- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mengorak Langkah Melayari 4IR

Must read

RAKAN 3Q2021-8
RAKAN 3Q2021-9

Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) Negara telah dilancarkan pada 1 Julai 2021 dengan matlamat untuk memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara yang mampan dan berdaya saing melalui penggunaan teknologi 4IR.

Dasar berkenaan mengandungi empat teras utama yang menggabungkan dunia digital, fizikal dan biologi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

Teras pertama, rakyat akan dilengkapi dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR manakala teras kedua pula adalah membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital.

Ketiga, menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya disesuaikan dengan perubahan teknologi dan teras keempat melibatkan usaha mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Seri Mustapa bin Mohamed, keempat-empat teras dasar ini akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR.

Kerajaan telah mengenal pasti lima teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan, iaitu kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan teknologi lejar teragih (DLT), bahan termaju dan disokong oleh pengkomputeran awan dan analisis data raya (BDA).

Kerajaan mengenal pasti teknologi IoT sebagai teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan melayari 4IR

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar menjelaskan kelima-lima teknologi tersebut sememangnya telah memberi kesan kepada kehidupan seharian dan cara manusia melakukan sesuatu perkara dan telah membantu manusia dari segi perancangan, pelaksanaan mahupun membuat keputusan.

Sebagai contoh, sejak tahun 1999, Malaysia menerajui penyelidikan genetik bio molekul Virus Nipah yang menjadi rujukan seluruh dunia, iaitu penyakit zoonosis yang berjangkit dari haiwan ke manusia.

Selain itu, penggunaan bioteknologi dengan teknologi ICT dalam industri pemprosesan makanan dan pertanian tepat juga berkembang dengan galakan penggunaan teknologi moden dalam aktiviti pengeluaran dan pemprosesan berasaskan pertanian.

Malaysia juga kini menggunakan teknologi blockhain dalam Vaccine Management SySTEM (VMS) bagi membantu proses jejak dan kesan vaksin COVID-19 daripada pengeluar sehingga penerima vaksin di bawah pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Melihat perspektif di Sarawak, negeri ini bersedia mengorak langkah melayari 4IR selari dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Sejak tahun 2017, ekonomi digital diangkat menjadi visi yang akan memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri ini dalam semua aspek meliputi sumber manusia, bidang pendidikan, pertanian, pengangkutan, perkhidmatan kerajaan dan sebagainya.

Untuk mencapai apa yang diaspirasikan ini, Sarawak memerlukan tenaga kerja dan bakat tempatan yang inovatif dan kreatif sebagai asas utama dalam persediaan menghadapi lonjakan ke arah 4IR selain meningkatkan infrastruktur yang dapat mewujudkan ekosistem ekonomi digital.

Oleh itu, pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dikenal pasti sebagai platform tepat ke arah tersebut yang harus diberi perhatian.

Beberapa orang murid sedang menjalani pembelajaran dalam bidang STEM di makmal pendidikan STEM Sekolah Kebangsaan Rakyat di Kuching

Inisiatif memperkasa golongan muda di Sarawak dari peringkat sekolah rendah dengan STEM bagi melahirkan generasi intelektual yang mahir dalam teknologi 4IR telah pun dan sedang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk pihak sekolah.

Pada April 2017, makmal pendidikan STEM pertama dilancarkan di Sekolah Kebangsaan Rakyat di Kuching oleh UNIMAS dan diperluaskan setakat tahun 2019 kepada 10 buah makmal meliputi Kuching, Saratok, Lawas dan Limbang.

Pendidikan dalam bidang STEM diberi tumpuan untuk melahirkan generasi yang boleh menguasai teknologi 4IR

Malah, pada tahun yang sama juga, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan kira-kira RM10 juta secara keseluruhan untuk menjalankan program intervensi pendidikan sebagai persiapan menghadapi era digital.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan STEM UNIMAS (EnCon) pada September 2018, STEM mampu mendorong minat generasi muda kepada bidang sains dan teknologi dan akan membuatkan mereka berjaya pada masa depan terutama pada era ledakan 4IR yang sedang berlaku hari ini.

