- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bahagian Samarahan Pesat Membangun Dalam Pelbagai Sektor

Must read

Bahagian Samarahan yang terletak kira-kira 28-kilometer atau setengah jam perjalanan ke Bandaraya Kuching terus menerima limpahan pembangunan termasuk kemudahan prasarana dan infrastruktur yang boleh dikatakan sudah hampir lengkap.

Dengan keluasan 2,928-kilometer persegi, bahagian Samarahan meliputi Daerah Samarahan, Daerah Asajaya, Daerah Simunjan, Daerah Gedong dan Daerah Kecil Sebuyau

Sejak dulu, Kerajaan Sarawak telah memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di Samarahan agar tiada yang ketinggalan dalam setiap perancangan yang telah dirangka.

Misalnya di daerah Samarahan, semua kampung sudah boleh dihubungi melalui jalan raya malah, pembinaan Kuching-Samarahan Expressway telah membawa impak yang besar terhadap pembangunan di Samarahan.

Antaranya, telah wujud banyak kawasan perumahan berskala besar seperti kawasan Taman Perumahan Samarindah, Taman Desa Ilmu, Taman Riveria dan sebagainya.

Pembangunan pesat pusat komersial juga telah mengubah landskap ekonomi daerah Samarahan dengan kewujudan rumah-rumah kedai oleh pihak swasta.

Pada masa ini, terdapat satu pusat membeli belah terbesar di Samarahan yang telah menjadi mercu tanda iaitu pusat membeli belah Summer Mall selain kewujudan pusat membeli belah yang lain seperti Aiman Mall, pasaraya Farley, Everwin dan Tec Kong.

Summer Mall adalah pusat membeli belah terbesar di Kota Samarahan
Pusat beli belah Aiman Mall yang telah dibangunkan oleh Aiman Mantap Sdn Bhd telah dibuka pada 2017

Kerajaan Sarawak juga berjaya melaksanakan pelan induk pembangunan yang lebih komprehensif sehingga Kota Samarahan membangun dengan begitu pesat bahkan turut diberi gelaran Kota Ilmu.

Kota Samarahan adalah antara kawasan yang maju di Sarawak dengan adanya institusi-institusi pengajian tinggi, jelas menggambarkan matlamat Kerajaan untuk menjadikan Kota Samarahan sebagai pusat penyelidikan dan pengajian seterusnya sebagai pusat pendidikan yang bertaraf antarabangsa.

IPTAR telah mula beroperasi pada 1 Jun 1999 dan telah dirasmikan pada 22 November 1999

Contohnya, pusat pendidikan, latihan dan penyelidikan seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Perguruan Tun Abdul Razak (IPTAR), Institut Latihan Perindustrian Samarahan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Taman Teknologi Sarawak.

ILP Kota Samarahan adalah sebuah pusat latihan yang berteraskan kemahiran

Institusi perubatan seperti Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak yang bertaraf dunia bukan sekadar memberi rawatan kepada pesakit jantung malah dijadikan pusat penyelidikan untuk para pelajar dalam dan luar negara.

Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak yang terletak di Kota Samarahan

Kesemuanya ini pada suatu hari nanti akan menjadikan Kota Samarahan sebagai salah satu pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan, latihan dan penyelidikan yang pesat di Malaysia.

Sejajar dengan ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) pula, satu Taman Tema Realiti Maya (VR) iaitu D-Virtual Park telah dibangunkan di Kota Samarahan.

D-Virtual Park yang dibangunkan oleh Serba Dinamik Group Bhd merupakan projek perintis taman tema maya pertama di Sarawak yang menggunakan teknologi hologram.

Taman maya yang dibangunkan dengan kos berjumlah RM13 juta ini turut menyediakan kemudahan SD X Studio (ruang kerja bersama), SD X FabLab (makmal komuniti dan inovasi) dan SD X-Arena, GiGA Virtual-Cafe, D-Tamu dan SD-XLR8* (pusat penjaja digital dan peniaga tempatan).

Sehubungan itu, pada 12 Disember 2021, Gedong telah dinaiktaraf sebagai daerah penuh di bahagian Samarahan, dan ini menandakan bahawa ekspektasi masyarakat terhadap keberkesanan dan kecekapan pencapaian perkhidmatan kerajaan kian meningkat.

Baik di peringkat daerah mahupun daerah kecil, masyarakat hari ini semakin peka untuk membuat perbandingan dan penilaian tentang perkhidmatan yang disediakan agensi dan jabatan kerajaan.

Sudah tentu setiap kawasan yang ditadbir mempunyai cabarannya tersendiri dan mungkin memerlukan penelitian serta pendekatan yang berbeza untuk menanganinya dengan cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan semua ahli masyarakat di situ.

Wisma SALCRA (bangunan Kerajaan) yang terletak di Kota Samarahan

Naik taraf Gedong sebagai sebuah daerah penuh lantas memerlukan pelbagai jenis perkhidmatan kerajaan di sedia dan disampaikan dengan lebih cekap.

Seterusnya, kedudukan Kota Samarahan di laluan jalan pesisir yang merentasi kawasan pertanian telah pun dibangunkan dengan pembinaan jambatan Batang Sadong, Batang Samarahan dan Batang Lupar sekali gus telah membuka lembaran baharu ekonomi kawasan pesisir sekitar Samarahan.

Pada masa yang sama, langkah Kerajaan Sarawak mewujudkan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) akan terus memacu pembangunan di bahagian Samarahan.

Dengan penubuhan IRSDA, pembangunan di kawasan Samarahan akan menjadi lebih terancang kerana agensi ini akan menjalankan penyelidikan dan mengenal pasti pembangunan yang diperlukan.

Dengan adanya IRSDA, Samarahan akan menjadi bandar yang sibuk serta menjadi kawasan pembangunan utama khasnya untuk pertanian moden dengan terbinanya Jambatan Samarahan, Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Batang Lupar serta jaringan jalan pesisir.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article