- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek RTP Berimpak Tinggi di Debak

Must read

Program Transformasi Luar Bandar (RTP) adalah satu inisiatif kerajaan yang sangat penting dan banyak memberi impak dalam membangunkan kawasan dan menyejahterakan rakyat.

Oleh sebab itu, Kerajaan Sarawak terus komited melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi menerusi RTP sebagai usaha mempercepatkan pembangunan infrastruktur secara terancang, tersusun dan seimbang di kawasan pedalaman luar bandar antaranya ialah di Daerah Kecil Debak.

Replika ‘Buah Embang’, mercu tanda Daerah Kecil Debak

Antara projek RTP yang telah dilaksanakan di Daerah Kecil Debak pada tahun 2021 ialah Pusat Pembangunan Komuniti Debak dan Dewan Badminton Debak.

Pusat Pembangunan Komuniti Debak (seluas 21 meter X 9 meter) bernilai RM500 ribu telah dibina pada 10 Ogos 2020 dan siap pada 19 April 2021.

Bangunan Pusat Pembangunan Komuniti yang akan menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada penduduk di Debak

Pusat Pembangunan Komuniti ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas yang akan memberikan kemudahan dan manfaat kepada penduduk sekitar kampung untuk melakukan aktiviti rasmi mahupun tidak rasmi.

Salah satu perkhidmatan yang akan disediakan di Pusat Pembangunan Komuniti Debak ialah kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN).

Penyediaan ATM di Daerah Kecil Debak ini amat menagih keperluan memandangkan populasi penduduk di sini sudah mencecah lebih 15,000 orang.

Suasana waktu siang di pekan Daerah Kecil Debak

Ketiadaan bank di Debak amat menyukarkan penduduk kerana mereka terpaksa menempuh jarak sekurang-kurangnya 40 hingga 50 kilometer ke bandar terdekat seperti Betong dan Saratok hanya untuk mengeluarkan wang keperluan mereka.

Masalah ketiadaan ATM atau bank ini sangat membebankan penduduk Debak kerana kadar perbelanjaan ke bandar terdekat menelan kos lebih kurang RM30 hingga RM50, sudah tentu memberi impak sangat besar bagi penduduk berpendapatan rendah terutama golongan petani dan nelayan.

Perkara ini dijelaskan oleh SAO Pejabat Daerah Kecil Debak, Encik Nazari bin Bujang ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Melihat beban yang terpaksa ditanggung oleh penduduk di Daerah Kecil Debak ini, Kerajaan Sarawak akhirnya mengambil inisiatif untuk mewujudkan ATM di Pusat Pembangunan Komuniti Debak ini untuk memudahkan urusan penduduk.

Selain kemudahan ATM, turut disediakan di Pusat Pembangunan Komuniti Debak ialah pejabat Wakil Rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam, ruangan pelbagai guna untuk komuniti, bilik mesyuarat, pasar mini (mini mart) dan rumah rehat (rest house).

Banyak kampung terutama di kawasan luar bandar termasuklah di Daerah Kecil Debak ini tidak mempunyai tempat yang lebih selesa untuk mengadakan perjumpaan atau perbincangan.

Justeru, dengan adanya Pusat Pembangunan Komuniti Debak ini, ia akan memberi kemudahan yang lebih baik dan selesa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan komuniti dan sebagainya untuk mengadakan pertemuan di peringkat kampung.

Selain itu, pada masa akan datang, mungkin Kerajaan Sarawak juga boleh memanfaatkan Pusat Pembangunan Komuniti Daerah Kecil Debak ini sebagai Pusat Komuniti Digital (DCC).

Sudah tentu, akan adanya keperluan untuk Kerajaan Sarawak memasang talian internet, komputer dan beberapa kemudahan lain yang diperlukan bagi kemudahan penduduk di Daerah Kecil Debak ini.

Salah satu lagi projek RTP yang telah siap dilaksanakan pada tahun lepas ialah Dewan Badminton Debak yang bernilai RM550 ribu sebagai satu usaha untuk menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik kepada penduduk di Daerah Kecil Debak terutama untuk golongan belia.

Dewan Badminton Debak bernilai RM550 menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik kepada penduduk di Daerah Kecil Debak

Selain menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik, ia juga dilihat akan dapat memberi peluang kepada golongan belia untuk bergiat lebih aktif dalam pelbagai program kesukanan selain mengelak mereka daripada melakukan perkara tidak berfaedah.

Hal ini kerana, dewan badminton ini bukan sahaja dapat dijadikan sebagai tempat untuk bermain badminton, malah menjadi tempat untuk masyarakat khususnya generasi muda mengadakan pelbagai aktiviti sukan dan kebudayaan.

Oleh itu, penduduk di Daerah Kecil Debak ini wajar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan ini selain menjaga kemudahan tersebut dengan sebaik-baiknya.

Satu-satunya menara jam yang terdapat di pekan Daerah Kecil Debak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article