- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Jana Pendapatan Lumayan Menerusi Program CUP

Must read

Sepanjang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Program Change Upgrade Product (CUP) di bawah Seksyen Agromakanan telah menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM119,405.

Perkara ini didedahkan oleh Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Jabatan Pertanian (DOA) Daerah Lawas, Puan Latipah binti Latip ketika ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Jabatan Pertanian (DOA) Daerah Lawas, Puan Latipah binti Latip

Menurut beliau, projek CUP yang diusahakan oleh Puan Dayang Dainah binti Bakar, dari Kampung Banting, Lawas ini juga antara projek berimpak tinggi di bawah Seksyen Agromakanan.

RAKAN Sarawak telah dibawa meninjau ke premis perniagaan Puan Dayang sekali gus berpeluang menemu ramah beliau untuk mendengar pengalaman beliau sejak berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

Peserta Program Change Upgrade Product (CUP), Puan Dayang Dainah binti Bakar

Puan Dayang adalah usahawan di bawah program Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian Lawas, yang berasal dari Limbang, namun kini telah menetap di Lawas.

Beliau telah mula berkecimpung dalam bidang perusahaan kek lapis ini sejak tahun 2000 secara kecil-kecilan dari rumah namun bukan sepenuh masa kerana beliau masih bekerja sebagai guru ketika itu.

Pelbagai jenis kek lapis yang dijual di kedai kek Puan Dayang Dainah binti Bakar

Namun, beliau telah mengambil keputusan untuk bersara awal daripada seorang guru pada tahun 2017 (ketika itu, umur beliau adalah 49 tahun) kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perusahaan kek lapis beliau.

Menganggap sebagai satu rezeki apabila beliau mendapat bantuan bernilai RM60 ribu daripada Jabatan Pertanian Lawas.

Daripada bernilai RM60 ribu tersebut, RM50 ribu adalah untuk membina premis dan RM10 adalah untuk membeli peralatan membuat kek seperti pengadun (RM4,200), pendingin (RM3,000), kukusan (RM300), pengisar (RM400) dan meja (RM1,800).

Pelbagai jenis kek lapis dna biskut yang dijual di kedai kek Puan Dayang Dainah binti Bakar
Pelbagai jenis kek lapis dna biskut yang dijual di kedai kek Puan Dayang Dainah binti Bakar

Beliau sangat bersyukur kerana sebelum menerima bantuan tersebut, beliau hanya memproses kek lapis di rumah tetapi sekarang sudah ada premis atau kilang untuk memproses kek dengan turut dibantu oleh tiga (3) orang pekerja untuk meningkatkan jumlah keluaran kek lapis.

Namun begitu, apabila menjelang musim perayaan, lebih ramai individu akan bekerja secara separuh masa dengan beliau.

Bertanya tentang jenis-jenis produk yang dihasilkan, beliau memberitahu antaranya ialah kek lapis (28 jenis), biskut, pelbagai kek dan kek gulung.

Jelas beliau, kek lapis yang paling laris atau the best seller ialah frozen cheese, masam manis, perisa coklat selain durian dan harga kek yang dijual adalah mengikut saiz, misalnya kek bersaiz 8 X 8 dijual dengan harga RM68.

Beliau mengatakan bahawa harga tersebut tidak pernah berubah sejak dari dulu walaupun harga bahan semakin meningkat kerana bagi beliau, pelanggan tetap adalah lebih penting.

Kerana itu, beliau tidak terlalu berkira walaupun keuntungan tidak terlalu besar kerana apa yang beliau utamakan ialah mempunyai ramai pelanggan.

Setakat ini, produk kek beliau sudah menembusi pasaran hingga ke Indonesia, Brunei Darussalam (sebelum Covid-19, setiap minggu produk akan dihantar ke Brunei) selain di Labuan, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Pendapatan bulanan beliau sebelum COVID-19 adalah dalam RM20 ribu sebulan namun, setelah COVID-19 merebak di seluruh dunia, pendapatan beliau sudah menurun sehingga 50%.

Beliau terdorong untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan ini adalah kerana melihat produk seperti kek lapis ini sentiasa mendapat permintaan yang tinggi, apatah lagi di Lawas belum ada ramai saingan.

Meskipun, pada hari ini sudah dikatakan ramai saingan, beliau tidak bimbang kerana sudah mempunyai banyak pelanggan tetap yang masih setia membeli produk beliau.

Menjadi usahawan lebih menyeronokkan berbanding semasa beliau masih merupakan seorang guru kerana kini beliau tidak lagi perlu terikat dengan bermacam-macam peraturan, masa dan sebagainya.

Beliau berharap akan dapat memajukan perusahaan ini pada masa akan datang agar dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan tahap ekonomi keluarga mereka.

Dalam pada itu, beliau sangat bersyukur kerana mendapat premis kedai daripada Majlis Daerah Lawas dengan kos sewa yang tidak terlalu mahal.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article