- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR)

Must read

Pembinaan pakej pertama projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) akan membuka lebih banyak peluang ekonomi di wilayah utara Sarawak, terutama di Lawas dan Limbang.

Pakej pertama projek tersebut melibatkan pembinaan jajaran jalan bermula dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng sepanjang 77 kilometer (km) dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.13 bilion.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut pada 30 Oktober 2021, masyarakat dan komuniti perniagaan di sekitar Lawas bakal menikmati kemajuan yang lebih pesat apabila projek SSLR siap sepenuhnya menjelang awal 2026.

Projek SSLR akan menghubungkan Sarawak dan Sabah melalui bandar Lawas tanpa melalui negara jiran Brunei Darussalam (Gambar hiasan)

Akses jalan raya yang lebih baik akan membuka banyak peluang dan usaha pembangunan di Lawas yang seterusnya pada pandangan Ketua Menteri akan menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing untuk melabur di daerah dalam Bahagian Limbang tersebut.

Beliau juga menjangkakan, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke Lawas dan menjadikan ekonomi di daerah berkenaan bertambah rancak dan terus berkembang bersama masa depan yang cerah.

Bukan itu sahaja, pembinaan pakej pertama projek SSLR akan memudahkan kerajaan untuk melaksanakan projek bekalan elektrik dan liputan bekalan air bersih terawat ke kawasan-kawasan pedalaman di sekitar laluan jalan tersebut.

Projek SSLR akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan utara Sarawak

Jelas Ketua Menteri lagi, Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan untuk mengintegrasikan projek jajaran SSLR (Lawas-Long Lopeng) dengan Projek Jalan Pesisir Sarawak dan Lebuh Raya Pan Borneo.

Projek SSLR merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Rolling Plan 3 yang diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia dan diselia serta diurus oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Matlamat utama pelaksanaan SSLR adalah untuk mewujudkan satu rangkaian jalan raya yang menghubungkan Sarawak dengan Sabah tanpa melalui negara Brunei Darussalam yang seterusnya akan membolehkan kawasan luar bandar sekitar memiliki jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa berbanding dengan terpaksa melalui jalan balak sedia ada sebagai laluan utama.

Pembinaan jalan tersebut akan menjadi ‘game changer’ yang akan merubah wilayah utara Sarawak selaras dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Info Tambahan

Skop utama projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) melibatkan kerja-kerja seperti berikut:

i.      Jalan baharu sepanjang 77 km dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng berasaskan jalan tunggal 2 lorong 2 hala (T1-1) mengikut piawaian JKR R3 bagi aspek formasi (dari aspek geometrik mengambil kira topografi sedia ada dan pemuliharaan alam sekitar;

ii.     Membina jambatan dan viaduct baharu;

iii.    Kerja-kerja turapan dan penambahbaikan turapan jalan sedia ada;

iv.    Membina sistem perparitan dan pembetung;

v.     Memasang perabot jalan;

vi.    Memasang lampu jalan;

vii.   Pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik;

viii. Pelaksanaan Environmental Impact Assessment dan Environmental Protection Work;

ix.    Penyiasatan tanah dan kerja penyiasatan tapak;

x.     Kerja geoteknik;

xi.    Kerja ukur dan pengambilan balik tanah; dan

xii.   Pengalihan dan perlindungan utiliti

Tapak projek SSLR telah diluluskan dan diserahkan kepada pihak kontraktor pada 9 Ogos 2021 dan dijadualkan siap pada 8 Januari 2026 dengan tempoh pembinaan selama 53 bulan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article