- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek Perintis Tanaman Nanas ‘Keningau Diamond’ Kampung Pendam

Must read

Seramai 24 orang peserta dari Kampung Pendam, Daerah Limbang telah terlibat dalam Projek Perintis Penanaman Nanas Jenis ‘Keningau Diomand’ dengan setiap peserta telah diberikan tanah seluas satu ekar untuk diusahakan.

Penolong Pegawai Pertanian, Pejabat Pertanian Daerah Limbang, Encik Mustazah bin Jamil ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak baru-baru ini memberitahu, projek perintis di Kampung Pendam ini telah bermula sejak 2020.

Penolong Pegawai Pertanian, Pejabat Pertanian Daerah Limbang, Encik Mustazah bin Jamil

Kerajaan menerusi Jabatan Pertanian telah membelanjakan lebih RM1 juta untuk kerja-kerja pembersihan (clearing) membabitkan kos sebanyak RM33,300, perparitan menelan kos RM20 ribu, RM1 juta untuk pembelian benih nanas dan lain-lain.

Selepas pembersihan tapak, Jabatan Pertanian turut membantu para peserta projek membuat batas untuk menanam benih nanas tersebut.

Menurut beliau, ramai petani di Limbang begitu teruja untuk mengusahakan nanas Keningau Diamond kerana ia bukan sahaja merupakan varieti baharu, namun mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk dipasarkan berbanding varieti nanas yang ditanam sebelum ini.

Hal ini kerana, nanas Keningau Diamond mempunyai keistimewaan tersendiri di mana rasa buahnya yang sangat rangup dan manis serta mempunyai berat diantara satu hingga dua kilo sebiji.

Harga pasaran nanas Keningau Diamond pula adalah diantara RM3 hingga RM4 sekilo dan ia mendapat permintaan yang tinggi, sudah tentu akan menjana pendapatan yang tinggi buat peserta, lagipun ia akan dijual secara berperingkat kerana peserta tidak menanam secara serentak.

Petani yang mahu mengusahakan tanaman nanas Keningau Diamond di bawah seliaan Jabatan Pertanian perlu membuat permohonan kerana dalam projek ini setiap peserta akan diberikan kemudahan persediaan tapak seperti pembersihan tapak dan sulur atau benih nanas serta baja.

Hasil tinjauan RAKAN Sarawak mendapati beberapa peserta di Kampung Pendam, antaranya Encik Karim bin Osman, 55 telah menunjukkan sikap yang positif dan rajin dalam mengusahakan tanaman beliau setiap hari dan hasilnya tanaman nanas hidup dengan begitu subur.

Peserta projek tanaman nanas ‘Keningau Diamond’ di Kampung Pendam, Encik Karim bin Osman, 55

Encik Karim telah menyertai projek perintis ini sejak ia diperkenalkan pada 2020 di kawasan seluas 1 ekar selepas dia bersara daripada pekerjaan lamanya sebagai pekerja luar pesisir (offshore) dengan syarikat minyak dan gas.

Beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana telah memberi peluang kepada penduduk kampung menjana pendapatan menerusi projek tanaman nanas Keningau Diomond ini.

Projek Perintis Penanaman Nanas Jenis ‘Keningau Diomand’ di Kampung Pendam, Limbang

Jabatan Pertanian bukan saja menyediakan tapak untuk mereka mengusahakan projek tanaman nanas serta benih pokok untuk ditanam, malah turut memberikan tunjuk ajar kepada mereka tentang cara-cara menanam nanas ini.

Menurut beliau, antara perkara penting yang perlu diketahui dalam menanam nanas ini ialah jarak pokok dan teknik-teknik untuk menjaga pokok nanas untuk memastikan ia sentiasa subur dan dapat menghasilkan buah yang baik.

Jarak bagi setiap pokok nanas adalah satu hingga dua kaki, manakala untuk memastikan kesuburan, pokok nanas haruslah sentiasa dibersihkan, dibaja sekurang-kurangnya tiga bulan sekali dan disembur dengan racun serangga agar buahnya tidak akan dirosakkan oleh serangga.

Penduduk dari Kampung Pendam perlu menyeberangi sungai menggunakan feri untuk pergi ke pekan Limbang

Beliau berkata, sekiranya projek nanas ini mampu mendatangkan pendapatan yang baik kepada beliau, beliau akan meneruskan projek tanaman nanas ini pada tahun-tahun akan datang.

Melihat kepada peluang yang diberikan ini, penduduk tempatan harus mengambil dan memanfaatkan peluang yang disediakan Kerajaan Sarawak ini dengan menjadikan pertanian itu sebagai suatu kerjaya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article