- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pelan Tindakan Ekonomi Biru

Must read

Kawasan perlindungan merupakan pendekatan utama bagi mencapai perlindungan dan pemuliharaan ekosistem laut, pesisiran pantai, air tawar dan daratan secara jangka masa panjang di Malaysia.

Justeru, konsep penggalakan pengurusan sumber laut yang lebih baik bagi pembangunan mampan bermatlamat untuk menambah baik kesejahteraan manusia dan kesaksamaan sosial, di samping mengurangkan risiko alam sekitar dan kemerosotan ekologi.

Pada tahun 2019, Kerajaan Malaysia telah mewujudkan cabang Ekonomi Biru yang menyasarkan kepada penggunaan sumber laut secara mapan untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan pekerjaan di samping menjaga kemakmuran dan kesihatan ekosistem laut.

Menurut Bank Dunia, Ekonomi Biru merangkumi pelbagai aktiviti seperti industri perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan maritim, pengurusan sisa, pelancongan dan perubahan iklim.

Konsep Ekonomi Biru sebenarnya berkait rapat dengan Ekonomi Hijau yang ditakrifkan sebagai ekonomi bermatlamat untuk mengurangkan segala risiko ke atas alam sekitar serta mencapai pembangunan mapan tanpa mengganggu gugat persekitaran.

Pelan Rangka Tindakan Ekonomi Biru penting dalam menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin secara mampan

Terdapat dua komponen utama ekonomi biru, iaitu keperluan melindungi dan memulihara punca sumber lautan sedia ada yang membekalkan sumber makanan kepada berbilion penduduk dunia dan kedua adalah untuk mewujudkan pelbagai peluang berasaskan aktiviti ekonomi laut.

Pada dasarnya, ekonomi biru mula dibahaskan di Rio de Janeiro pada 22 Jun 2012 sempena Rio+20 United Nations Conference on Sustainable Development (UNCSD) dengan memfokuskan kepada pembangunan mapan dan mengembangkan konsep ekonomi hijau.

Dijelaskan bahawa, ekonomi biru memerlukan perancangan dan pengurusan yang baik dalam sektor perikanan, akuakultur, pelabuhan, perkapalan, eksplorasi minyak dan mineral serta pembangunan tenaga laut.

Industri perikanan antara aktiviti yang terangkum dalam Ekonomi Biru

Maka, pengurusan laut di Malaysia juga seharusnya berlandaskan cara bagaimana mengimbangi keperluan dan penggunaan hasil laut bagi tujuan ekonomi, tanpa membelakangkan aspek keselamatan serta persekitaran marin.

Pada tahun 2020, dapat dilihat bahawa sektor laut Malaysia tidak terkecuali dalam berdepan dengan cabaran global seperti mengekalkan jaminan keselamatan makanan, penjanaan tenaga diperbaharui yang lebih bersih, pemanasan global dan perubahan iklim serta penciptaan peluang pekerjaan.

Oleh itu, dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Pelan Rangka Tindakan Ekonomi Biru akan diperkenalkan untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin secara mampan sekali gus bagi memastikan kepelbagaian khazanah negara terpelihara.

Tukun tiruan diletakkan di dasar laut untuk dijadikan sebagai satu habitat tiruan kepada pebagai hidupan marin

Pelan Rangka Tindakan Ekonomi Biru ini akan menjadi panduan pembangunan di kawasan habitat hidupan selain untuk mentadbir kawasan pesisir pantai dan marin serta sektor sosioekonomi yang berkaitan.

Pelan rangka tindakan ini akan mengambil kira langkah bagi memanfaatkan sepenuhnya penggunaan sumber laut, mewujudkan sumber pendapatan alternatif serta melaksanakan penilaian risiko, termasuk impak perubahan iklim dan bencana kepada rakyat dan perniagaan.

Tambahan pula, langkah untuk menangani isu serpihan dan pencemaran di laut akan diperkenal untuk melindungi ekosistem marin.

Pengangkutan maritim antara aktiviti yang terangkum dalam Ekonomi Biru

Perkara ini dimaklumkan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di Dewan Rakyat pada 27 September 2021.

Jelas beliau, pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian khazanah semula jadi termasuk pengurusan kawasan pesisir pantai dan marin akan dipertingkatkan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.

Usaha ini akan dilaksanakan melalui program pemulihan seperti menyuburkan pantai, menanam pokok bakau dan menempatkan tukun tiruan.

Pemuliharaan kawasan ini juga akan dipergiat dengan membangun, melaksana dan menyemak semula pelan pengurusan bagi kawasan perlindungan marin (MPA) selain kajian akan dilaksanakan untuk mengenal pasti kawasan yang berpotensi diwartakan sebagai MPA.

Rangka kerja Langkah-langkah Lain Bagi Pemuliharaan Berasaskan Kawasan Yang Berkesan (OECM) juga akan dibangunkan bagi kawasan pesisir pantai dan marin manakala Pelan Tindakan Serantau mengenai Inisiatif Segitiga Terumbu Karang akan dikaji semula.

OECM yang disifatkan sebagai pendekatan pemuliharaan berasaskan kawasan dalam Sasaran 6 Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2016-2025 membolehkan perlindungan dan pemuliharaan biodiversiti penting di kawasan yang berada di luar rangkaian Kawasan Perlindungan.

Penanaman pokok bakau boleh mencegah hakisan pantai dan memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang serta ketam dapat membiak

Manakala, Pelan Tindakan Serantau bertujuan untuk memberi tumpuan bagi menambah baik kesihatan ekosistem pesisir pantai dan marin, memastikan jaminan bekalan makanan dan meningkatkan daya tahan kawasan berkenaan terhadap perubahan iklim.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article