- Advertisement -spot_img
4,804
published news
and counting

SEDC Terus Laksana Projek-projek Strategik

Must read

RAKAN 3Q2021-72

Sejak ditubuhkan pada Mac 1972, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah memainkan peranan penting sebagai sebuah badan berkanun yang mempromosi pembangunan komersial, perindustrian dan sosioekonomi Sarawak.

Saban tahun, SEDC sebagai entiti korporat yang turut bertindak sebagai agensi pelaksana projek terus memberi fokus terhadap pelaksanaan projek-projek signifikan yang akan memacu ekonomi Sarawak ke tahap yang lebih maju, berdaya saing dan mampan.

Agenda pembangunan yang dipertanggungjawabkan kepada SEDC meliputi pelbagai aspek dan sektor merangkumi pembangunan infrastruktur, komersial, latihan keusahawanan, pelancongan dan yang terkini, sistem pengangkutan awam moden dan pintar termasuk penerokaan dalam sektor tenaga seperti minyak dan gas asli, petro kimia dan tenaga hijau menerusi pembangunan tenaga hidrogen.

Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS)

Untuk muncul sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, sekarang adalah masanya untuk Sarawak membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien dan selamat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

Sarawak Metro Sdn. Bhd. (Sarawak Metro) yang diperbadankan pada Februari 2018 adalah anak syarikat milik penuh SEDC yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Sarawak untuk membangunkan projek Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS).

Matlamat strategik projek KUTS adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya Kuching dengan memperkenalkan sistem pengangkutan Transit Aliran Automasi (ART).

Yang lebih menariknya, Kuching muncul sebagai bandar raya pertama di dunia yang menggunakan ART sebagai pengangkutan awam yang digerakkan dengan tenaga hidrogen.

ART mampu memuatkan 300 penumpang dan bergerak dengan kelajuan 70kilometer (km) sejam dengan sistem yang diautomasi.

Kuching akan muncul sebagai bandar raya pertama di dunia yang menggunakan ART sebagai pengangkutan awam yang digerakkan dengan tenaga hidrogen

Manfaat KUTS antaranya ialah menyediakan kemudahan yang melintasi dan menghubungkan kawasan perumahan yang padat, pusat perniagaan, kawasan perindustrian, institusi pengajian tnggi serta pusat kemahiran dan pembangunan dan tempat tumpuan pelancongan yang menarik.

Lebih daripada itu, KUTS akan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, merangsang aktiviti perdagangan, memudahkan akses pasaran dan perkhidmatan di samping memperkenal dan mempromosi teknologi hijau menerusi kenderaan dan bas penumpang yang menggunakan tenaga hidrogen.

Keseluruhan komponen projek mega berkenaan bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi dan produktiviti dan mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan penyertaan penyedia pengangkutan awam yang lain dalam melengkapkan sistem ART.

Dari segi pelaksanaan projek, KUTS akan dibangunkan secara berperingkat. Kerja-kerja pembinaan struktur dan sivil dijadualkan bermula pada 2022 sebelum kerja-kerja membangunkan sistem projek dimulakan pada 2024.

Fasa pertama projek merangkumi pembinaan dua buah jajaran laluan bandar meliputi jarak sepanjang kira-kira 50km.

Jajaran Laluan Pertama akan bermula dari Rembus, Kota Samarahan menuju ke Hikmah Exchange dengan jarak sepanjang 27km dan akan berhenti di 14 stesen.

Manakala Jajaran Laluan Kedua pula bermula dari Batu 12 Jalan Kuching-Serian hingga ke The Ithmus, dengan jarak sejauh 23.4km dilengkapi 13 stesen perhentian.

Sebahagian besar dua jajaran laluan ART akan dibina sama paras dengan jalan raya sedia ada manakala laluan bertingkat pula akan dibina di kawasan pusat bandar yang padat.

Perkhidmatan bas penumpang hidrogen akan disediakan di setiap titik mula dan penghujung perjalanan dari satu stesen ke stesen KUTS yang lain.

Taman Industri Petchem Kidurong

Taman Industri Petchem Kidurong terletak 15km timur laut dari bandar Bintulu dan sejauh kira-kira 36km dari Taman Perindustrian Samalaju.

Projek yang dibangunkan di tanah seluas 1,000 ekar ini terletak bersebalahan dengan tapak loji metanol yang sedang dibangunkan serta dikelilingi oleh pusat-pusat pembangunan sektor tenaga seperti Kompleks LNG Petronas, Shell MDS dan loji tenaga Sarawak Energy Berhad.

SEDC dipertanggungjawab membangunkan projek hab petrokimia berkenaan untuk tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, sebuah lagi anak syarikat SEDC, iaitu Sarawak Petchem Sdn Bhd ditubuhkan pada Jun 2017 sebagai entiti utama yang akan mengendali, mengoperasi dan membangunkan petrokimia termasuk loji metanol pertama di Sarawak yang terletak di Samalaju, Bintulu.

Objektif pewujudan Taman Industri Petchem Kidurong adalah bagi menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat tempatan dalam sektor hiliran minyak dan gas.

Selain itu, projek tersebut bakal merancakkan ekonomi Sarawak yang dijangka akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat serta menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor hiliran minyak dan gas dalam masa terdekat.

Loji Metanol Sarawak

Projek Loji Metanol Sarawak di Kilometer 3 Jalan Similajau, Bintulu begitu signifikan dalam mentransformasi ekonomi Sarawak melalui perluasan rantaian nilai produk hiliran minyak dan gas.

Loji berkenaan mampu menghasilkan 5,000 tan metrik produk metanol sehari di kawasan seluas 75 ekar dan dijadualkan beroperasi secara komersial pada suku pertama 2023.

Projek yang diterajui oleh Sarawak Petchem Sdn Bhd itu merupakan perintis kepada industri hiliran minyak dan gas asli di Sarawak dan akan menjadikan Bintulu sebagai sebuah hab petro kimia di rantau ini.

Pembangunan produk metanol juga merupakan usaha Kerajaan Sarawak membawa negeri ini ke arah perindustrian yang lebih besar, seterusnya akan menarik pelabur asing untuk terlibat sama dalam aktiviti pengeluaran produk nilai tambah hiliran berasaskan minyak dan gas.

Projek Loji Metanol Sarawak turut disokong oleh Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MIED) dan telah mendapat lesen dan sijil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan sijil kebenaran untuk pembuatan petroleum atau produk petro kimia (di bawah PDA 1974) daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun 2019.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article