Dalam sektor pertanian, Sarawak telah mengguna pakai teknologi IoT dalam aktiviti pertanian pintar seperti yang terdapat di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi di Kuching yang diterajui Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED).

TKPM Rampangi

TKPM Rampangi dilengkapi siSTEM pengawalan dan pemantauan menerusi IoT dalam kaedah fertigasi yang mampu mengawal input baja, suhu dan kelembapan.

Inisiatif yang dilaksanakan di TKPM Rampangi merupakan projek rintis ke arah pertanian tepat yang memudahkan petani memantau aktiviti pertanian dari mana sahaja pada bila-bila masa dengan aplikasi yang dipasang pada telefon pintar.

Menurut Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, IoT yang dipasang di TKPM Rampangi adalah antara pendekatan yang menepati hasrat memodenkan sektor pertanian di Sarawak selaras dengan visi ekonomi digital, seterusnya membolehkan produk pertanian tempatan bersaing dalam pasaran global.

Di peringkat kerajaan, data raya atau ‘big data’ diusahakan dalam sektor perkhidmatan awam negeri sebagai permulaan dengan mengambil kira kepentingan data yang mempunyai nilai berharga dalam era digital hari ini.

Pada masa yang sama, inisiatif Sarawak ID diperkenalkan bertujuan memudahkan urusan rakyat dengan agensi Kerajaan Negeri selain membantu memudahkan peralihan ke arah kerajaan digital.

Sarawak ID dibangunkan bagi membolehkan rakyat Sarawak mengakses serta menggunakan perkhidmatan dalam talian atau sistem aplikasi Kerajaan Negeri.

Inisiatif berkenaan merupakan langkah pertama ke arah perkhidmatan kerajaan yang mesra rakyat, seterusnya membolehkan rakyat mengetahui peranan setiap jabatan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan.

Ketua Menteri membayangkan, pada masa hadapan, beberapa siri perkhidmatan yang lebih inovatif, penglibatan dan kemas kini peribadi yang lebih lancar juga akan diperkenalkan.

Antara inisiatif digital lain berkaitan perkhidmatan kerajaan yang telah dilaksanakan termasuklah Big Data, aplikasi e-dompet Sarawak Pay, SarawakGov, aplikasi pentadbiran tanah LASIS Mobile App dan sebagainya.

Kesemua inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada persediaan awal perkhidmatan awam negeri mengadaptasi teknologi terkini dalam melayari 4IR yang pada asasnya menggabungkan teknologi digital, fizikal dan biologi.

Sebenarnya, banyak yang telah dilaksanakan dalam persediaan Sarawak berdepan 4IR sejak ekonomi digital menjadi visi yang akan menggerakkan negeri ini ke arah negeri maju menjelang 2030.

Bermula dari usaha meningkatkan infrastruktur telekomunikasi di bawah peruntukan RM1 bilion, penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), pewujudan Sama Jaya Digital Village dan Hab Inovasi Digital TEGAS (Tabung Gagasan Ekonomi Anak Sarawak) bagi memperkasa usahawan digital dan pertumbuhan syarikat pemula, inisiatif bandar pintar di Miri, WiFi percuma dan sebagainya.

Sarawak memerlukan tenaga kerja dan bakat tempatan yang inovatif dan kreatif sebagai asas utama dalam persediaan menghadapi lonjakan ke arah 4IR

Kesan daripada 4IR telah dirasai di negeri dan negara secara keseluruhannya dan Sarawak perlu beranjak ke 4IR serta tidak boleh lagi bergantung pada kaedah dalam aktiviti ekonomi konvensional supaya tidak ketinggalan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan Sarawak terus berdaya saing dan mampu memanfaatkan teknologi 4IR dan teknologi terkini selari dengan Dasar 4IR Negara dan visi ekonomi digital negeri, semua pihak dari pelbagai peringkat termasuk kerajaan, komuniti perniagaan, pihak swasta dan rakyat perlu memainkan peranan dan sentiasa bersedia untuk menghadapi perubahan ke arah yang lebih sistematik, berkualiti dan terancang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article