Sejumlah 10 lokaliti di negeri Sarawak telah dipilih untuk Fasa 1, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM), selain 80 lokaliti di seluruh negara, yang dijadualkan pelaksanaannya bermula penghujung bulan Mei 2022.
Lokasi di Sarawak yang telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Fasa 1 BMTKM tersebut termasuklah Gedong, Kampung Seberang Sebuyau (Sebuyau), Kampung Bakong (Lingga), Long Kajang (Belaga), Kampung Spaoh (Betong), Baram / Ulu Tinjar, Pakan, Lawas, Daro dan Telang Usan
Berbeza dengan pendekatan sedia ada dalam strategi pembasmian miskin tegar yang dilaksanakan secara berasingan mengikut fungsi kementerian dan agensi masing-masing (sebelum ini), program BMTKM ini mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach) dan holistik yang melibatkan golongan sasar tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
BMTKM juga mengguna pakai pendekatan dari bawah ke atas yang melibatkan penyertaan akar umbi dan golongan sasar dalam merangka program, di mana penyelesaian kemiskinan adalah secara bersasar dan berbeza bagi setiap lokaliti mengikut keperluan di kawasan tersebut.
Pendekatan ini diguna pakai dalam program BMTKM di Sarawak dan setiap lokaliti yang dikenal pasti adalah berbeza kaedah penyelesaiannya.
Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) adalah dua agensi yang memainkan peranan utama sebagai pemudah cara dan penyelaras keseluruhan program BMTKM.
Program BMKTM yang akan dilaksanakan ini adalah merupakan pelengkap kepada program pembasmian kemiskinan sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi pada ketika ini.
Selain penglibatan agensi-agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan, Negeri dan daerah, program BMTKM juga melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak seperti universiti awam, pihak swasta, pertubuhan masyarakat sivil, organisasi berasaskan komuniti, pemimpin setempat dan lain-lain. Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) memainkan peranan utama sebagai penyelaras di peringkat negeri bagi program BMTKM di Sarawak.
Program BMTKM turut menekankan aspek pemantauan yang berfokus melalui kerjasama dengan universiti awam dan pelantikan pegawai yang khusus di setiap negeri. Bagi Sarawak, universiti awam yang terlibat dalam memantau pelaksanaan program BMTKM adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Tidak seperti program basmi kemiskinan tegar sebelumnya, BMTKM mempunyai dasar pemisah (exit policy) yang jelas selepas ianya berlangsung selama 2 hingga 3 tahun.
Pembangunan data dan sistem BMTKM diintegrasikan dengan Sistem eKasih yang merangkumi Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) dan Dashboard BMTKM.
Sebelum ini, pangkalan data kemiskinan yang wujud adalah kurang bersepadu dan terdapat pula beberapa pangkalan data berbeza yang menjadi sumber rujukan.
Sesi lawatan kerja Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) selama dua hari (24-25 Mei 2022) ini adalah bertujuan untuk menyelaras perancangan agar pelaksanaan BMTKM di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut jadual dan mencapai objektifnya.
Tumpuan akan terus diberikan kepada Sarawak kerana ia merupakan negeri yang merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi dalam negara pada tahun 2019 iaitu 9.0%, berbanding dengan 5.6% kadar kemiskinan nasional.
Matlamat program BMTKM ini adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar pada tahun 2025, seperti mana yang telah ditetapkan pada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam usaha merapatkan jurang dan menangani masalah ketidaksamaan pembangunan antara wilayah dan negeri yang masih wujud.