- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pelan Pembangunan Lima Tahun Malaysia (RMK8 – RMK12)

Must read

Pelan pembangunan lima tahun Malaysia telah bermula pada tahun 1956 di mana ia memperincikan strategi dan inisiatif dalam menentukan keutamaan program dan projek yang dilaksanakan Kerajaan.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) (2001-2005), tigateras utama digariskan iaitu;

  1. Mengubah strategi pertumbuhan berasaskan input kepada strategi yang didorong oleh pengetahuan bagi meningkatkan potensi pertumbuhan keluaran
  2. Mempercepat perubahan struktur sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan
  3. Memperkukuh kestabilan sosioekonomi menerusi pengagihan pendapatan dan kekayaan negara secara saksama

Seterusnya, RMK-9 (2006-2010) yang merupakan fasa ke-2 bagi Wawasan 2020 telah memberi penekanan terhadap aspek-aspek pembangunan insaniah.

Lima Teras Strategik dalam RMK-9

Matlamat RMK-9 ialah untuk memperkukuh daya saing dan daya tahan serta lebih berinovasi; memperhebat langkah pembasmian kemiskinan; dan meningkatkan prestasi dan kemampuan negara yang lebih cemerlang.

Strategi RMK-9 ialah menyediakan kemudahan dan perkhidmatan berkualiti tinggi serta menggalakkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi.

Tiga Dasar Pembangunan Sosial telah diperkenalkan iaitu Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Sosial Negara.

Tiga Dasar Pembangunan Sosial telah diperkenalkan Dalam RMK-9

Dasar Pendidikan Kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmoni;

Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula bermatlamat untuk mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan; memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan; serta memperkaya dan mempertingkatkan kualiti hidup kemanusiaan dan keharmonian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

Sementara matlamat Dasar Sosial Negara ialah untuk menjamin setiap individu, keluarga serta masyarakat dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup.

RMK-10 (2011-2015) mengandungi aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Ekonomi Baru yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemapanan yang menggariskan lima teras strategik ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020iaitu;

Intipati RMK-10
  1. Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara
  2. Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi serta memupuk minda kelas pertama
  3. Menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan
  4. Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup
  5. Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara

RMK-11 (2016-202) merupakan rancangan pembangunan lima tahun Malaysia ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020.

Penyediaan RMK-11 adalah berpandukan Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) yang memberikan tumpuan terhadap penyampaian outcome berimpak tinggi yang cepat kepada ekonomi modal (capital economy) dan ekonomi rakyat (people economy) dengan kos berpatutan.

Enam Tonggak Kajian Separuh Penggal RMK-11

RMK-11 memberikan lebih tumpuan kepada ekonomi rakyat, iaitu rakyat akan menjadi tunjang dan keutamaan dalam semua usaha pembangunan negara namun, produktiviti dan inovasi tetap menjadi tonggak utama dalam RMK-11.

Dalam RMK-11, kerajaan komited untuk membuat perubahan ketara ke arah mencapai matlamat peningkatan produktiviti dan inovasi dengan menggariskan strategi dan program khusus berteraskan keberhasilan bagi meningkatkan produktiviti dan menjana kekayaan melalui inovasi.

Lonjakan produktiviti dan inovasi ini menjadi asas kukuh kepada pembangunan ekonomi yang mampan, menjana peluang baharu dalam ekonomi dan memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat yang berterusan.

RMK-11 menggariskan enam (6) teras iaitu;

  1. Memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama
  2. Meningkatkan kesejahteraan rakyat
  3. Meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju
  4. Kemapanan dan daya tahan pembangunan melalui pertumbuhan hijau
  5. Memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi
  6. Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran

Dan terkini ialah RMK-12 (2021-2025), merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMK-12 di mana Kerajaan telah mengambil pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia dijangka akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik selain menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

Beberapa matlamat utama RMK-12 ialah;

  1. Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025;
  2. Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025;
  3. Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025; dan
  4. Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

Manakala, terdapat sembilan (9) fokus utama RMK-12 iaitu:

  1. Merancakkan pertumbuhan ekonomi;
  2. Memperkukuh pemangkin pertumbuhan;
  3. Meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia;
  4. Memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam;
  5. Membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan;
  6. Memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia;
  7. Melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun;
  8. Mempercepatkan pertumbuhan hijau; dan
  9. Meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article