Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan dan berteknologi tinggi, salah satu caranya ialah menerima guna teknologi baharu dan berusaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri.
Selain itu, Kerajaan perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.
Justeru, langkah mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Pada awal tahun ini, Kerajaan telah melancarkan agenda MyDIGITAL dan diikuti dengan dasar 4IR negara di mana perancangan dasar, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif 4IR dan pendigitalan negara diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.
Perkara ini dinyatakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di Dewan Rakyat pada 27 September 2021.
Oleh itu, di bawah RMK-12, Kerajaan akan memberi tumpuan untuk pembangunan infrastruktur digitalisasi serta melatih tenaga kerja mahir dan separa mahir seiring perkembangan 4IR.
Ke arah usaha tersebut, Kerajaan telah menyediakan dana berjumlah RM28 bilion bagi menyediakan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta untuk menambah baik rangkaian 4G sedia ada.
Manakala, bagi mempercepatkan pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion akan dilabur oleh sektor swasta.
Sehubungan itu, projek pembangunan Identiti Digital Nasional juga sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai.
Hal ini kerana, Kerajaan sedar bahawa teknologi digital telah banyak mencorak kehidupan rakyat pada masa kini misalnya, dari segi pembelajaran anak-anak yang telah terganggu disebabkan kekurangan peralatan dan akses kepada teknologi.
Oleh itu, Kerajaan komited untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa pertumbuhan sektor perkhidmatan akan disokong oleh strategi pemodenan sektor untuk menjadi hab perkhidmatan serantau.
Dalam hal ini, dasar dan perundangan yang jelas serta persekitaran perniagaan yang kondusif akan diwujudkan bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti.
Selaras dengan perkembangan 4IR, sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan industri Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global.
Sektor pertanian juga akan dipergiatkan dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara.
Manakala, sektor pembinaan akan dirancakkan dengan penggunaan teknologi termaju merangkumi realiti terimbuh (augmented reality) dan reality maya (virtual reality) sejajar dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 bagi meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti.
Sektor perlombongan pula akan memberi penekanan kepada pengeluaran mineral diproses yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, aktiviti perlombongan yang lestari dan penghasilan bahan mineral baharu.
Pada dasarnya, penerimaan teknologi dan inovasi merupakan pemangkin asas bagi pertumbuhan di semua sektor seperti yang disebut di atas.
Oleh itu, proses pendigitalan akan dipercepat dan penerima gunaan teknologi termaju, khususnya teknologi 4IR akan digalakkan bagi mencapai ekonomi berasaskan teknologi tinggi.
Melalui langkah ini, Malaysia akan menangani isu kekurangan infrastruktur dan perkhidmatan digital, tadbir urus yang tidak bersepadu, jurang digital yang melebar, keupayaan dan kemampuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan dan inovasi (C&I) yang rendah, serta penerima gunaan teknologi yang perlahan.
Dalam RMK-12, Kerajaan akan mempercepat penerima gunaan teknologi digital dan teknologi termaju untuk mewujudkan peluang baharu, secara tidak langsung, ia akan memaksimumkan potensi ekonomi digital serta mencapai pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.
Pada masa yang sama, bakat dan kemahiran yang diperlukan untuk memacu ekonomi digital dan 4IR akan ditingkatkan manakala R&D dan C&I akan dipergiat.
Malaysia juga akan menarik pelaburan dalam ekonomi digital secara agresif untuk menjadi peneraju di rantau ini dengan memberi keutamaan kepada mengarus perdana pendigitalan untuk mencapai pembangunan inklusif, mempercepat R&D dan C&I serta memanfaatkan potensi teknologi baharu.
Pemangkin dasar ini menggariskan dua pemacu perubahan dalam mempercepat penerima gunaan teknologi dan inovasi.
Pemacu ini adalah meningkatkan ketersambungan digital untuk pembangunan inklusif serta menjajarkan R&D untuk pengkomersialan, penjanaan kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.
Kejayaan melaksanakan pemangkin dasar ini antaranya akan memastikan 100% liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, 100% isi rumah di bandar dan di luar bandar melanggan internet, perbelanjaan kasar R&D (GERD) kepada KDNK sebanyak 2.5%, sumbangan e-dagang kepada KDNK sebanyak 10.5% dan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK sebanyak 25.5%.
Pelaksanaan kesemua inisiatif ini dijangka meningkatkan daya saing dan daya tahan negara, sekali gus menjadikan Malaysia lebih bersedia mencapai status negara yang berasaskan teknologi tinggi.