, Terengganu
  3. Pembuatan kereta nasional iaitu Proton Saga oleh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd
Pembuatan kereta nasional iaitu Proton Saga oleh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd semasa RMK-4

RMK-5 (1986-1990) bermatlamat untuk mencapai perpaduan negara, mencapai objektif Dasar Ekonomi Baru dan mencapai pertumbuhan yang dapat menjamin kestabilan ekonomi negara.

Strategi RMK-5 ialah melalui proses pelonggaran peraturan dan kawalan dalam pelesenan, hak milik syarikat dan aktiviti ekonomi.

Antara syarat yang telah dilonggarkan ialah, penggunaan tanah; penanaman padi secara ladang; dan penggunaan tanah lombong untuk pertanian.

RMK-6 (1991-1995) bermatlamat untuk mengekalkan momentum pembangunan pesat ekonomi negara serta mengurus kejayaan ekonomi negara supaya matlamat pembangunan tercapai.

Antara strateginya ialah;

  1. Meningkatkan kecekapan dan daya saing ekonomi dan menggalakkan sektor swasta memainkan peranan dalam perkembangan ekonomi
  2. Memperteguh kedudukan hasil Kerajaan Persekutuan dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif
  3. Mengekalkan dasar liberalisasi, pelonggaran peratusan dan undang-undang untuk memperbaiki pelaburan
  4. Mengubah struktur industri sedia ada kepada penggunaan teknologi yang lebih canggih

RMK-7 (1996-2000) lebih tertumpu kepada kemajuan sosioekonomi dengan memberi penekanan semula kepada konsep pembangunan seimbang serta memperkenalkan strategi pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh produktiviti.

Dasar Wawasan Negara (DWN) telah diperkenalkan semasa RMK-7

Antara usaha yang dilakukan dalam RMK-7 (1996-2000) ialah pembasmian kemiskinan; penyusunan semua masyarakat; guna tenaga, pendidikan dan latihan; perumahan, kesihatan dan perkhidmatan sosial lain; penswastaan; dan pembangunan infrastruktur.

Dasar Wawasan Negara telah diperkenalkan dalam RMK-7 dengan memberi tumpuan kepada;

  1. Membangunkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan
  2. Menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih dinamik melalui penerapan pengetahuan yang lebih tinggi
  3. Meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor utama ekonomi
  4. Membasmi kemiskinan dalam kalangan kelompok kecil miskin di kawasan terpencil seperti orang asli
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article