Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 telah mendapat perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 19 Januari 2022.
Seterusnya, RUU tersebut telah diwartakan sebagai Akta pindaan iaitu Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] pada 25 Januari 2022.
Berdasarkan seksyen 1(2) Akta A1642, Akta ini akan mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk Akta A1642 dikuatkuasakan pada 11 Februari 2022.
Perkara ini dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar.
Akta tersebut merangkumi pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan dan adalah suatu komitmen Kerajaan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi pindaan Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 dengan sokongan 2/3 majoriti (199 ahli) dan Dewan Negara dengan sokongan 49 ahli pada 23 Disember 2021.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menyatakan bahawa, penguatkuasaan Akta A1642 adalah satu komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tambah beliau, Akta ini adalah amat signifikan dan merupakan suatu “khabar gembira” yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah dan Sarawak di mana pindaan kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan ini adalah untuk menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan perkara-perkara yang tersurat dan tersirat dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Manakala pindaan kepada fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan adalah memperuntukkan bahawa ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak adalah seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri.
Oleh itu, jelas beliau melalui pindaan ini definisi ras asli di Sarawak adalah tidak lagi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan boleh ditentukan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui perundangan negeri Sarawak sendiri.