- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perkhidmatan Komuniti Bergerak Tepati Keperluan Masyarakat di Luar Bandar

Must read

Inisiatif Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman dan Pejabat Daerah Kecil Lingga mengadakan Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak atau Mobile CS di Dataran Terubok Lingga  pada 12 hingga 13 Mac 2022 dilihat bertepatan dalam usaha menjangkau perkhidmatan agensi kerajaan ke kawasan luar bandar.

Daerah Kecil Lingga merupakan lokasi pertama bagi tahun 2022 sejak kali terakhir Perbendaharaan Malaysia Sarawak mengadakan Program Komuniti Bergerak di Pusa pada penghujung tahun 2019.

Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Encik Leonard Wilfred Yussin ketika ditemu bual RAKAN Sarawak baru-baru ini berkata program ini menyediakan perkhidmatan utama mengikut keperluan tempatan serentak di satu lokasi yang dikenal pasti seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Daerah (e-Kasih), MySalam dan sebagainya.

Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Encik Leonard Wilfred Yussin

Jelas beliau, ia merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia bertujuan memberikan perkhidmatan-perkhidmatan utama yang diperlukan kepada penduduk luar bandar atau komuniti pedalaman.

Lingga dipilih jelas beliau kerana faktor lokasinya yang jauh daripada bandar Kuching dengan mengambil masa perjalanan melebihi dua (2) jam, kekangan penduduk dari segi pengangkutan menyebabkan kurang capaian terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang hanya disediakan di bandar-bandar utama

Encik Leonard Wilfred Yussin bersama wakil rakyat Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor meninjau kaunter agensi kerajaan yang mengambil bahagian

Menurut Encik Leonard, walaupun jumlah agensi kerajaan yang terlibat kali ini agak kurang iaitu 22 agensi tidak sebanyak  40 agensi sebelum ini (akibat pandemik) namun suasana sambutan begitu meriah dengan kawalan Prosedur Operasi yang ketat

Kelihatan ramai pengunjung berurusan Pejabat Daerah Sri Aman berkaitan hal e-kasih
Ibu bapa tidak melepaskan peluang ingin mengetahui peluang pendidikan disediakan Giat MARA Sri Aman

Kali terakhir program yang serupa telah diadakan pada tahun 2019 di Pusa dan Sebuyau manakala tahun ini (2022), pihaknya menyasarkan untuk turut melaksanakan program serupa di Selangau dan Long Lama

Rata-rata pengunjung yang ditemui melahirkan rasa bersyukur kerana program ini diadakan dekat dengan kampung mereka.

Antaranya Rosni Binti Jaya dari Kampung Upik Baharu, Lingga yang mengambil kesempatan program tersebut untuk memperbaharui lesen motosikal.

Rosni Binti Jaya
Rosni setelah berurusan dengan kenderaan bergerak JPJ

Rosni  yang mendapat tahu tentang program ini melalui Kumpulan Whatapp “Jual Beli Lingga” tersebut berkata program tersebut begitu menyenangkan dan memberikan kemudahan ke penduduk berhampiran.

Dia berkata kebiasaannya sebelum ini, penduduk akan menggunakan kenderaan untuk ke Sri Aman, ada yang menumpang kenderaan seperti van yang akan mengenakan bayaran RM20, pergi dan balik.

Begitu juga, dengan Sajeli bin Ramli dari Kampung Melayu Bakong, Lingga yang sempat ditemu bual RAKAN Sarawak, berkata program ini amat memudahkan terutama tidak perlu bersesak dengan ramai orang dengan perkhidmatan yang cukup pantas.

Sajeli bin Ramli
Sajeli menunjukkan sijil kelahiran yang telah siap diproses dan dicetak

Jelas Sajeli dia tidak perlu turun ke Sri Aman sejauh 50 km untuk mendapatkan perkhidmatan sebaliknya jarak singkat antara  Lingga ke kampung hanya sejauh 20 km. Perkhidmatan ini jelasnya cukup baik untuk masyarakat di luar bandar. Malah kadar respons terutamanya perkhidmatan menukar sijil kelahiran lama kepada sijil kelahiran baharu hanya mengambil masa kurang dari 10 minit.

Perkhidmatan Komuniti Bergerak merangkumi 4 komponen utama iaitu:

  • Menyediakan perkhidmatan utama kerajaan (melibatkan asas pertanian, kesihatan dan kerjaya)
  • Menyediakan peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan ketika program berlangsung (pendaftaran syarikat, dan gerai jualan)
  • Menyediakan platform untuk membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasaran (kemudahan pinjaman, bantuan ibu tunggal dan warga emas)
  • Memberi penerangan serta kesedaran kepada rakyat mengenai dasar, program dan aktiviti kerajaan melalui kementerian dan agensi kerajaan.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam Perkhidmatan Komuniti Bergerak

  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Pertubuhan Keselamatan Sosial
  • Pusat Giat MARA
  • Majlis Amanah Raya (MARA)
  • Jabatan Pendidikan
  • Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
  • Jabatan Penerangan
  • Ar Rahnu
  • Bank Simpanan Nasional (BSN)
  • Pejabat Daerah Sri Aman
  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
  • Lembaga Tabung Haji
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article