- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

PSUPS Sentiasa Sokong Inisiatif Yang Beri Manfaat Kepada Rakyat

Must read

Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak (PSUPS) sentiasa menyokong dan membantu agensi-agensi pelaksana dalam apa jua perkara berkaitan sekiranya terdapat isu-isu yang memerlukan intervensi di peringkat Persekutuan, Negeri dan Kementerian, selaras dengan peranannya sebagai pemudah cara.

Demikian dikatakan Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg Dato’ Amir bin Omar semasa ditemu bual oleh RAKAN Sarawak pada 3 Februari 2022.

Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg Dato’ Amir bin Omar semasa sesi temu bual dengan RAKAN Sarawak pada 3 Februari 2022

Sebagai contoh, baru-baru ini beliau bersama delegasi dari Kerajaan Sarawak telah mengadakan lawatan dan perbincangan bersama pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam usaha membantu Kerajaan Sarawak memperkasakan aktiviti ekonomi bagi golongan B40.

Lawatan dan perbincangan Dato’ Amir bersama pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

Selain itu, beliau turut melakukan kunjungan hormat kepada Residen-Residen Bahagian bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di bawah seliaan pihak berkenaan.

Hal ini supaya, segala permasalahan yang dihadapi oleh pihak pejabat Residen dalam pelaksanaan projek persekutuan dapat dikenal pasti, juga penyelesaian bagi permasalahan terutama penyelarasan dengan pihak jabatan atau agensi persekutuan di Sarawak mahupun di Putrajaya dapat diatasi.

Dengan demikian, pelaksanaan projek pembangunan diharapkan akan berjalan dengan lancar dan menepati jadual, secara tidak langsung akan membantu bukan sahaja dari sudut perkembangan sosioekonomi tetapi juga ekonomi negara secara amnya.

Berkenaan projek atau program yang dilaksanakan atau disokong oleh Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak bagi membangunkan sosioekonomi di Sarawak (2019-2021), beliau menjelaskan, kebiasaannya setiap program akan dilaksanakan oleh agensi atau jabatan yang berkaitan.

Namun, Pejabat Setiausaha Persekutuan sentiasa menyokong inisiatif atau program yang dapat memberi manfaat kepada semua seperti yang diperkatakan, sekiranya terdapat isu yang tidak dapat diselesaikan di peringkat agensi atau jabatan masing-masing.

Lawatan Dato’ Amir ke Hospital Lawas pada 27 Januari 2022
Lawatan Dato’ Amir ke SK Awat-Awat, Lawas pada 27 Januari 2022

Selain itu, pejabat ini juga sering menjadi salah satu Jawatankuasa Induk untuk bersama-sama membantu menjayakan program yang dianjurkan.

Dalam masa yang terdekat ini, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak akan membantu Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Malaysia (MOTAC) menjayakan Program Citrawarna Keluarga Malaysia yang akan diadakan di Kuching tidak lama lagi.

Program ini bertujuan untuk mempromosikan kepada masyarakat di dalam dan di luar negara tentang kepelbagaian seni budaya, kraf tempatan serta keunikan makanan warisan.

Lawatan Dato’ Amir ke SK Long Tuma, Lawas pada 27 Januari 2022

Selain itu, program ini sekali gus mempromosikan pelancongan bertemakan akar budaya tempatan dengan mengetengahkan seni dan budaya autentik yang merupakan wadah penyemarakan pelancongan, seni dan budaya di Malaysia terutamanya di Sarawak.

Pejabat ini juga dari semasa ke semasa akan meneruskan program turun padang terutamanya ke kawasan luar bandar bagi melihat dan memantau pelaksanaan projek-projek persekutuan yang akan, sedang dan telah dilaksanakan.

Tujuannya adalah untuk memastikan projek-projek pembangunan berkenaan dapat dilaksanakan dengan teratur, mematuhi kehendak pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) dan juga dapat disiapkan dalam masa seperti mana yang dijadualkan.

Lawatan Dato’ Amir ke pusat penempatan banjir sementara di kampung Selampit, Lundu pada 31 Disember 2022

Beliau akan sentiasa meneruskan sesi libat urus (engagement) dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan agar terdapatnya sinergi kesinambungan yang baik terutamanya dengan pihak-pihak berkepentingan dalam pembangunan projek.

Dengan adanya hubungan yang baik sedemikian, beliau percaya, secara tidak langsung dapat membantu dalam memudahkan urusan pemantauan projek pembangunan, sekali gus membawa kepada pembangunan projek yang cepat dan menepati kehendak rakyat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article