- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Peladang Prihatin Bantu Petani Pasarkan Hasil Pertanian

Must read

Jabatan Pertanian (DOA) Daerah Lawas telah wujud sejak 1960-an dan kini ia diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Pertanian Kanan, Encik Doraup bin Mail.

DOA Daerah Lawas mempunyai keanggotaan seramai 48 orang iaitu 41 orang adalah kakitangan Pejabat Pertanian dan selebihnya adalah di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lawas.

Pengurusan dan pentadbiran Pejabat Pertanian Daerah Lawas adalah di bawah seliaan Pejabat Pertanian Bahagian Limbang yang diketuai oleh Pegawai Pertanian Bahagian Limbang, Encik Jakaria bin Haji Rambli.

Perkara ini dinyatakan oleh Penolong Pegawai Pertanian Kanan, DOA Daerah Lawas, Encik Doraup bin Mail ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Penolong Pegawai Pertanian Kanan, DOA Daerah Lawas, Encik Doraup bin Mail

Dari segi pembangunan pertanian, menurut beliau terdapat tiga (3) seksyen utama yang menjadi tonggak utama pemacu pembangunan sektor pertanian iaitu Seksyen Tanaman, Seksyen Agromakanan dan Seksyen Perikanan Darat.

Manakala terdapat enam (6) stesen pertanian yang masih aktif di kawasan seliaan DOA Daerah Lawas iaitu Stesen Pertanian Merapok, Sundar, Trusan, Long Semadoh, Ba’kelalan dan Stesen Perikanan Darat Punang.

Selain daripada enam (6) Stesen Pertanian di atas, DOA Daerah Lawas juga mempunyai sebuah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Pertanian, Encik Dison Tagal.

Bangunan Pasar Tamu Lawas
Aktiviti jual beli hasil pertanian di bangunan Pasar Besar Lawas

PPK Lawas ini telah wujud sejak awal tahun 1970-an bermula di Merapok dan kini telah beroperasi sepenuhnya di Daerah Lawas mulai 20 Januari 1981 hingga sekarang.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan satu Stesen Pertanian baharu di Ba’kelalan bernilai RM3.9 juta sedang dalam pembinaan sebagai usaha menambahbaik perkhidmatan kepada para petani di luar bandar

Sebagai salah satu insiatif bagi mendekati para petani, pihak jabatan telah melaksanakan 11 Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di sekitar Lawas.

Buah nanas varieti baru yang sudah dituai

Objektif program tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada para petani tentang penggunaan teknologi pertanian yang terkini selain untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran, secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi golongan sasar.

Semasa berdepan dengan pandemik Covid-19, pihak jabatan dan PPK telah mengadakan program PELADANG PRIHATIN untuk membantu para petani yang tidak dapat memasarkan hasil pertanian mereka (lambakan hasil).

Lambakan hasil pertanian para petani dibeli oleh PPK, kemudian hasil yang dibeli diagihkan kepada petugas barisan hadapan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi-agensi lain yang terlibat.

Di samping itu, pihak jabatan turut mengeluarkan surat sokongan kepada petani yang ingin mengusahakan tanaman serta memasarkan hasil mereka semasa pandemik Covid-19.

Program Change Upgrade Product (CUP) antara projek berimpak tinggi di bawah program Agromakanan

Para nelayan juga tidak diabaikan apabila Stesen Perikanan Punang telah dan sedang dinaiktaraf di bawah program Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dimana dengan adanya stesen ini, pengeluaran anak ikan dapat ditingkatkan ke tahap yang maksimum.

Di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak, teknologi digital yang diterapkan kepada pengusaha dalam bidang perusahaan adalah melalui media sosial seperti Facebook (FB), Instagram (IG), Telegram.

DOA Lawas juga turut menganjurkan program ICT Training untuk peserta sebagai platform untuk membantu dalam meningkatkan pendapatan dan ilmu pengetahuan.

Peningkatan sistem permit Autoriti Transaksi Getah dan Semakan (PAT-G) secara dalam talian dan pengeluaran (PAT-G) secara digital yang diperkenalkan pada 10 Mei 2021 adalah salah satu sistem untuk memudahkan urusan peserta.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article