- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

DCC Telah Mula Beroperasi Sebagai Pusat Satelit MYFutureJobs

Must read

Jika sebelum ini, kita sedia maklum bahawa Pusat Komuniti Digital (DCC) berfungsi sebagai pusat pembangunan kemahiran dan bakat, pusat penyelidikan dan pembangunan masyarakat, pusat rundingan dan kaunseling serta pusat pertemuan belia.

Selain itu, DCC juga merupakan pusat pembelajaran yang menyediakan pelbagai latihan dan program kesedaran dengan melibatkan komuniti setempat.

Baru-baru ini, RAKAN Sarawak telah mengadakan tinjauan ke DCC Kapit untuk melihat perkembangan terkini tentang program-program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di DCC Kapit.

RAKAN Sarawak begitu teruja apabila mendapati DCC Kapit telah dimanfaatkan oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai Pusat Satelit MYFutureJobs.

Bagi mendapat pencerahan mengenai program tersebut, RAKAN Sarawak telah menemu bual dua orang kakitangan PERKESO iaitu Pegawai Perhubungan Majikan Encik Awang Abdul Razzaq bin Awg Kaderi dan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Cik Sheryl Raju.

Pegawai Perhubungan Majikan PERKESO Encik Awang Abdul Razzaq bin Awg Kaderi
Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Cik Sheryl Raju

Menurut mereka, tujuan program di DCC pada hari tersebut adalah untuk membuka peluang pekerjaan kepada pencari kerja awam khasnya untuk penduduk di sekitar Kapit.

Pada masa yang sama, pihak PERKESO juga ingin membantu majikan mencari tenaga kerja yang sesuai dan berkelayakan berdasarkan kekosongan jawatan yang sedia ada.

Antara tujuannya yang lain adalah untuk memberi pendedahan kepada pencari kerja mengenai Unit SIP dan juga penggunaan portal pekerjaan MYFurureJobs.

Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO membimbing pencari kerja mengisi borang pekerjaan

Bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti tidak mengira lokasi terutamanya di luar bandar, Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO telah mewujudkan inisiatif Pusat Satelit MYFutureJobs untuk membantu para pencari kerja.

DCC telah mula beroperasi sebagai Pusat Satelit MYFutureJobs yang berfungsi sebagai pusat mendapatkan akses peluang pekerjaan bermula pada bulan Oktober 2021 dengan mendukung kepada konsep ‘Whole-Of-Society’ atau ‘Leave No One Behind Approach’.

Tambah mereka, PERKESO telah merangsang pengambilan pekerja terutamanya dari kalangan penganggur, golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan, warga emas dan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan.

Insentif akan diberi untuk pengambilan pekerja tempatan bagi kerja yang biasanya dilakukan oleh pekerja asing dan bantuan kewangan antara 20% hingga 40% daripada gaji kasar maksimum pekerja atau RM10,000  selama 12 bulan.

Karnival kerjaya MYFutureJobs ini adalah kali pertama dianjurkan di seluruh negara, dan lebih 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan melibatkan 50 majikan merentasi pelbagai industri.

Setakat ini, sebanyak 20 majikan telah mengambil bahagian sepanjang program temuduga yang diadakan di DCC sehingga bulan Januari 2022.

Sehubungan itu, seramai 72 orang pencari kerja telah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui program inisiatif Pusat Satelit MYFutureJobs di DCC yang terlibat.

Menurut mereka, sebanyak 10 DCC telah disenaraikan sebagai Pusat Satelit MYFutureJobs antaranya ialah DCC Kapit, Baji Jaya Sarikei dan DCC Sibu Jaya.

PERKESO merancang untuk mengadakan lebih banyak program temuduga dan kebolehpasaran yang lebih proaktif dalam usaha untuk membantu dan memperkasakan komuniti mendapatkan pekerjaan.

Sempena program MYFutureJobs yang diadakan di DCC Kapit pada 17 Februari lepas, Syarikat Lumileds Malaysia telah mengadakan temuduga terbuka untuk mengambil tenaga kerja bagi mengisi kekosongan jawatan di syarikat mereka.

Menurut Pengurus Sumber Manusia Syarikat Lumileds Malaysia, Encik Nor Rimi bin Muhid dan Pengurus Operasi Encik Nai Biter Siriphant, kolaborasi dengan PERKESO adalah sebagai bukti dan jaminan kepada pencari kerja bahawa Lumileds adalah sebuah syarikat yang sah.

Pengurus Sumber Manusia Syarikat Lumileds Malaysia, Encik Nor Rimi bin Muhid
Pengurus Operasi Syarikat Lumileds Malaysia, Encik Nai Biter Siriphant

Pada masa ini, cawangan syarikat  yang ada di seluruh Malaysia mempunyai lebih 50 orang pekerja dari Borneo termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, dalam usaha mencari pekerja yang mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya pemegang sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR), Syarikat Lumileds akan menyediakan latihan dan persijilan untuk pekerja-pekerja baharu.

Bertanya tentang kemudahan yang terdapat di DCC Kapit, mereka sangat berpuas hati dengan segala kemudahan yang ada seperti internet jalur lebar, komputer, komputer riba, mesin pencetak dan sebagainya kerana ia  dapat memenuhi keperluan mereka.

Sebagai pusat yang menyediakan infrastruktur digital kepada orang ramai, kini DCC telah dimanfaatkan oleh PERKESO dan Syarikat Lumileds Malaysia untuk membantu golongan pencari kerja di Kapit.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article