- Advertisement -spot_img
4,771
published news
and counting

Mempertingkat Kemampanan Alam Sekitar dalam Tempoh RMK-12

Must read

Kerajaan komited melaksanakan inisiatif radikal yang memacu perubahan bagi memastikan objektif kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan dapat dicapai dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Penekanan akan diberi kepada usaha menjana semula ekonomi, memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti serta melonjakkan kemampanan.

Merujuk kepada dokumen rasmi RMK-12, kerajaan akan mempercepat pertumbuhan hijau serta mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air sebagai usaha melonjakkan kemampanan.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita bakal menyaksikan peralihan seluruh negara kepada amalan ekonomi dan gaya hidup yang lebih mampan yang menghargai khazanah semula jadi dan kesihatan alam sekitar.

Taman awam perlu ada pengurusan standard bagi memastikan kelangsungan dan pemuliharaan kelestarian alam

Peralihan ini akan menangani isu perubahan iklim, amalan penggunaan dan pengeluaran yang tidak mampan, kehilangan biodiversiti, pelaksanaan dasar yang tidak selaras dan pengurusan sumber air yang tidak cekap.

Sehubungan itu, perkongsian tanggungjawab bersama bagi mencapai matlamat negara rendah karbon akan diberi penekanan, manakala faedah daripada penggunaan sumber semula jadi akan dikongsi secara lebih saksama.

Manakala, sektor tenaga dan air akan diuruskan secara menyeluruh dan mampan dengan mengimbangi keperluan bekalan dan permintaan.

Pembangunan sektor tenaga pula akan berpandukan prinsip trilema tenaga, manakala bagi sektor air, tumpuan akan diberi kepada usaha untuk memastikan jaminan bekalan air untuk semua.

Dua pemacu perubahan akan dilaksanakan di bawah tema ketiga RMK-12 ‘Melonjakkan Kemampanan’ iaitu menerima guna ekonomi kitaran dan mempergiat penerimagunaan pengurusan sumber air bersepadu (IWRM).

Perkara yang diberi perhatian ialah, peralihan kepada ekonomi kitaran akan mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kos dengan ketara serta mengurangkan tekanan kepada alam sekitar.

Malah, ia juga akan menjadikan ekonomi lebih inovatif dan berdaya saing serta mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan hijau.

Langkah mempergiat penerimagunaan IWRM ini merupakan fasa permulaan kepada transformasi sektor air dan pelaksanaan dasar dan strategi yang berkesan di bawah tema ketiga akan menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih mampan dan berdaya tahan, serta pencapaian Agenda 2030.

Oleh sebab Kerajaan menyedari keperluan menangani cabaran dalam mengimbangi pembangunan sosioekonomi dan kelestarian alam sekitar, maka model ekonomi kitaran akan diterima guna.

Sehubungan itu, sektor awam dan swasta digalakkan untuk menerima pakai dan mengintegrasikan Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) dan prinsip kepentingan kesatuan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam membuat keputusan.

Hal ini kerana, ia dapat memastikan jaminan sumber, ekonomi kitaran akan mengurangkan penjanaan sisa, pencemaran, pelepasan gas rumah kaca (GHG) dan kebergantungan kepada sumber asli.

Bagi mempercepat peralihan kepada ekonomi kitaran, ekosistem yang menyokong akan disediakan, manakala lebih banyak model ekonomi perkongsian akan digalakkan.

Penggunaan bahan dikitar semula dan kitar semula sisa pengeluaran akan dipertingkatkan, manakala tanggungjawab pengeluar dalam menguruskan produk mereka yang tamat tempoh hayat akan diperluas.

Kesemua inisiatif ini akan mengembangkan ekonomi hijau dan memudah cara pencapaian masa hadapan yang rendah karbon.

Dalam mempergiat penerimagunaan pengurusan sumber air bersepadu, kerajaan menyedari bahawa sektor air juga perlu ditransformasi secara menyeluruh bagi menjamin bekalan dan kemampanan air.

Pengurusan sumber air yang kurang berkesan, pemahaman yang terhad dan kurangnya kesedaran telah menyebabkan alam sekitar terjejas dan menimbulkan implikasi sosial seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu, RMK-12 akan menjadi asas kepada agenda transformasi sektor air yang komprehensif dengan mempergiat penerimagunaan IWRM.

Sektor air perlu ditransformasi secara menyeluruh bagi menjamin bekalan dan kemampanan air (Bintangor Town Reservior 2)

Pendekatan keseluruhan negara bagi melibatkan semua pihak berkepentingan akan diguna pakai untuk memupuk rasa pemilikan dan tanggungjawab bagi memelihara dan memulihara sumber yang berharga.

Tadbir urus sumber air akan diperkukuh bagi menguruskan sumber air dengan berkesan melalui penyemakan undang-undang dan penubuhan pusat bersepadu untuk data dan aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) berkaitan air.

Kemampanan kewangan penyedia perkhidmatan air akan dipertingkatkan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar, manakala liputan kawasan hijau perlu dipertahankan.

Jelas beliau, usaha untuk mempercepat pertumbuhan hijau, mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara.

Walaupun Malaysia hanya menyumbang 0.7 peratus kepada pelepasan gas rumah kaca, Kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, selari dengan aspirasi menjadi negara rendah karbon.

Beliau turut menyambut baik inisiatif sektor swasta yang telah mengambil langkah ke hadapan melalui komitmen bagi mencapai net zero carbon emissions.

Usaha ini termasuk komitmen Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) seperti PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk mencapai matlamat ini pada tahun 2050.

Bangunan Menara Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menerapkan elemen hijau bagi mengurangkan penghasilan karbon

Beliau menggesa agar syarikat-syarikat lain turut mencontohi inisiatif ini kerana langkah ini menjadi semakin penting apabila rakan dagangan, pasaran modal dan institusi kewangan meletakkan syarat pematuhan kepada prinsip ESG dalam keputusan pelaburan dan pengeluaran produk mereka.

Penghasilan kompos merupakan salah satu daripada aktiviti lestari
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article