- Advertisement -spot_img
4,841
published news
and counting

AIP PCDS 2030 Untuk Capai Aspirasi Sarawak Maju

Must read

Sarawak sedang mengatur langkah untuk mencapai aspirasi penduduknya yang maju bersama kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial yang didorong oleh data dan inovasi melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang telah dilancarkan pada Julai 2021.

Selaras dengan aspirasi tersebut, satu Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) yang komprehensif telah dirumus dan dilancarkan untuk mencapai matlamat PCDS 2030.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yakin bahawa pelan tindakan tersebut merupakan cara inovatif untuk Kerajaan Sarawak memastikan kesemua inisiatif selari dengan aspirasi PCDS 2030.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berucap melancarkan AIP PCDS 2030 – Foto JAPEN Sarawak

Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Sarawak sedang memacu pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, mengembangkan ekonomi bagi menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan serta melahirkan rakyat yang berpengetahuan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM63 bilion untuk melaksanakan inisiatif yang berteraskan rakyat melalui PCDS 2030 Fasa Pertama.

Jumlah tersebut melebihi peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek-projek persekutuan di negeri ini.

Oleh itu, satu pelan pelaksanaan (AIP PCDS 2030) yang cekap diperlukan supaya projek dapat dilaksanakan berdasarkan peruntukan, masa dan spesifikasi bagi mengelakkan projek tertangguh yang akan menyekat rakyat daripada menikmati projek yang telah dirancang.

Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika berucap melancarkan AIP PCDS 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching BCCK pada 7 Februari 2022.

Jelas Ketua Menteri lagi, penyusunan semula kementerian yang beliau lakukan baru-baru ini adalah bertujuan untuk memberi tumpuan kepada bidang yang paling penting dalam PCDS 2030.

Penyusunan semula kementerian juga akan mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan dan memenuhi ekspektasi rakyat yang tinggi, terutama dalam waktu yang mencabar ketika ini.

Pada masa yang sama, AIP jabatan serta agensi di bawah kementerian akan menjadi lebih telus dan lebih berakauntabiliti kerana apa yang diukur akan dilakukan mengikut spesifikasi, masa dan sumber.

Ketua Menteri turut mengakui bahawa ekonomi Sarawak tidak akan berkembang tanpa sokongan sektor swasta.

Oleh yang demikian, beliau mempelawa sektor swasta dan konglomerat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dengan fokus seterusnya terhadap pembangunan model perniagaan yang memberi tumpuan kepada memanfaatkan nilai sumber asli.

Pembangunan industri akan dirancang berdasarkan peluang-peluang industri huluan serta pengeluaran industri pertengahan dan hiliran selain keupayaan eksport.

Majlis pelancaran AIP PCDS 2030 turut dihadiri dua Timbalan Ketua Menteri, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion serta beberapa orang menteri kabinet negeri yang lain.

Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) PCDS 2030 diyakini membantu mencapai aspirasi Sarawak negeri maju menjelang 2030 – Foto JAPEN Sarawak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article