- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pengesanan Asnaf Lebih Sistematik Dengan Aplikasi Jejak Asnaf

Must read

Aplikasi jejak Asnaf adalah sebuah saluran khusus yang diwujudkan untuk membolehkan orang awam membuat aduan berkenaan asnaf kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

Aplikasi Jejak Asnaf 1.0 mula digunakan secara rasmi pada Januari 2018 manakala Jejak Asnaf 2.0 pada 14 Mac 2019 sebagai langkah untuk menjejaki asnaf yang berpotensi untuk dibantu khususnya asnaf di seluruh negeri Sarawak.

Kelebihan Jejak Asnaf 1.0 ialah, masyarakat dapat melaporkan asnaf yang berpotensi kepada pihak TBS dengan cara memuat naik gambar serta pengesanan lokasi asnaf.

Manakala Aplikasi Jejak Asnaf 2.0 mempunyai ciri-ciri maklum balas mengenai status semasa laporan yang dihantar oleh pelapor kepada pegawai dalaman TBS.

Aplikasi Jejak Asnaf 2.0 agak berbeza dengan aplikasi Jejak Asnaf 1.0 kerana ia dilengkapi dengan kemudahan ‘Geo Location’ sekali gus memudahkan proses siasatan dilakukan ke lokasi asnaf.

Dengan penambahbaikan tersebut, inovasi ini telah memenangi Anugerah Emas bagi kategori ‘Key Focus Activities’ dalam Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2019 (HPA 2019) pada 4 Disember 2019.

Aplikasi Jejak Asnaf 2.0 diperkenalkan pada 14 Mac 2019

Kemudahan Aplikasi Jejak Asnaf 2.0 telah memberi impak yang besar dalam membantu usaha Kerajaan Sarawak membangunkan masyarakat khususnya penduduk beragama Islam di Sarawak dengan memanfaatkan transformasi teknologi ke arah kebaikan bersama. 

Pada masa yang sama, inovasi ini juga berjaya meyakinkan masyarakat bahawa aplikasi ini adalah satu saluran yang tepat dalam membekalkan maklumat potensi asnaf kepada TBS.

Masyarakat luar yang terdiri daripada pembayar zakat turut berpuas hati dengan penggunaan Aplikasi Jejak Asnaf Versi 2.0 dalam mengesan keberadaan potensi asnaf di Sarawak.

Pada 2021, TBS telah melakukan penambahbaikan sekali lagi terhadap aplikasi Jejak Asnaf 2.0 sehingga wujudnya aplikasi Jejak Asnaf 3.0.

Pengurus Besar TBS, YBhg Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie

Menurut Pengurus Besar TBS, YBhg Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, aplikasi Jejak Asnaf 3.0 telah memberi peluang kepada masyarakat umum mengesan, melapor, menyiasat dan memberi maklumat awal kepada TBS tentang potensi asnaf yang telah dikenal pasti.

Sebelum ini, TBS hanya mengesan potensi asnaf secara manual melalui panggilan telefon dan surat lisan sehingga  maklumat yang diterima kurang lengkap, tidak tepat dan melambatkan siasatan ke lokasi.

TBS juga sering berdepan dengan penerimaan maklumat yang tidak tersusun, tidak jelas dan tidak berkualiti sehingga mengakibatkan pembaziran kos, masa dan tenaga.

Namun, dengan aplikasi yang sudah ditambah baik ini, maklumat yang diterima sangat membantu pihak TBS, malah bantuan segera dapat disalurkan kepada asnaf dengan cepat dan pantas.

Sebelum ini, masa yang diambil bagi membuat siasatan ke lokasi amat panjang disebabkan maklumat pemohon tidak lengkap dan memakan masa untuk mencari lokasi rumah pemohon tersebut.

Melalui Jejak Asnaf 3.0 ini, proses siasatan hanya mengambil masa tiga hari bekerja berbanding sebelumnya iaitu 8 hari masa bekerja.

Aplikasi Jejak Asnaf 3.0 diperkenalkan pada 2021

Aplikasi Jejak Asnaf bukan saja telah berjaya mengesan asnaf yang layak untuk menerima bantuan, malah mereka yang menerima bantuan juga turut dibangunkan melalui latihan kemahiran di Akademi Latihan Insan TBS.

Boleh dikatakan kewujudan aplikasi ini telah memberi kesan positif kepada imej TBS yang bertanggungjawab dalam mengagih bantuan serta membangunkan asnaf di Sarawak.

Antara kandungan di dalam aplikasi Jejak Asnaf 3.0

Usaha ini sekali gus menunjukkan bahawa TBS sentiasa konsisten dalam menambah baik sistem penyampaian kepada masyarakat, malah penglibatan aktif masyarakat prihatin ini juga sesuai dengan slogan TBS iaitu “Baitulmal Tanggungjawab Kita Bersama”.

Hasil penggunaan aplikasi ini, TBS mendapati jumlah penerima Bantuan Sara Hidup TBS kian meningkat sekali gus menunjukkan bahawa penggunaan Aplikasi Jejak Asnaf melalui penglibatan masyarakat luar berjaya membantu meningkatkan capaian asnaf di seluruh Sarawak.

Tabung Baitumal Sarawak (TBS) membuat siasatan sekaligus menyerahkan sumbangan kepada Puan Aney binti Abeng dari Kampung Semarang

Secara tidak langsung, ia turut membuktikan kejayaan TBS mendidik masyarakat Sarawak menggunakan teknologi digital (aplikasi Jejak Asnaf) dalam menyalurkan maklumat yang berkualiti berkenaan keberadaan potensi asnaf di seluruh Sarawak. 

Sehubungan itu, TBS menyeru masyarakat prihatin di seluruh Sarawak untuk memuat turun Aplikasi Jejak Asnaf 3.0 melalui Google Playstore dan App Store menggunakan telefon pintar masing-masing.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article