- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

IMP Beri Manfaat Kepada Pengusaha Manik Seramik Long Tuma

Must read

Insentif Mula Projek (IMP) di bawah program Industri Asas Tani dan Ekonomi Keluarga (IAT & EK) telah memberi manfaat besar kepada Pusat Kraftangan Manik Seramik Kampung Long Tuma, Lawas.

Menurut Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Jabatan Pertanian (DOA) Daerah Lawas, Puan Latipah binti Latip, projek perusahaan kraf tangan manik seramik di Long Tuma adalah antara projek berimpak tinggi di bawah Seksyen Agromakanan.

Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Jabatan Pertanian (DOA) Daerah Lawas, Puan Latipah binti Latip

Jabatan Pertanian Lawas telah memberi bantuan kepada pusat ini sebanyak RM10 ribu pada 2016 dan RM32,500 pada 2018, katanya semasa ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Pusat Kraftangan Manik Seramik Kampung Long Tuma, Lawas

Sehubungan itu, RAKAN Sarawak telah berkesempatan melawati pusat kraf tangan manik seramik tersebut sekali gus berpeluang menemu ramah pengurusnya, Puan Patricia Busak Balang, 53 yang telah memulakan perusahaan tersebut sejak 1993.

Pengurus Pusat Kraftangan Manik Seramik Long Tuma, Puan Patricia Busak Balang

Menurut Puan Patricia, pada tahun 1993, produk manik yang dihasilkan adalah 100% menggunakan tanah liat sahaja kerana ketika itu, mereka belum mempunyai peralatan moden seperti ketuhar untuk membakar tanah liat, juga peralatan untuk menghasilkan tanah liat menjadi manik seramik.

Namun begitu, apabila produk manik ini dilihat berpotensi untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan, Jabatan Pertanian Lawas tampil untuk memberikan bantuan dari segi peralatan seperti ketuhar, cat, dan sebagainya untuk meningkatkan mutu manik seramik yang dihasilkan.

Manik seramik yang dihasilkan diperbuat daripada tanah liat yang digali dari dasar Sungai Pa’Lawas ketika air surut oleh sekumpulan kecil wanita dari etnik Lun Bawang.

Tanah liat yang sudah dibentuk dan dicorakkan perlu dibakar selama lapan jam untuk menjadi manik seramik yang lebih tahan, cantik dan boleh digunakan bukan hanya untuk tradisi dan kebudayaan tetapi juga untuk dikomersialkan.

Menurut beliau, bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian Lawas bukan saja dalam bentuk peruntukan untuk membina premis dan membeli peralatan, malah kursus berkenaan pemprosesan manik turut disediakan untuk mereka.

Tambah beliau, mereka bukan saja membuat manik seramik, tetapi turut menghasilkan produk-produk kraf tangan daripada manik seramik sekiranya ada permintaan (special request) daripada pelanggan.

Puan Patricia menunjukkan manik-manik yang telah dibentuk daripada tanah liat

Dari segi jualan, beliau memberitahu, biasanya dari Januari hingga April, pendapatan mereka sekitar RM3 ribu sebulan, namun kemuncaknya adalah apabila menjelang musim-musim perayaan dari Mei hingga Ogos di mana jualan mereka boleh mencecah antara RM4 ribu hingga RM6 ribu sebulan.

Setakat ini, beliau sangat gembira dan berpuas hati degan apa yang sudah diusahakan selama ini, justeru beliau tidak akan ‘berpencen’ daripada perusahaan membuat manik seramik ini.

Produk-produk manik seramik yang telah dihasilkan dan siap untuk dijual

Bagi beliau, sebagai seorang usahawan, istilah ‘cuti’ adalah tiada buat mereka kerana masa mereka bekerja adalah sangat fleksibel.

Beliau lebih banyak menghabiskan masa di premis manakala rakan-rakan yang lain akan memproses manik di rumah mereka sendiri, kerana masing-masing mereka mempunya kepakaran tersendiri.

Ada diantara mereka mahir menggulung tanah liat, mahir melukis dan mencorak, justeru mereka akan memproses manik tersebut di rumah masing-masing kemudian mereka akan membawa hasilnya kepada beliau untuk dijual.

Biasnya beliau akan membayar terus kepada pembuat-pembuat manik tersebut untuk mengelakkan mereka tertunggu-tunggu produk mereka dibeli baru mereka akan mendapat upah.

Sebenarnya, ini juga adalah salah satu cara beliau memberi dorongan dan galakan kepada rakan-rakannya agar mereka tidak berhenti membuat produk manik.

Sesungguhnya, beliau amat berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Lawas kerana terus membantu mereka dari tahun ke tahun untuk meningkatkan mutu produk serta menolong mereka dari segi pemasaran untuk memastikan perniagaan manik ini tidak berhenti.

Ketuhar yang digunakan untuk membakar tanah liat

Sebagai pengusaha Pusat Kraftangan Manik Seramik ini, beliau bukan saja mahu menjana pendapatan yang tinggi sebaliknya berharap agar tradisi penghasilan produk manik seramik daripada ertnik Lun Bawang di Long Tuma ini terus hidup dan dikenali di seluruh dunia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article