Salah satu cabang perubatan yang menggunakan prinsip biologi dan fisiologi dalam penyelidikan dan amalan klinikal dikenali sebagai bioperubatan yang menjalankan fungsi dengan ujian makmal untuk mengenal pasti punca, gejala dan fungsi penyakit.
Bioperubatan mendekati kesihatan dari sudut pandang biologi iaitu, kajian anatomi dan fisiologi untuk memahami mekanisme badan seterusnya mencadangkan cara baharu diagnosis, rawatan dan pencegahan sesuatu penyakit.
Kaedah yang dibangunkan oleh bioperubatan adalah asas dasar kesihatan awam dan juga diagnosis makmal yang kemudiannya membangunkan teknologi baharu bagi melawan penyakit dan meningkatkan kesihatan secara umum.
Dalam kata lain, bioperubatan menggabungkan sains perubatan dengan beberapa bidang biologi seperti biokimia, embriologi, biologi molekul, imunologi, dan sebagainya.
Sebagai usaha mempercepatkan pertumbuhan sektor bioperubatan serta meningkatkan kemampuan mengesan wabak penyakit berjangkit, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah drastik dengan menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC).
SIDC yang dianggarkan bernilai RM190 juta dibina berdekatan Taman Bio-Industri, Samarahan dan ianya dijangka siap pada 2024.
Sehubungan itu, Majlis Pecah Tanah SIDC telah disempurnakan oleh Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada tahun lepas (16 November 2021).
Difahamkan, SIDC ini nanti akan dilengkapi dengan makmal Bio-Safety Level 3 (BSL-3) yang membolehkan penyelidikan dan pengembangan ejen berjangkit BSL-3 serta pengujian produk untuk memastikan pengkomersialan ‘output’ Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dapat dilakukan.
Segala kemudahan penyelidikan yang tersedia di pusat ini akan menyatukan bakat di peringkat serantau dan antarabangsa, seterusnya mendorong syarikat bioperubatan global untuk memastikan Sarawak bersedia menghadapi cabaran masa depan.
SIDC akan memberi tumpuan kepada dua tema teras iaitu pertama, mengembangkan keupayaan serta pengetahuan untuk bertindak balas terhadap pandemik masa depan dan kedua ialah, menterjemahkan penyelidikan bioperubatan ke dalam aplikasi seperti alat diagnostik, rawatan vaksin, dan vaksin.
SIDC juga akan melakukan ujian serologi longitudinal ke atas individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Sarawak.
Tujuan ujian tersebut dilakukan adalah untuk memantau antibodi peneutralan spesifik menentang COVID-19 dalam jangka masa dua tahun selain untuk mewujudkan kerjasama dengan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Pada dasarnya, matlamat penubuhan SIDC ini adalah untuk melindungi Sarawak dengan cara meningkatkan penyelidikan mengenai penyakit berjangkit, melengkapkan Sarawak dengan kemampuan dan keupayaan untuk menguji ubat, vaksin dan peralatan terhadap agen berjangkit.
Selain itu, ia juga akan membolehkan Sarawak mengesan, mendiagnosis dan meramalkan kemungkinan wabak penyakit berjangkit.
Sehubungan itu, SIDC akan bekerjasama dengan pihak akademik, kerajaan dan institusi-institusi di seluruh dunia yang memiliki kemampuan dalam penelitian dan pengembangan berhubung kawalan penyakit berjangkit.
Malah, SIDC juga akan menyediakan kemudahan kepada saintis kita bagi mengenal pasti sumber tempatan untuk dikembangkan menjadi produk ubat-ubatan yang dapat mengawal atau mengurangkan penyebaran penyakit tropika.
Premier Sarawak semasa berucap pada Majlis Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi dan Sains Inovasi untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) Edisi Khas 2020 memaklumkan, beberapa ahli akademik dan saintis tempatan sudah dikenal pasti untuk mengendalikan SIDC.
Mereka akan berinteraksi dengan pakar antarabangsa berkredibiliti dari institusi termasuk Universiti Cambridge, Universiti Oxford dan Kolej Imperial, di mana mereka akan menjalankan penyelidikan terutamanya penyakit tropika.
Selain membolehkan Sarawak mengesan, mendiagnosis dan meramalkan potensi wabak penyakit berjangkit, SIDC juga akan melengkapkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penyakit berjangkit di Sarawak.
Pada masa akan datang, SIDC akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri bioperubatan Sarawak dalam menghadapi cabaran masa depan.