Baru-baru ini, RAKAN Sarawak bersama rombongan dari Pejabat Daerah Sri Aman telah mengadakan lawatan ke Rh Johnson Intai anak Pol yang terletak di Seduku Panjai, Lingga, Sri Aman.
Rh Johnson Intai adalah antara rumah panjang yang terpilih di bawah Program Transformasi Luar Bandar (PTLB) kerana ia masih bersifat tradisi dan serba kekurangan namun, sangat berpotensi dari aspek pembangunan sosial, ekonomi, infrastruktur dan modal insan.
Terdapat sembilan (9) Biro dalam PTLB di Rh Johnson Intai yang menjadi strategi utama bagi perancangan dan perlaksanaan projek iaitu;
- Biro Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan
- Biro Pembangunan dan Infrastruktur
- Biro Ekonomi dan Usahawan
- Biro Kebudayaan dan Kraftangan
- Biro Pendidikan dan Latihan
- Biro Kebajikan, Wanita dan Kanak-Kanak
- Biro Belia dan Sukan
- Biro Kerohanian, Patriotisme dan Kemasyarakatan
- Biro Penyukatan Tanah
PTLB di Rh Johnson Intai telah bermula pada tahun 2019 dan ia masih diteruskan hingga sekarang di mana setakat ini sebanyak 49 program telah diadakan melibatkan kos sebanyak RM1,598,332.48.
Pada 2019, sebanyak 13 program telah dilaksanakan melibatkan kos sebanyak RM501,130.00; 20 program dilaksanakan pada 2020 melibatkan kos sebanyak RM391,582.48; dan untuk 2021/2022, sebanyak 16 program melibatkan kos berjumlah RM702,620 telah dirancang untuk dilaksanakan.
Perkara ini dijelaskan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Encik Mohd Ashree Wee semasa memberikan taklimat ringkas kepada RAKAN Sarawak sempena lawatan ke Rh Johnson Intai pada hari tersebut.
Menurut beliau, penduduk di Rh Johnson Intai sentiasa memberi maklum balas yang memberangsangkan terhadap setiap program yang dilaksanakan di rumah panjang ini.
Matlamat sebenar setiap program yang dilaksanakan adalah untuk melahirkan masyarakat rumah panjang yang patriotik, berinisiatif, berilmu, berdikari serta meningkatkan kualiti dan taraf hidup masyarakat rumah panjang.
Sempena lawatan ke Rh Johnson pada hari tersebut, RAKAN Sarawak turut mengambil kesempatan menemu ramah beberapa orang penduduk rumah panjang untuk mendengar cerita mereka tentang perubahan yang telah disaksikan di Seduku, khasnya di rumah panjang mereka.
Puan Winna anak Ajai, 55, memberitahu, salah satukeistimewaan Rh Johnson Intai ialah, ia sangat unik kerana masih mengekalkan ciri-ciri tradisi yang boleh dilihat pada ukiran-ukiran di setiap pintu masuk rumah penghuni rumah panjang.
Setiap corak diukir mengikut kreativiti masing-masing dan tidak membawa sebarang maksud, tetapi kebanyakan motif atau corak adalah idea daripada golongan veteran.
Bercerita tentang keadaan satu ketika dulu, beliau mengakui kehidupan mereka sangat sukar kerana pada masa itu mereka hanya bergantung kepada pengangkutan sungai.
Menurutnya, perjalanan dari Sri Aman hingga ke Lingga mengambil masa lebih kurang tiga jam berbanding sekarang hanya 45 minit menggunakan pengangkutan darat.
Tambah beliau, banyak perubahan telah disaksikan sejak adanya jalan raya, seperti yang kita lihat di rumah panjang ini sudah ada bekalan air bersih, elektrik, talian telefon, internet dan sebagainya.
Walaupun sudah ada internet, penduduk di rumah panjang masih berharap agar kelajuan internet dapat dipertingkatkan kerana golongan yang bersekolah dan bekerja banyak bergantung kepada internet.
Beliau juga berharap agar kerajaan menyediakan banyak peluang kepada generasi-generasi muda di rumah panjang ini menyertai pelbagai program yang dilaksanakan seperti yang diadakan di rumah-rumah panjang atau kampung-kampung yang lain.
Puan Gloria anak Johnson, 52 pula berkata, penduduk di Rh Panjang Johnson aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang diadakan seperti membuat kraf tangan, belajar membuat kuih muih serta memasak dan belajar tarian tradisional seperti ngajat.
Sambal tersenyum, beliau teruja untuk bercerita tentang kepayahan hidup penduduk di Lingga termasuk rumah panjang mereka sebelum adanya jalan raya di mana mereka hanya bergantung kepada pengangkutan sungai.
Kini, keadaan sudah banyak berubah dan banyak kemudahan-kemudahan infrastruktur telah dibina oleh kerajaan di sekitar rumah panjang mereka.
Menurut beliau, tahun 2002 adalah tahun terakhir mereka bergantung kepada pengangkutan sungai kerana kerajaan sudah membina jalan raya dari Sri Aman ke Lingga.
Sejak itu, mereka mula melihat kawasan mereka membangun sedikit demi sedikit terutama dari aspek sosioekonomi dan taraf hidup penduduk.
Beliau amat berterima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion, kerana ingat kepayahan mereka di rumah panjang sehingga membawa banyak pembangunan di kawasan ini.
Paling diambil berat adalah dari segi kebersihan kawasan rumah panjang, sistem perparitan, aktiviti sosial dan aktiviti pertanian kerana ia dapat menjana pendapatan kepada penduduk rumah panjang,
Namun begitu, sejujurnya, puan Gloria berpendapat bahawa rumah panjang mereka masih banyak kekurangan berbanding dengan rumah panjang yang lain.
Encik George anak Awan, 56, yang bekerja sebagai petani, berasa amat bersyukur apabila melihat banyak pembangunan dibawa ke kawasan Seduku terutama di rumah panjang mereka.
Bagi beliau, kemudahan internet sangat diperlukan oleh penduduk di rumah panjang ketika ini memandangkan pelajar-pelajar sekolah banyak bergantung kepada kemudahan internet.
Walaupun kerajaan sudah menyediakan perkhidmatan WiFi menggunakan VSAT (Very Small Aperture Terminal Aperture) di kawasan rumah panjang ini, ia belum dapat menyelesaikan masalah sepenuhnya kerana kadang-kadang internet langsung tidak dapat diakses.
Namun begitu, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak terutama Datuk Amar Jaul Samion kerana banyak mendengar rintihan penduduk di sini. Menurut beliau, Datuk Amar Jaul Samion adalah antara individu yang paling banyak membantu, memberi pendapat serta mendorong penduduk rumah panjang memohon pelbagai projek pembangunan daripada kerajaan.