- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Menarik Pelaburan Berkualiti Tinggi

Must read

Bajet 2022 menggariskan beberapa inisiatif bagi memacu pelaburan strategik dalam sektor-sektor utama dan mengukuhkan pemboleh pertumbuhan.

Inisiatif-inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik, seterusnya dapat memberi kesan limpahan signifikan kepada ekonomi negara.

Sehubungan dengan itu, dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion disediakan bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional, terutama yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri dan memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan peluang pembangunan PKS tempatan.

Menurut Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz yang membentangkan Bajet 2022 pada Oktober lalu, bajet tersebut juga memperuntukkan RM25 juta untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport baharu melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan sebagai usaha memperkasa daya pemulihan ekonomi negara.

Bajet 2022 menggariskan komitmen kerajaan dalam memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik dan berkualiti tinggi

Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Seri Mohamed Azmin bin Ali ketika memberi ulasan selepas Bajet 2022 dibentangkan berpendapat, usaha tersebut dijangka dapat membantu memulihkan segera ekonomi negara dan menarik pelaburan baharu yang berkualiti tinggi, berteknologi tinggi dan berteknologi hijau.

Jelas beliau, usaha tersebut juga selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia yang memberi penekanan kepada elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Bajet 2022 turut menyediakan RM80 juta melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi melatih 20,000 pekerja yang menyokong kluster industri untuk memenuhi keperluan kemahiran terutamanya oleh industri dengan aktiviti nilai tambah tinggi.

Sebanyak RM80 juta disediakan melalui MITI dalam usaha menyokong kluster industri

Selain itu, sejumlah RM50 juta disediakan melalui pusat-pusat pembangunan kemahiran negeri meliputi Sarawak, Johor dan Pulau Pinang bagi meningkatkan tahap kemahiran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk 5,000 pekerja dalam bidang seperti kimpalan minyak dan gas, automasi perindustrian dan mekatronik.

Bajet 2022 meperuntukkan RM50 juta kepada beberapa buah pusat pembangunan kemahiran negeri bagi meningkatkan tahap kemahiran TVET untuk 5,000 pekerja dalam bidang seperti kimpalan minyak dan gas, automasi perindustrian dan mekatronik

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan, geran padanan berjumlah RM100 juta juga akan disediakan untuk syarikat PKS bumiputera meneroka peluang perniagaan dalam bidang aeroangkasa.

Geran padanan tersebut diharapkan dapat merancakkan penglibatan pemain industri tempatan menceburi bidang aeroangkasa.

Dalam usaha meningkatkan produktiviti melalui automasi, kerajaan juga menyediakan sejumlah RM100 juta sebagai geran padanan Automasi Pintar kepada 200 buah syarikat pembuatan dan perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan mereka.

Inisiatif lain termasuklah melanjutkan elaun pelaburan semula atau EPS tambahan selama dua (2) tahun bagi syarikat sedia ada di Malaysia yang telah tamat tempoh kelayakan EPS dan EPS khas, menjadikan tempoh keseluruhan EPS tambahan tersebut kepada lima (5) tahun.

Langkah tersebut diambil berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH) ketika pra bajet.

Jelas Tengku Zafrul, cadangan sedemikian akan terus diteliti oleh kerajaan bagi menambah baik kelancaran urusan perniagaan atau ‘ease of doing business’ demi memacu pelaburan.

Usaha menarik pelaburan berkualiti yang digariskan dalam Bajet 2022 turut memberi tumpuan terhadap melahirkan lebih ramai perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) Halal yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

Sejumlah RM25 juta diperuntukkan kepada Halal Development Corporation untuk melaksanakan pelbagai program termasuk Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS.

Tumpuan Bajet 2022 juga meliputi pembangunan PMKS Halal untuk dapat bersaing di peringkat antarabangsa

Datuk Seri Azmin turut mengulas, insentif yang diberikan untuk menarik pelaburan asing strategik ke Malaysia bukan sahaja dapat membawa pelaburan berkualiti tinggi, malah juga dijangka mampu mencipta pekerjaan berkualiti tinggi untuk golongan muda.

Untuk tahun 2021, MITI menurut beliau menjangkakan dapat menarik RM200 bilion pelaburan dan mencipta anggaran 114,000 pekerjaan dan kebanyakan FDI dijangka datang dari sektor pembuatan iaitu sebanyak RM140 bilion.

Beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa melalui insentif yang digariskan dalam Bajet 2022, MITI mampu menarik pelaburan bagi tahun 2022 yang melangkaui prestasi tahun ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article