- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

BKSS Bantu Komuniti Perusahaan dan Perniagaan

Must read

RAKAN 3Q2021-7

Kerajaan Sarawak akan melaksanakan tiga langkah menerusi pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 dengan kos perbelanjaan lebih daripada RM800 juta.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, bantuan terkini tersebut dilancarkan bertujuan untuk memperkasakan aktiviti perusahaan dan perniagaan supaya terus berjalan dalam suasana sihat.

Langkah pertama, bantuan kewangan berjumlah RM10,000 akan disediakan kepada perniagaan aktif yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 31 Disember 2020.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari menghadiri majlis simbolik penyerahan BKSS 6.0 dan pengumuman BKSS 7.0

Bantuan tersebut akan membantu meringankan beban kewangan kira-kira 40,000 perniagaan yang aktif di Sarawak dari segi kos pengoperasian, sewa dan upah pekerja terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pembayaran RM5,000 pertama akan dimasukkan ke dalam akaun perniagaan pada September 2021 dan baki selebihnya akan dibayar pada Disember 2021.

Bantuan di bawah langkah pertama ini melibatkan perbelanjaan kerajaan berjumlah lebih RM400 juta.

Bagi menyokong sektor pembinaan, kerajaan akan memberi kelonggaran terhadap dasar perolehan dalam melaksanakan langkah kedua.

Enam (6) inisiatif akan membantu kontraktor dan syarikat perunding yang turut terjejas akibat COVID-19.

  • Inisiatif pertama, kontraktor diberikan Lanjutan Tempoh Masa (EOT) secara automatik dengan mengambil kira kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berdasarkan tempoh PKP diwartakan bagi projek yang sedang berjalan dengan tempoh siap yang telah dijadualkan melepasi tempoh PKP 3.
  • Kedua, projek yang dijadualkan siap dalam tempoh PKP 3.0 masih dikuatkuasakan pula akan diberikan EOT maksimum selama 60 hari.
  • Ketiga, memandangkan EOT telah diberikan, Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) yang telah dikenakan akan dimansuhkan dalam tempoh PKP diwartakan.
  • Keempat, penilaian pembayaran dan penaksiran akan dilakukan secara automatik pada akhir setiap bulan tanpa perlu menunggu permohonan terperinci bertulis daripada kontraktor untuk tuntutan pembayaran dan untuk membolehkan pembayaran minimum sementara RM1,000 setiap bulan ke atas semua kontrak Kerajaan Sarawak.
  • Kelima, membenarkan pembayaran kepada pasukan pengawasan dan penyeliaan tapak pihak perunding selama tempoh siri-siri PKP tertakluk pada terma dan syarat yang akan ditentukan kemudian.
  • Keenam, membenarkan variasi harga untuk kontrak kerja kerajaan kesan daripada kenaikan harga yang teruk untuk bahan binaan tertentu akibat COVID-19. Kos yang akan ditanggung kerajaan kerana membenarkan variasi harga dianggarkan sekitar RM400 juta.

Kerajaan sedar akan perlunya memastikan ekonomi dapat bertahan ketika pandemik. Sehubungan itu, kerajaan akan menyokong operasi perniagaan yang memerlukan tenaga kerja asing dengan melaksanakan kelonggaran syarat pembaharuan permit kerja tertakluk pada lesen buruh yang sah bagi sektor perladangan sehingga 31 Disember 2022.

Inisiatif menyokong kelangsungan aktiviti sektor pembinaan turut akan dilaksanakan di bawah pakej BKSS 7.0

Bagi melaksanakan langkah ketiga, kelonggaran tersebut akan diperluaskan ke sektor-sektor lain, iaitu pertanian, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan.

Pakej BKSS 7.0 telah dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 4 Ogos 2021 di Kuching sempena Majlis Simbolik Penyerahan BKSS 6.0 kepada para petugas barisan hadapan.

BKSS 7.0 diumumkan susulan perbincangan yang dibuat oleh Kerajaan Sarawak dengan persatuan-persatuan perusahaan dan perniagaan tempatan bagi meneruskan kelangsungan aktiviti sektor perusahaan dan perniagaan agar dapat menyediakan pekerjaan untuk rakyat, seterusnya membantu memulihkan ekonomi negeri.

Perbincangan mengambil kira kesan operasi perniagaan yang tidak dapat beroperasi berikutan pelaksanaan PKP yang telah menjejaskan aliran tunai golongan terlibat kerana terpaksa menanggung kos tetap operasi seperti bayaran sewa, peralatan dan gaji pekerja.

Sejak April 2020, enam pakej BKSS bernilai RM4.5 bilion merangkumi 30 langkah dan tindakan bagi membantu rakyat telah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha membantu mengurangkan kesan pandemik COVID-19 terhadap kehidupan.

Bantuan-bantuan yang diberikan meliputi bantuan kewangan bagi golongan B40 serta individu, pemberian diskaun bil utiliti, taksiran, cukai pintu dan cukai tanah, bantuan berbentuk skim pinjaman dan program latihan kepada usahawan serta penangguhan dan pemansuhan sewa dan sebagainya.

Selain itu, insentif bulanan khas dan bekalan makanan untuk petugas hadapan, pembayaran dana khas penjaja dan peniaga kecil, bekalan makanan, insentif pembayaran secara one-off kepada pengendali dan pengusaha pengangkutan dan pemain industri pelancongan telah dan sedang dilaksanakan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article