- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

SEDC Betong Gerak Usahawan Seiring Matlamat Hab Keselamatan Makanan

Must read

Pejabat Wilayah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Betong berperanan penting sebagai penggerak program pembangunan usahawan sektor pertanian dan produk tradisional luar bandar meliputi beberapa daerah dan daerah kecil di Bahagian Betong termasuk di Bahagian Sri Aman.

Menurut Pegawai Menguasa Pejabat Wilayah SEDC Betong, Encik Mohd Aizat bin Dollah, penubuhan pejabat berkenaan yang mula beroperasi pada 2020 adalah sebahagian daripada matlamat dan rancangan jangka masa panjang Kerajaan Sarawak bagi menjadikan Betong sebagai ‘Hab Keselamatan Makanan’ dan pengeluar makanan utama di rantau ini dalam usaha mencapai aspirasi Sarawak maju menjelang 2030.

Pegawai Menguasa Pejabat Wilayah SEDC Betong, Encik Mohd Aizat bin Dollah

Pembinaan Lapangan Terbang Bebuling, Spaoh dan penubuhan taman agro makanan di Debak yang sedang dilaksanakan boleh dilihat sebagai potensi jangka masa panjang dan pembangunan berterusan dari segi penghasilan produk berasaskan pertanian, makanan tradisional dan produk tradisional kampung, khususnya di Betong dan Sri Aman, ujar beliau.

Selari dengan matlamat tersebut, Pejabat Wilayah SEDC Betong dalam tempoh dua (2) tahun lalu telah giat menjalankan program-program pembangunan usahawan di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Komuniti SEDC.

Pejabat Wilayah SEDC Betong berperanan penting dalam membangunkan sektor keusahawanan di Betong termasuk Sri Aman

Selain melaksanakan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Encik Aizat yang ditemu bual RAKAN Sarawak baru-baru ini menjelaskan pihak beliau turut menjayakan program di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan (MINTRED) seperti Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).

Pelbagai program latihan berkaitan kemahiran keusahawanan dan perniagaan dengan kerjasama institusi latihan dan kemahiran antaranya Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Betong juga telah dijalankan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dengan penyertaan seramai lebih 1,000 orang peserta.

Selain itu, Pejabat Wilayah SEDC Betong turut menempatkan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) bagi memudahkan usahawan mendaftar perniagaan.

Pejabat Wilayah SEDC Betong turut menempatkan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU)

Jelas Encik Aizat, kadar sewa yang ditawarkan untuk satu unit PIBU adalah dalam lingkungan RM100 setahun dan jauh lebih murah berbanding dengan kadar sewa yang ditawarkan oleh pihak-pihak lain.

Objektif PIBU adalah bagi menempatkan pejabat sementara untuk disewa oleh bakal usahawan dan usahawan sedia ada yang memerlukan pejabat untuk berdaftar dengan agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.

PIBU di Pejabat Wilayah SEDC Betong memudahkan usahawan berlesen mendaftarkan alamat perniagaan

Kemudahan-kemudahan yang disediakan termasuklah latihan keusahawanan berterusan, bimbingan dan kaunseling perniagaan, penyaluran maklumat pusat sumber berkaitan latihan, tender dan maklumat perniagaan, surat sokongan kepada agensi kerajaan dan swasta serta nilai tambah perkhidmatan yang digunakan merangkumi perakaunan, pengauditan, setiausaha dan undang-undang, percukaian dan lain-lain perkara berkaitan pengurusan dan perniagaan.

PIBU diwujudkan di bawah Program Pembangunan Usahawan melalui kerjasama di antara SEDC dengan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) dengan matlamat untuk meluaskan skop aktiviti dan hala tuju usahawan bumiputera dalam perniagaan dan perusahaan.

PIBU menggunakan pendekatan 3G, iaitu guna sama ruang pejabat, guna sama kemudahan pejabat dan guna sama perkhidmatan.

Lebih daripada itu, Pejabat Wilayah SEDC Betong turut menjalankan Program Pembangunan Usahawan Kotej, khas untuk memelihara produk kraf tangan dan kuih-muih tradisional tempatan.

Senarai program pembangunan usahawan dan latihan perniagaan yang dilaksanakan Pejabat Wilayah SEDC Betong untuk tahun 2020

Mengulas lanjut, Encik Aizat memaklumkan bahawa pihak SEDC sendiri yang akan mencari dan mengenal pasti usahawan kotej yang mengusahakan produk-produk tempatan yang mempunyai nilai tradisional yang tinggi untuk dikembangkan perusahaan mereka di bawah program berkenaan.

Senarai program pembangunan usahawan dan latihan perniagaan yang dilaksanakan Pejabat Wilayah SEDC Betong untuk tahun 2021

Setakat ini, tiga usahawan telah diluluskan untuk mengikuti Program Pembangunan Usahawan Kotej dan lima (5) orang lagi masih dalam proses penilaian, tambah beliau.

Antara produk makanan yang mempunyai nilai tradisional tinggi adalah seperti lemantak dan ikan salai yang diusahakan oleh beberapa orang usahawan di Daerah Pusa dan Kabong.

Encik Aizat berharap, melalui penubuhan Pejabat Wilayah SEDC Betong, bilangan usahawan berlesen di sekitar Betong dan Sri Aman akan dapat ditingkatkan dan lebih ramai usahawan yang akan mendapat peluang pembiayaan dan latihan berterusan yang seterusnya dapat meningkatkan sosioekonomi mereka.

Tambah beliau, melalui program pembangunan usahawan, Pejabat Wilayah SEDC Betong dapat menyumbang kepada usaha Kerajaan Sarawak menjadikan Betong sebagai hab keselamatan makanan menjelang tahun 2030 kelak.

Statistik penerima program pembiayaan keusahawanan dan pendaftaran peserta PIBU untuk tahun 2020 dan 2021
Bangunan Pejabat Wilayah SEDC Betong
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article