- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sektor Pertanian Bahagian Limbang Terus Diperkasa

Must read

Sejumlah RM28,697,931.66 peruntukan telah diberikan untuk melaksanakan projek pembangunan pertanian di Limbang sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Daripada jumlah tersebut, RM2,772,737 adalah untuk Program Tanaman; RM179,988 untuk Program Agromakanan; RM212,626 untuk Program Perikanan Darat; RM7,605,682.25 untuk Program Skim Baja Padi; RM1,922,862.14 untuk Projek Pembangunan Getah;

RM1,981,710 untuk Projek Jalan Ladang; RM8,391.40 untuk Projek Ladang Kontrak; RM250,000 untuk Tanaman Nanas Keningau Diamond (NRDA); RM5,782,676.47 untuk Proram Peruntukan Fasilitasi Pertanian (AFF) 2019; dan RM4,981,660 untuk Peruntukan Fasilitasi Pertanian (AFF) 2020.

Bandar Limbang semakin maju

Perkara ini dinyatakan oleh Penolong Pegawai Pertanian (AAO) Encik Christopher Dawat Nur semasa memberikan taklimat ringkas kepada RAKAN Sarawak yang telah mengadakan lawatan ke Jabatan Pertanian Daerah Limbang baru-baru ini.

Penolong Pegawai Pertanian (AAO) Encik Christopher Dawat Nur

Kini, sektor pertanian di Limbang semakin membangun antaranya dalam pelaksanaan projek-projek pertanian, pembangunan infrastruktur ladang serta pendedahan kepada teknologi pertanian.

Jabatan Pertanian Daerah Limbang memainkan peranan penting dalam memberi khidmat pengembangan, bantuan projek pertanian dan pendedahan teknologi-teknologi moden kepada para petani di Limbang bagi meningkatkan produktiviti dan produk bermutu buat mereka.

Menurut beliau, terdapat seramai 4,394 komuniti pertanian di Daerah Limbang, dan ia dibahagikan kepada enam (6) kawasan pengembangan.

Tapak Projek Tanaman Nanas Keningau Diamond yang terletak di Kampung Pendam, Daerah Limbang

Ia terdiri daripada kawasan Sungai Limbang (726 keluarga tani); Bandar Limbang (415 keluarga tani); Jalan Kubong (1,090 keluarga tani); Batu Danau (1,100 keluarga tani); Mendamit (915 keluarga tani); dan Ulu Limbang (148 keluarga tani).

Daerah Limbang yang terletak di Bahagian kelima Negeri Sarawak berada di tengah-tengah antara Negara Brunei Darusalam, Wilayah Persekutuan Labuan serta Bahagian Miri di Utara Negeri Sarawak.

Bangunan Tamu Limbang menjadi tempat para petani menjual hasil pertanian mereka

Dengan keluasan 3,978.10km persegi, Daerah Limbang merangkumi Daerah Kecil Ng. Mendamit yang terdiri daripada suku kaum Melayu, Kedayan, Cina, Iban, Bisaya, Lun Bawang, Kelabit, Tabun dan beberapa etnik lain.

Daerah Limbang mempunyai penduduk berjumlah 55,062 orang (mengikut bancian tahun 2010) dan pekerjaan utama mereka adalah sebagai petani, penternak dan peniaga.

Semasa sesi taklimat tersebut juga, Encik Christopher telah memaklumkan bahawa Projek Pusat Pemprosesan dan Pengumpulan Produk Pertanian (CPPC) kini giat dilaksanakan.

Projek CPPC yang telah bermula pada 30 Ogos 2019 dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Utara dengan kos sebanyak RM4,465,183 dan ia dijangka siap pada tahun ini (2022).

CPPC Limbang merupakan antara CPPC yang terawal dibina di Sarawak selain CPPC Tarat, CPPC Lawas dan CPPC Betong.

CPPC Limbang berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian terpilih di Daerah Limbang dan tumpuan akan diberikan kepada beberapa jenis tanaman seperti durian, nangka madu, nanas, kelapa dan tanaman yang lain. Empat tanaman ini akan dipromosikan dan diperluas bagi Daerah Limbang untuk memenuhi permintaan syarikat swasta yang akan bertindak memasarkannya di luar negara.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article